Sunday, August 2, 2009

Yovie & Nuno di Kuala Lumpur




BUAT julung kalinya, kumpulan yang memenangi kategori Kumpulan Terbaik dan Artis Indonesia Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 2009), Yovie & Nuno akan menemui peminat di Kuala Lumpur.

Kumpulan yang popular dengan lagu Menjaga Hati itu akan membuat persembahan di Konsert Illuminight - A Light Beat Of Love pada 15 Ogos ini di Bukit Kiara pukul 7 malam.

Mereka juga berkongsi pentas dengan kumpulan pop soul, Maliq & D'Essentials; pemenang anugerah Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik APM 2009, Afgan Syahreza dan diserikan dengan persembahan daripada Atilia.

Yovie Widianto menyatakan rasa teruja untuk membuat persembahan pada konsert berkenaan.

“Kami tidak sabar hendak ke sana (Malaysia). Mahu berjumpa dengan peminat-peminat yang banyak menyokong Yovie & Nuno. Yelah, selama ini mereka hanya dapat mendengar lagu kami, tetapi kini mereka dapat bersemuka empat mata.

“Untuk itu, persiapan berjalan lancar dan kami juga sedang menjalani latihan khusus. Bukan sahaja dari sudut vokal malah turut melibatkan kerja-kerja teknikal seperti proses penataan cahaya.

“Persiapan rapi ini bagi mengelakkan sebarang kesilapan dan kalau boleh, tidak mahu ada sebarang kecacatan yang boleh menyebabkan peminat rasa tidak seronok,” jelasnya dalam temubual menerusi telefon di Jakarta baru-baru ini.

Yovie bersama ahli kumpulannya yang terdiri daripada tiga lelaki iaitu Dudi Oris, Diat dan Dikta akan tiba di Kuala Lumpur sehari sebelum membuat persembahan untuk menghadiri sesi sidang akhbar sebelum pulang ke Indonesia pada 16 Ogos.

Komposer, produser dan pengarah muzik itu juga akan menyampaikan 12 lagu yang dipetik daripada album The Special One seperti Dia Milikku, Menjaga Hati, Janji Suci, Bunga Jiwaku, Seperti Bintang (Menanti Jawabmu), Ku Tak Suka Lagu Ini, Sejuta Cinta, Hey!, Jalan Diam-Diam, Tak Pandai Memilih (Pacar Dua) dan Sempat Memiliki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: