Kerana gian berjudi, Weng Kweng menghabiskan semua wang KWSP, menjual satu-satunya rumah dan dibuang keluarga.
|
|
SIKAP ingin mengalami sendiri perkara baru kadangkala hanya akan menjerat diri. Itulah yang disimpulkan seorang lelaki, Tong Weng Kweng, 65, yang dahulunya terlalu mengikut kata hati bila berjudi.
Sebenarnya, Weng Kweng adalah seorang suami dan bapa yang baik. Selama bertahun-tahun dia bekerja dengan tekun di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur demi menyara makan minum keluarganya apatah lagi mengenang anak-anak yang masih kecil.
Namun, segalanya berubah apabila dia mencecah umur persaraan, 55 tahun, manakala ketiga-tiga anaknya sudah besar dan mampu berdikari. Pada usia separuh abad, Weng Kweng mula berjinak-jinak dengan kegiatan perjudian. Sekadar mencuba nasib, katanya.
Pertaruhan pertama Weng Kweng sekadar melibatkan pertaruhan beberapa ratus ringgit di mesin judi. Malangnya, pelaburan itu membuatkan dia ketagih. Keseronokan berjudi mula menguasai hatinya.
Pada mulanya Weng Kweng cuma mengintai suasana premis perjudian haram terbabit dari luar.
“Mula-mula saya tak berani masuk ke dalam. Saya cuma tengok dari luar. Masa itu saya fikir, apa salahnya mencuba. Lagipun ada rakan-rakan saya yang menang.
“Tapi lama-kelamaan saya seperti gian berjudi. Sedikit demi sedikit wang simpanan saya keluarkan untuk berjudi hingga hampir habis kesemuanya,” tuturnya memulakan cerita.
Tidak cukup dengan itu, Weng Kweng kemudian menggunakan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melunaskan hutang judinya.
“Pengeluaran pertama ialah sebanyak RM20,000. Main, main, saya kalah. Tapi kalah itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk bermain (judi) dengan lebih banyak. Saya keluarkan wang KWSP lebih kurang RM20,000 lagi,” akuinya
Walaupun sudah kalah teruk, dia masih terus berjudi. Dalam fikirannya pada masa itu hanya untuk menang dan mendapatkan balik wangnya yang telah ‘hilang’.
“Bagaimanapun, ia tidaklah semudah itu. Ia betul-betul merugikan saya. Akhirnya isteri saya dapat tahu saya keluarkan duit simpanan itu, lalu dia halau saya keluar dari rumah sebab tak tahan dengan sikap saya,” luahnya yang kini mendiami pusat penjagaan Ti-Ratana di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Jual rumah
Ketagihannya tidak terhenti di situ. Walaupun telah diusir keluar oleh keluarganya, tabiat berjudi Weng Kweng masih menjadi-jadi. Dia bertekad untuk tidak pulang ke rumah dan menyewa sebuah bilik di kawasan lain.
“Bila dah kena halau, saya cari jalan lain pula. Saya sewa bilik di sebuah rumah dengan kadar sewa RM200. Masa tu saya masih bekerja, jadi adalah duit sikit untuk menyara hidup.
“Tak cukup dengan semua kekalahan itu, gian terhadap judi akhirnya memaksa saya membuat pinjaman bank sebanyak RM10,000.
“Semua duit itu juga dihabiskan untuk memuaskan nafsu judi saya. Namun, yang paling menyedihkan ialah saya langsung tak pernah menang.
“Duit pinjaman itu habis, semua barang-barang juga saya gadaikan. Tiada apa yang tinggal,” luahnya.
|
|
Semakin dituruti ketagih judi, semakin banyak keburukan terpaksa ditanggung. Walaupun menyedari hakikat itu, Weng Kweng tetap berkeras untuk tidak pulang ke pangkal jalan. Lebih menyedihkan, rumah keluarganya di Taman OUG yang didiami selama puluhan tahun turut menjadi mangsa.
“Saya tak menyesal. Bagi saya kemenangan itu tetap akan ada dan berpihak pada saya. Akhirnya tanpa berfikir panjang, saya buat keputusan untuk jual rumah itu.
“Tindakan itu menyebabkan saya semakin dibenci oleh keluarga. Tapi saya tak peduli. Habis semua duit dibelanjakan. Saya terus berjudi.”
Setelah kerugian ratusan ribu ringgit dan dibuang keluarga, barulah putik penyesalan tumbuh dalam diri Weng Kweng. Dia akhirnya hidup sehelai sepinggang dan merempat di jalanan.
“Saya sudah tak tahu ke mana lagi harus dituju. Oleh itu, saya bertindak ‘menyerah diri’ di Balai Polis Salak Selatan. Setelah mendengar masalah dan kesusahan saya, pihak polis akhirnya meletakkan saya di bawah pengawasan dan jagaan Ti-Ratana.
“Saya amat berterima kasih dan menghargai layanan baik yang diberikan pihak polis. Dan saya bersyukur kerana mendapat perlindungan pihak Ti-Ratana.
“Di sini saya diajar untuk bermuhasabah dan merancang hidup dengan lebih baik. Saya juga diberi peluang untuk memulakan hidup baru dan saya gembira di sini,“ keluhnya dengan penuh harapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: