|
|
KONSERT Jamal... Kembara Seniman di Panggung Sari, Istana Budaya pasti menjanjikan kenangan kepada peminat-peminat Jamal Abdillah. Alunan lagu malar segar daripada penyanyi bersuara emas mampu menyingkap cerita lama yang selama ini berada dalam lipatan sejarah.
Lebih 40 lagu sudah siap untuk didendangkan kepada penonton konsert yang berlangsung pada 5 hingga 9 Ogos ini pukul 8.30 malam. Ia meliputi segmen muzikal dan konsert dengan menampilkan lagu-lagu popular Jamal.
Sudah tentu ada penonton tidak sabar untuk menyanyi bersama lagu seperti Terpesona Dusta, Senandung Semalam, Seniman Menangis, Di Sudut Kamar Hati, Tak Hilang Cinta Di Dunia, Apa Lagi, Kembara Yang Indah, Dendang Remaja dan Rayuan Maut dengan penyanyi itu.
Jamal juga akan menyanyikan lagu berentak perlahan seperti Perpisahan Tanpa Relamu, Nasib Diriku, Kembalilah, Sepi Sang Perindu, Perjalananku, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Ghazal Untuk Rabiah, Seru, Kau Lupa Janjimu, Gadis Melayu dan Aku Penghiburmu.
Ia disusuli dengan lagu Lancang Kuning, Berdendang Dalam Tangisan, Samrah Mentari, Hatiku Luka Kembali, Antara Yakin dan Curiga, Hingga Tiba Saat Itu serta empat lagu tribute kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Di Tengah Hari, Tunggu Sekejap).
Selain itu, Jamal juga akan mengembalikan nostalgia penonton kepada Bintang RTM apabila berduet bersama juara, naib juara dan peserta di tempat ketiga Bintang RTM 2009 untuk lagu Sandarkan Pada Kenangan, Cinta Dua Darjat, Kehebatan Cinta serta Seri Langkat.
Mereka adalah Nur Ernie Shahirah Zakri atau Ernie, Jo-Anna Sue Henly Rampas (Jo-Anna) dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley (Fatin).
“Bukan mudah untuk penyanyi berusia 50 tahun seperti saya ini menyanyi. Penuh cabaran dan kalau tidak kena dengan stamina yang ada, boleh dapat penyakit lain.
“Walaupun begitu, saya tetap mahu terus berkongsi pelbagai rasa yang saya lalui sepanjang bergelar anak seni dan lelaki yang banyak melakukan kesilapan dalam hidup.
“Usaha yang saya lakukan ini semata-mata untuk mengajak masyarakat khususnya peminat-peminat saya agar mengambil pengajaran atas kesilapan saya selain meraikan ulang tahun ke-30 pengembaraan seni saya,” jelas Jamal yang turut menjadi penulis naskah Jamal... Kembara Seniman itu.
Mengenai persiapan menjelang konsert, pelakon utama filem Azura yang ditayangkan pada 1984 ini tidak mengamalkan sebarang petua melainkan rehat yang cukup. Juara Bintang Kecil Brunei Darusalam 1973 itu juga berharap agar peminat yang merupakan tulang belakangnya dapat menerima kehadiran Jamal yang baru setelah beberapa kali mengkhianati mereka dengan perbuatan silamnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: