Sunday, August 2, 2009

Rahida cemas dipijak kuda

Kesemua lima anak perempuan Datuk Abd. Razak Latiff gemar menunggang kuda.




TAK kenal maka tak cinta. Pepatah ini jelas memberi perspektif tersendiri kepada wanita berusia 27 tahun ini dalam menyintai dunia kuda.

Bagi gadis yang lemah-lembut dan berpenampilan ringkas, hubungan intimnya dengan kuda sangat sukar diungkapkan menerusi kata-kata.

"Saya sebenarnya seorang penakut. Masa mula-mula ayah membeli seekor kuda ketika saya berumur 11 tahun, saya cukup takut dengan haiwan itu kerana ia sangat besar," cerita Ketua Hal Ehwal Korporat dan Keahlian Taman Ekuestrian Putrajaya, Rahida Datuk Abd. Razak sambil ketawa.

Namun, puteri kedua kepada Pengerusi Persatuan Tenis Malaysia itu akhirnya jatuh cinta dengan aktiviti menunggang kuda selepas diberi dorongan dan galakan oleh si bapa.

"Taqwim merupakan kuda pertama yang dibeli oleh ayah. Kuda itu jugalah yang membuatkan saya semakin yakin dan terus jatuh cinta dengan sukan ini," katanya.


JALINAN hati Rahida dan Crocket tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.


Riak wajah Rahida menyerlahkan betapa penggerak syarikat ARL Equestrian Sdn. Bhd. ini amat menyukai kuda yang diimport dari New Zealand itu.

Kata Rahida, Taqwim sentiasa membuatkan beliau rasa selamat dan yakin setiap kali menunggangnya.




"Seperti yang saya kata tadi, saya memang penakut. Tapi dengan Taqwim, perasaan takut itu hilang. Taqwim pandai membuatkan saya rasa selesa dengannya. Malah dengannya, ada komunikasi yang lahir daripada hati, sesuatu yang sangat sukar untuk saya jelaskan," kata gadis bertubuh kecil ini.

Mengakui terdapat sedikit jurang dengan kuda barunya setelah Taqwim dijual, bagaimanapun perkara itu tidak menjadi masalah besar kepadanya.

"Ia seolah-olah proses mengenali seseorang. Jadi saya perlu mengenali, menyintai dan memupuk perasaan selesa bersama Crocket, kuda yang baru beberapa tahun saya miliki ini," katanya sambil mengusap pipi kuda berwarna putih daripada baka Holsteiner.

Mula berjinak-jinak dengan satu lagi cabang sukan berkuda iaitu endurance, Rahida seperti tidak lelah menimbunkan pengalaman.

Daripada sekadar hobi, Rahida memanjangkan langkah dengan memasuki pertandingan dalam kategori jumping dan dressage.

Jatuh kuda

Setelah hampir 18 tahun terlibat dalam bidang pengurusan sukan berkuda dan aktif memasuki pertandingan, masih ada beberapa perkara yang menuntut ketelitiannya.

"Jatuh kuda itu memang perkara wajib dan dari situlah kita akan belajar mengenal kuda dan teknik menunggang dengan lebih baik. Dalam erti kata lain, belajar melalui kesilapan dan cara yang keras," ujar Rahida.

Menyambung kata, hingga kini, tidak terkira bilangan beliau terjatuh daripada kuda. Paling serius ialah peristiwa dipijak kuda kerana Rahida tidak dapat mengelak selepas terjatuh pada tahun 2003. Ia terjadi secara tiba-tiba, ujar Zahida.

"Selalunya, kuda akan mempunyai kecenderungan mengelak daripada memijak penunggangnya, namun pada hari itu, kuda tersebut hilang kawalan lalu memijak kaki saya. Mujurlah kecederaan yang dialami tidak serius," imbau beliau.

Bukan itu saja, jari telunjuk tangan kanannya pernah patah akibat terjatuh tetapi Rahida hanya menyedarinya dua minggu kemudian.

Malah walaupun terasa sakit selepas terjatuh, Rahida masih meneruskan tunggangan pada keesokan harinya.

Langsung tiada istilah serik atau trauma akibat terjatuh, Rahida lebih kecewa jika tunggangannya tidak menjadi hingga menyebabkan beliau terjatuh.

"Itu tandanya saya silap berkomunikasi dengan kuda saya. Malah saya kecewa kerana jatuh juga menandakan skil saya belum cukup bagus," kata pemilik ijazah dalam bidang matematik dari Universiti Southampton, United Kingdom ini.


KECINTAAN terhadap kuda merapatkan hubungan antara Rahida dan Razlina (kiri).


Menjadikan penunggang kuda Marcus Ehning dari Jerman sebagai idola, Rahida gemarkan gaya menunggang Marcus yang nampak relaks, tenang dan penuh keyakinan.

Kisah kuda dalam keluarga ini bermula apabila Perbadanan Putrajaya mencari seseorang untuk mengusahakan Taman Ekuestrian Putrajaya yang telah dibina beberapa tahun lalu. Bapa Rahida, Abd. Razak Latiff diamanahkan untuk menguruskan taman tersebut.

Kini, Taman Ekuestrian Putrajaya menjaga 30 ekor kuda yang sebahagiannya dimiliki individu manakala selebihnya oleh ahli kelab. Taman ini turut menawarkan kelas menunggang kuda kepada orang awam pada harga yang berpatutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: