|
|
ASSALAMUALAIKUM.
Hai, saya merupakan salah seorang peminat abang Tuah. Saya ada beberapa soalan nak ditujukan buat abang.
1. Apakah perkembangan terbaru anda?
2. Apakah ciri-ciri gadis idaman anda?
3. Bilakah anda mahu tamatkan zaman bujang dan dah berpunya ke belum?
Sekian. Harap abang tuah terus komited dengan tugas anda sebagai deejay yang hebat!
*Alia, Pulau Pinang.
TUAH
1. Untuk makluman Alia, buat masa ini saya banyak tumpukan perhatian pada kerjaya sebagai Penyampai Radio Suria FM segmen Breakfast@Suria bersama Zizi dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi, di samping pelbagai aktiviti lain yang melibatkan Suria FM seperti iklan, Lagu Berduit dan sessi fotografi Semarak Aidilfitri bersama Mydin. Manakala dari segi lakonan dan pengacaraan saya kurang aktif memandangkan tiada tawaran setakat ini.
2. Saya tidak terlalu memilih dalam mencari pasangan hidup, tetapi saya lebih tertarik pada wanita yang memahami minat dan kerjaya saya serta dapat menerima saya seadanya. Sebagai manusia, tak semua daripada sikap dan perangai kita ini baik, ada juga yang jeliknya. Justeru, saya impikan wanita yang dapat menerima kekurangan saya lebih daripada kelebihan yang saya ada.
3. Buat masa ini, saya masih sendiri dan saya tidak menetapkan had umur untuk menamatkan zaman bujang selagi saya tidak rasa mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan ayah yang baik.
Harap rezeki
dan tuah
Hello abang Tuah. Saya harap abang Tuah terus maju jaya dan menjadi artis serba boleh yang berjaya di dunia dan di akhirat.
1. Lama dah tak tengok muka abang di kaca tv. Dah tak berminat nak berlakon?
2. Ada tak ahli keluarga abang yang terlibat dalam bidang seni? Macam mana abang boleh terlibat dalam bidang ini?
3. Bagaimana nak menghubungi anda secara terus atau boleh bagi e-mel tak?
4. Apakah perancangan anda selepas ini?
*Mastika Mukhsin,
Kuala Nerang, Terengganu.
TUAH
1. Setakat ni tiada tawaran berlakon, tetapi kalau ada produksi yang panggil jadi pelakon ekstra, satu atau dua scene pun saya sapu juga. Yang penting orang kampung tengok. Hahaha...
2. Memang tiada seorang pun ahli keluarga saya yang terlibat dalam bidang seni kecuali saya. Namun, ada juga di kalangan anak-anak saudara yang berminat, tetapi saya dah pesan pada adik beradik saya yang saya tidak mahu mereka melibatkan diri dalam industri seni. Luck @ rezeki juga memainkan peranan penting untuk kita berjaya setaraf artis ternama yang lain.
3. Boleh hubungi saya melalui e-mel; tuahzoqarnain@hotmail.com atau facebook: www.facebook.com/tuahzoqarnain
4. Perancangan saya adalah untuk memulakan perniagaan. Cuma belum pasti bisnes apa yang ingin diceburi. Lagipun saya sedang mengumpul modal pada ketika ini.
Deejay radio hidup Tuah
Assalamualaikum Tuah,
Saya merupakan pendengar setia stesen Suria FM sejak di awal kemunculannya dan amat berminat sekali dengan diri anda. Saya ada beberapa soalan dan harap anda sudi menjawabnya.
1. Mana yang lagi seronok? Menjadi deejay radio atau berlakon?
2. Apa perancangan Tuah untuk terus memikat pendengar untuk bersama anda dan Suria FM?
3. Apakah cabaran yang terbesar sebagai pengacara segmen pagi di Suria FM?
Terima kasih,
*JIJI & NANO, Kuala Lumpur.
TUAH
1. Satu ketika dulu, memang keutamaan saya adalah bidang lakonan dan pengacaraan, tak ada langsung minat nak jadi deejay. Memulakan kerjaya di Muzik FM sejak tiga tahun lalu. Ternyata, sekarang ini, baru saya sedar bahawa bidang penyiaran adalah nadi hidup saya.
2. Setiap hari adalah pelajaran baru untuk saya. Elemen ceria, humor dan informasi akan terus saya suntik dalam setiap penyampaian saya, selain turun padang memperkenal dan mendekatkan diri dengan khalayak pendengar melalui aktiviti Suria FM dan medium seni yang lain.
3. Cabarannya adalah bangun pagi dan membina mood ceria walaupun baru bangun tidur. Biasalah sebagai manusia ada ketika saya pun moody juga. Tapi pandai-pandailah mencari jalan supaya orang dengar macam best best saja. Hahaha...
Pernah dimalukan
Assalamualaikum Tuah,
Saya ada beberapa soalan dan harap sangat Tuah dapat menjawabnya.
1. Seronok tak menjadi artis? Adakah ia benar-benar menggembirakan anda?
2. Apakah pengalaman yang tidak dapat anda lupakan sepanjang bergelar anak seni?
3. Siapakah idola Tuah?
*Mohd. Aiman,
Johor Bahru, Johor.
TUAH
1. Menjadi artis memang seronok kerana itu impian saya sejak kecil. Dikenali dan terkadang dihormati oleh mereka yang menghargai bakat kita. Tetapi kalau diberi pilihan untuk berpatah balik ke masa silam, pasti saya akan memilih bidang lain yang lebih besar industrinya.
2. Berlaku dua tahun lalu di sebuah restoran makanan segera di Kuala Lumpur. Saya dipandang sinis dan diketawakan oleh seorang manager perempuan, yang bertudung. Masa tu, ada beberapa orang pekerja yang kenal saya. Bila mereka beritahu dengan dia, siap dia cakap kuat-kuat lagi yang dia tak kenal saya. Saya tak kisah, sebab saya tahu saya bukannya popular tapi cara dia jatuhkan air muka dan maruah saya buat saya malu dan sakit hati.
3. Saya tiada idola khusus. Idola saya adalah semua manusia berjaya yang saya kenal, lihat, dengar dan ketahui melalui biodata dan pengalaman mereka melalui liku-liku kehidupan bergelar seorang insan.
Jauhkan kontroversi
Hai Tuah, apa khabar? Harap Tuah terus sihat, ceria dan maju dalam apa juga bidang yang anda ceburi. Saya sebagai peminat akan terus menyokong kerjaya seni anda.
1. Apakah perbezaan sebelum dan selepas popular?
2. Bagaimana Tuah mengawal situasi apabila keluar membeli belah atau melakukan apa-apa aktiviti. Tidak rimas dengan peminat yang ada?
3. Tuah jarang dihimpit dengan kontroversi. Bagaimana Tuah mengawalnya?
Terima kasih...
*E-J, Perak.
TUAH
1. Tiada istilah popular dalam diari hidup saya. Kerana saya tidak mahu ia membataskan pergerakan saya sehari-hari. Saya lalui hidup seperti biasa. Berkawan dengan semua orang, naik bas ekspres balik kampung, makan di warung, naik LRT hatta jalan kaki pergi kerja. Persoalannya, perlukah kita berubah bila dah popular?
2. Setakat ni alhamdulillah tak ada pula peminat-peminat yang fanatik, tarik-tarik baju, menangis bila terserempak dengan saya. Bila kita senyum boleh pula buat muka, pandang tempat lain. Kalau ikutkan perangai saya yang panas baran ni, dah lama kena maki. Tapi sabar je...
3. Kontroversi. Harap dijauhkan. Tapi kalau nak cepat popular, bagus juga. Hahaha. Seboleh-sebolehnya saya mahu masyarakat mengenali saya kerana bakat dan kemajuan saya dalam bidang seni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: