Saturday, October 3, 2009

Bertaubatlah pengikutku - Kahar




SHAH ALAM - Setelah mengaku bersalah atas lima pertuduhan menghina agama Islam, pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, 59, (gambar) menyeru semua pengikutnya supaya segera bertaubat kepada Allah.

Bekas pekerja zoo itu juga memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam, polis dan Jabatan Penjara atas kesilapan yang dilakukan sehingga menimbulkan provokasi, kekeliruan dan fitnah terhadap Islam.

Kenyataan bertulis yang ditandatangani Abdul Kahar itu dibacakan oleh peguam syarie kepada Abdul Kahar iaitu Zulkifli Che Yong di hadapan Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam sebelum hujah mitigasi hukuman tertuduh berlangsung di mahkamah berkenaan.

Zulkifli memberitahu, Abdul Kahar juga menyatakan bahawa pengakuan bersalah yang dibuat sebelum ini adalah berterusan dan tidak akan ditarik semula.

"Pesalah juga mengambil kesempatan di dalam mahkamah yang mulia dengan rendah diri mengakui kesalahan yang dilakukan adalah besar dan telah insaf, sedar dan bertaubat kepada Allah, semoga taubat nasuha itu diterima oleh Allah.

"Semoga selepas ini, isu yang dicetuskan dan dibangkitkan dianggap batil, palsu dan tidak benar.

"Pesalah juga meminta sesiapa yang terikut dan terpedaya dengan perkara batil yang pesalah pernah bangkitkan hendaklah bertaubat, insaf dan melupakan secara mutlak," jelasnya yang membacakan pengakuan pesalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: