|
|
SEJAK bergerak solo mengendalikan kerjaya seninya, Ning Baizura sudah mula mendapat rentak. HappeNings (M) Sdn. Bhd., nyata mengajar penyanyi R&B ini erti sebuah pengurusan dan lebih memahami kehendak diri.
Bukan itu sahaja, perjalanan seni masa lalu memberi banyak pengajaran untuk Ning mendepani cabaran yang mendatang.
“Saya mula yakin dengan kemampuan diri (dalam mengendalikan karier),” tegas Ning ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Olay di ibu kota, Selasa lalu.
Bersikap optimis, itu prinsip yang dipegangnya. Dan dia mengakui banyak perubahan yang dilihat berlaku di sekelilingnya sejak mengendalikan sendiri syarikatnya.
“Berat tanggungjawabnya tetapi sokongan orang sekeliling menjadi pembakar semangat saya. Sebelum ini saya alpa kerana semua orang melakukan kerja untuk saya.
“Sekarang saya lakukan sendiri dan ia mengajar saya berdikari. Yang saya harungi ini memberi satu kepuasan diri yang tidak terhingga,” jelas Ning.
Dan Ning mengakui revolusi berlaku dalam dirinya sekarang. Kerana hari ini, Ning bukan sekadar seorang penyanyi yang berbakat malah menyimpan impian menjadi seorang ahli perniagaan yang baik.
“Saya mahu meninggalkan satu kesan yang abadi,” katanya sambil tersenyum.
Dan manifestasi sebuah perubahan itu mahu dizahirkan dengan mengangkat judul Revolusi Ning bagi album terbarunya yang dijangka akan dipasarkan November nanti.
Sedang menyiapkan pembikinannya, album itu nanti diharap dapat menyimpulkan satu kisah 17 tahun perjalanan seni yang diharunginya.
Bertindak sebagai penerbit, Ning yang kali terakhir muncul dengan album Awan Yang Terpilu (2005) dan album Inggeris East to West (2007) mahukan sebuah album yang menampilkan ‘bunyi’ yang segar dengan susunan muzik yang baik serta memenuhi kehendak jiwanya sebagai penyanyi R&B soul.
*Ingin anak
Sibuk dengan kerja-kerja pembikinan album baru, biarpun mengakui tawaran persembahan agak kurang pada awal tahun ini, ia bukan penyebab untuk dirinya bersedih.
Kerana Ning memberitahu, rezekinya dalam persembahan melimpah ruah pada akhir tahun lepas.
Dan ‘kekurangan’ itu juga dianggap satu hikmah memandangkan pada waktu yang sama, dia sibuk dengan tawaran pengiklanan selain menyiapkan penggambaran untuk iklan produk yang ditandatanganinya.
Kesibukan menguruskan kerjaya membuatkan Ning terpaksa ‘melepaskan’ keinginan untuk menimang cahaya mata ketika ini.
Bukan tidak mahu malah dari segi mentalnya, dia mengakui sudah bersedia untuk mempunyai anak namun kehendak fizikal tidak memungkinkan perkara itu buat masa ini.
Banyak perkara yang sedang dilaksanakan yang memerlukan dia memberikan komitmen kepada kerja dan mengukuhkan syarikatnya.
Dan kata Ning, berilah dia masa tiga atau empat tahun lagi untuk memiliki cahaya mata bersama suami tercinta, Omar Sharif Christopher Layton Dalton.
“Saya sendiri tidak sabar untuk mempunyai zuriat sendiri,” kata Ning yang memiliki dua orang anak perempuan tiri hasil perkahwinan pertama suaminya iaitu Siban berusia enam tahun setengah dan Aife, lima tahun.
*Cukup tiga produk
Bercerita tentang bidang komersial pula, Ning mempunyai pendiriannya tersendiri. Tidak mahu tamak. Begitulah kata Ning. Dia hanya mempunyai tiga produk meliputi kecantikan, kesihatan dan gaya hidup yang menjadi tunjangnya dalam bidang komersial buat masa ini.
Olay, Osim dan Instead Softcup (produk menggantikan penggunaan tuala wanita) merupakan pilihan Ning untuk bertindak sebagai jurucakap dan duta.
Dan Ning mengakui amat mengambil berat produk yang dipilih sebelum menerima sebarang tawaran.
“Cukup sekadar satu produk wanita, elektrik dan kecantikan.” katanya.
Dua iklan produknya sudahpun ditayangkan di kaca televisyen dan Ogos nanti, iklan produk anti penuaan Olay, Re-Generist yang diwakilinya akan disiarkan.
Ning mengikat kontrak sebagai wajah produk berkenaan selama setahun sejak Mei lalu.
Sebagai seorang yang terkenal amat mengambil berat dan mementingkan soal kecantikan dan penjagaan diri, tentu sahaja pemilihannya sesuatu yang membanggakan.
Bukan sahaja kerana memiliki kulit wajah yang cantik malah lebih penting, sebagai seorang wanita Asia yang berkulit gelap, tentunya ia sesuatu yang mengujakan si empunya diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: