Saturday, October 3, 2009

Air teh penyedap suara




DUA tahun selepas memenangi program realiti, American Idol (AI), Jordin Sparks kini tampil lebih dewasa dan yakin. Album terbarunya, Battlefield menyelitkan perancangan tersendiri Jordin kerana mahu menyingkirkan elemen pop remaja seperti yang ada dalam album pertamanya, Jordin Sparks.

Sudah berada di pasaran sejak 21 Julai lalu, album itu sudah terjual lebih sejuta unit di seluruh dunia. Jordin yang menjadi pemenang AI musim keenam dan juara termuda sehingga kini memberitahu, dia perlu lebih bekerja keras memandangkan usianya yang remaja.

"Dalam sesetengah aspek, saya perlu lebih berusaha. Sebagai manusia, lebih banyak pengalaman yang dikumpul, anda akan menjadi lebih dewasa. Saya bagaimanapun akan berjalan selangkah demi selangkah. Saya harap langkah saya diatur dengan baik kerana saya masih merupakan seorang gadis yang pemalu," luah Jordin.

Berbekalkan reputasi sebagai 'gadis baik' yang masih belum dicalar dengan kontroversi, Jordin jarang menjadi sasaran paparazzi atau gosip dalam tabloid. Meletakkan dirinya sebagai contoh kepada remaja lain, Jordin menjauhkan dirinya daripada seks dan dadah.

Malah setakat ini, penyanyi yang berasal dari Arizona itu belum pernah mendapat kritikan negatif. Single pertamanya yang ditulis dan diterbitkan oleh Ryan Tedder, Battlefield sudah dikenali dunia. Menariknya judul lagu itu mempunyai persamaan dengan lagu Love is a Battlefield (Pat Benatar) yang disampaikan oleh Jordin.

"Ia satu kebetulan. Apabila saya mendengar lagu Battlefield buat kali pertama, saya jatuh cinta dengannya. Saya tidak memikirkan mengenai Pat Benatar sama sekali. Namun, saya masih merupakan peminat dia kerana saya dan ibu mendengar lagunya sejak kecil," katanya.

Album itu turut memuatkan lagu S.O.S yang menyerupai sebuah lagi karya tahun 1980-an nyanyian Shannon, Let The Music Play. Jordin yang dilahirkan pada tahun 1989 bagaimanapun tidak mengenali lagu tersebut.

"Jika diberi peluang, saya ingin menyampaikan lagu disco. Saya tidak mahu sentiasa dikenali sebagai gadis balada dari AI. Saya mahu mencuba sesuatu yang baru tetapi setakat ini, tiada siapa yang mempercayai saya," jelasnya.


SENYUMAN manis Jordin seiring dengan gaya dan imej bersihnya yang jauh daripada kontroversi negatif.


Berasa kecewa dan bengang apabila lagu Battlefield bocor di laman web sebelum ia dipasarkan secara rasmi, ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh Sony Music Entertainment (Malaysia) untuk mengetahui lebih banyak mengenai 'bayi'' baru Jordin itu.

Apakah lagu kegemaran anda ketika membuat persembahan?

JORDIN: Berpeluang untuk membuat persembahan dengan lagu sendiri sudah cukup mengagumkan. Namun, sebelum peminat saya fasih dengan material baru saya, ada tiga buah lagu yang saya suka sampaikan ketika persembahan iaitu Tattoo, No Air dan One Step At A Time.

Anda baru sahaja menjadi tetamu untuk konsert jelajah The Jonas Brothers di Philips Arena, Atlanta. Apakah memori paling indah semasa konsert itu?

Walaupun kami hanya menghabiskan masa selama beberapa hari bersama, pengalamannya amat menyeronokkan. Kami semua dalam lingkungan usia yang hampir sama dan kerana itu kami boleh bergurau tanpa batasan. Berada dalam industri sama, saya berasa selesa apabila berada di sisi orang yang turut melalui senario yang sama. Malah, mereka sentiasa memberikan dorongan dan sokongan kepada saya.

Bagaimana anda membezakan Battlefield dengan album pertama anda yang diterbitkan pada tahun 2007?

Suara saya kedengaran lebih matang sekarang. Saya juga memilih lagu yang saya tidak kisah untuk menyanyi sepanjang hayat saya. Lagipun album ini memuatkan empat buah lagu yang ditulis oleh saya iaitu Emergency, Was I the Only One, Faith dan The Cure. Jadi ia amat mengujakan.


ALBUM kedua Jordin menyaksikan dia tampil dengan imej dan suara yang lebih matang.


Apakah lagu kegemaran dalam album terbaru itu?

Saya sukakan semuanya. Namun, rasanya lagu yang ditulis oleh saya memberikan lebih bermakna buat saya. Salah satunya adalah Faith. Saya menangis semasa merakamkan lagu itu dan percaya ia akan menyentuh perasaan pendengar.

Saya menulis lagu itu empat hari sebelum upacara angkat sumpah Presiden baru Amerika Syarikat, Barack Obama. Ketika itu, saya memikirkan banyak perkara termasuk situasi dunia, ekonomi dan salah seorang kawan baik saya yang meninggal dunia dua tahun lalu. Jadi Faith adalah sebuah lagu yang istimewa.

Apakah aktiviti kegemaran semasa musim panas?

Berenang bersama anjing saya, menghabiskan masa bersama keluarga dan membaca. Hidup saya amat ringkas.

Adakah keluarga anda amat menyokong karier anda?

Ya, saya amat bertuah. Tidak kira saya atau adik saya, Phillippi Sparks atau saudara lain dalam keluarga saya, mereka akan sentiasa bertanya minat kami. 'Apa yang anda suka lakukan?' dan 'Adakah anda pasti itu yang anda ingin lakukan? Baiklah, kami akan membantu anda.'




Itu soalan yang mereka sering tanyakan. Adik saudara saya suka bermain bola sepak, jadi mereka membawa dia untuk berlatih. Adik saya pula suka bermain bola keranjang. Maka, ayah saya membantu dia. Saya pula suka menyanyi dan saya mendapat gitar untuk membantu meluaskan minat saya. Sokongan mereka banyak membantu.

Anda memiliki suara yang menakjubkan. Apakah teknik yang digunakan oleh anda untuk mengekalkan kualiti suara?

Secara jujur, saya masih mempelajari tekniknya tetapi saya sentiasa cuba untuk tidak bercakap dengan banyak terutama selepas membuat persembahan. Mengambil banyak minuman teh untuk melegakan kerongkong. Gula-gula Grether juga banyak membantu.

Anda merupakan peminat Michael Jackson. Bagaimana anda menerima berita kematiannya?

Sehari sebelum dia meninggal, saya ada menyanyikan lagu dia. Sebenarnya saya selalu menyanyikan lagu Michael dan meniru gerak tarinya. Jadi kematian dia amat mengejutkan dan tidak masuk akal.

Ramai antara peminat anda melihat anda sebagai contoh. Adakah anda berasa tertekan dengan setiap keputusan yang diambil kerana anda sentiasa diperhatikan ramai?

Ia satu tekanan yang baik tetapi saya perlu berhati-hati dengan tempat yang saya pergi, dengan siapa saya bercakap dan banyak lagi. Tapi itu semua benda yang baik dan membuatkan saya berjaga-jaga serta berada di haluan yang betul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: