Sunday, August 2, 2009

Hilai tawa di dasar laut

Keindahan dasar laut mungkin bertukar menjadi mimpi ngeri apabila penyelam skuba mula mengalami kejadian yang aneh. Adakah insiden itu disebabkan perbuatan bercakap besar ataupun tekanan kedalaman?





FAUZIAH LATIFF


BANYAK cerita yang disampaikan para penyelam skuba mampu membuatkan orang terlopong mulut. Ini termasuklah kisah yang pelik dan sukar untuk dicanai pemikiran logik.

Mungkin bagi pengikut setia dokumentari dan filem tentang dunia marin sudah maklum mengenai keajaiban tertentu.

Antaranya seperti hidupan yang bercahaya dalam laut gelap, kumpulan ikan yang mengepung penyelam ataupun obor-obor yang menakut-nakutkan penyelam dalam jumlah yang banyak.

“Tapi, bagaimana pula dengan cerita penyelam yang tersesat sehingga hampir habis bekalan oksigen walaupun sudah berpengalaman dan berkali-kali ke lokasi yang sama?

“Atau penyelam yang terdengar suara orang ketawa bersahut-sahutan di dalam laut?,” kata seorang penyelam kerakyatan Australia, Jim Anderson membuka cerita.

Menurutnya, pernah juga seorang penyelam mendakwa terpandang kelibat sepasang manusia bersaiz kecil tanpa peralatan skuba sedang berenang dalam kedalaman yang mustahil untuk berbuat demikian.

Jim yang ditemui Jurnal di Pulau Tioman, Pahang menjelaskan perkara pelik sebegitu hanya terjadi kepada penyelam tertentu.

Sama ada kerana tuah atau akibat melanggar tabu, kejutan seperti itu antara lain dianggap satu bentuk ‘pembalasan’ kepada penyelam yang masuk ke perut laut dengan 1,001 niat.

Penyanyi, Fauziah Latiff tidak keberatan berkongsi pengalaman yang disifatkannya sukar untuk dijelaskan sehingga hari ini.

Selebriti ini memberitahu, keanehan yang dialaminya terjadi ketika melakukan selaman malam di lokasi Batu Nisan di Pulau Perhentian, Terengganu sedikit masa lalu.

“Kalau kita menjadi tetamu di sebuah kawasan yang belum pernah dilawati, baik di hutan ataupun di laut, hendaklah kunjungan itu diiringi rasa hormat dan waspada terhadap persekitaran tersebut,” ujarnya memulakan cerita.

Cerita pelik Fauziah Latif

Kedatangan ke lokasi selaman yang dikaitkan dengan unsur mistik itu adalah kali pertama buat Fauziah.

Sewaktu memulakan sesinya itu, kumpulan penyelam yang bergerak bersamanya telah dibahagikan kepada dua.

“Sebagai orang yang masih belajar, saya mengikuti kumpulan yang diketuai oleh seorang penyelam berpengalaman.

“Titik selaman yang bermula di sauh bot itu kemudiannya kami tinggalkan dalam kegelapan dasar laut yang hanya diterangi lampu suluh khas kami,” imbasnya.

Namun, selepas lebih setengah jam, Fauziah dan kumpulannya langsung tidak menemui apa-apa kecuali dataran pasir. Setiap kali memulakan semula pencarian terumbu karang, mereka tetap berpusing kembali ke sauh bot.

Walaupun tiada masalah navigasi atau rintangan arus bawah laut, Fauziah dan kumpulannya merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kegelapan air di Batu Nisan itu pula semakin mencetuskan rasa seram baginya.

Selaman malam itu terpaksa diakhiri. Sejurus mendapat isyarat untuk ke permukaan air, Fauziah segera menurut tanpa bantahan.

“Kami pelik dengan insiden itu. Kumpulan penyelam yang satu lagi pula seronok menceritakan mereka menemui terumbu karang yang cantik di kawasan sama,” katanya yang mengamalkan bacaan selawat sebelum menyelam.

Fauziah bagaimanapun mengambil iktibar daripada pengalaman itu. Dia yakin bahawa setiap perkara akan mudah dijalani sekiranya tingkah laku dan percakapan dijaga.

Bagi jurulatih selaman dan pengusaha pusat skuba Downtown Divers di Danga Bay, Johor Bahru, Raja Razis Raja Rizal, banyak kisah pelik dan menakutkan boleh dilalui oleh penyelam.

Menurutnya, kalau Pulau Aur dan Pulau Dayang di perairan Johor sering membuatkan penyelam rasa berdebar kerana kawasan itu ‘dijaga’ sekumpulan jerung yang besar, Pulau Payar berdekatan Langkawi pula pernah diceritakan terdapat orang yang bertapa di dalam laut.

“Saya belum menyaksikannya sendiri, namun cerita itu bukan sekali dua pernah dicakapkan,” katanya sambil imaginasi penulis terlintas adegan pertapaan watak Pari seperti dalam filem Queens of Langkasuka.

Ilusi penyelam

Mungkinkah ilusi penyelam seperti itu dapat dikaitkan dengan situasi narkosis nitrogen?

Ringkasnya, ia adalah kesan toksik akibat kesebatian dan tekanan nitrogen yang tinggi dalam saraf ketika menyelam.

“Keadaan nitrogen yang terserap dalam darah secara mengejut ini boleh terjadi pada kedalaman 30 meter atau lebih ketika menyelam.

“Selain berasa mabuk dan berkhayal, skop penglihatan juga mengecil walaupun mata sedang terbuka luas,” terang Raja Razis.


PADA fasa tertentu narkosis nitrogen, penyelam dilihat seperti tersenyum dan ketawa seperti sedang asyik memandang sesuatu.


Secara ringkasnya, narkosis nitrogen berkadar langsung dengan kedalaman. Sesetengah penyelam beranggapan bagi setiap selaman kira-kira 15 meter seumpama meminum segelas martini. Lebih jauh, bergelas-gelaslah impaknya!

“Dalam fasa tertentu, penyelam akan kelihatan seperti sedang tersenyum dan gembira. Selanjutnya, biji mata akan berubah menjadi kekelabuan,” katanya.

Dalam satu kes penyelam yang mengalami kesulitan narkosis nitrogen, dia dilihat mengeluarkan regulator (alat pernafasan) dari mulutnya dan menyerahkannya kepada ikan!

Kalau tersilap kata dan tindakan boleh mengakibatkan seseorang penyelam skuba tersesat di dalam laut, apakah mungkin simptom narkosis nitrogen menyebabkan seseorang terlihat sesuatu yang hakikatnya tidak wujud?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: