Sunday, August 2, 2009

Talentime memberi saingan sengit


ELEMEN perpaduan dalam Talentime adalah kekuatan karya Yasmin Ahmad.


FILEM Talentime dijangka terpilih memenangi Filem Terbaik dalam acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM22) yang akan berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, pada Sabtu ini.

Filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu selain menyenaraikan 11 pencalonan iaitu yang terbanyak, Talentime dilihat sebuah karya yang hebat kalau dibandingkan dengan 19 filem cereka lain.

Cara Yasmin mengendalikan kerja-kerja pengarahan, membentuk persembahan pelakon-pelakon dan aspek teknikal lebih menyerlah sebagai sebuah filem yang baik. Menerusi filem ini Yasmin memperlihatkan kewibawaan sebagai peneraju yang membentuk sebuah karya berjudul Talentime.

Kategori pencalonan dari filem ini ialah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Penyunting Terbaik. Ia turut dicalonkan bagi katogeri Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan wanita terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik.

Selain itu, Talentime dilihat sebuah filem hebat yang dilahirkan Yasmin kerana ceritanya menggambarkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ketika krisis hubungan kaum diperkatakan, Yasmin mencuri ruang untuk menjadikan Talentime sebagai penghubung antara kaum menerusi karyanya itu.

Yasmin berjaya mengetengahkan elemen perpaduan melalui hubungan persahabatan dan percintaan remaja tanpa mengira kaum.

Unsur-unsur itu merupakan kekuatan untuk filem tersebut dipilih sebagai pemenang ketika kerajaan memperkenalkan gagasan 1Malaysia bagi menyatupadukan kaum. Ia sesuai dengan kriteria penjurian yang biasanya menekankan unsur-unsur kasih sayang, kekeluargaan dan budaya setempat dalam sesebuah filem.

Jika dilihat kepada aspek tersebut, filem-filem lain tidak begitu menonjolkan elemen berkenaan dalam karya yang dihasilkan.

“Saya mahu menyatakan nilai persahabatan itu mampu terjalin dengan baik tanpa mengira bangsa dan agama walaupun ada ketikanya kita akan berdepan dengan situasi serta masalah yang mampu menggugat persahabatan itu,” kata Yasmin ketika mengulas mengenai Talentime ketika pelancarannya pada Mac lalu.

Selain Talentime, filem Papadom arahan Afdlin Shauki dan Setem arahan Kabir Bhatia memperoleh pencalonan tinggi iaitu masing-masing sembilan dan lapan pencalonan.

Bagi katogeri Pengarah Terbaik, ramai meramalkan Yasmin akan memenangi kategori itu berdasarkan kepada kehebatan kerjanya menggarap cerita, menulis lakon layar dan menjadi pengarah yang mantap.

Pelakon Lelaki Terbaik dijangka menjadi milik Rashidi Ishak (Setem) sementara Que Haidar menerusi lakonannya dalam Maut arahan Bade Hj. Azmi.

Sementara Pelakon Wanita Terbaik pula dijangka akan menjadi milik Nabila Huda menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam arahan Syamsul Yusof kerana keberkesanannya membawa watak bohsia dalam filem itu. Selain Nabila, pelakon baru Liyana Jasmay juga dilihat mempunyai kekuatan untuk merebut anugerah itu melalui lakonannya dalam Papadom.

Penyertaan terbanyak

FFM22 pada tahun ini menyaksikan jumlah penyertaan terbanyak membabitkan 207 karya. Daripada jumlah itu, 27 penyertaan membabitkan filem cereka, 94 filem dokumentari, 57 filem pendek, 23 animasi dan enam filem digital.

Selain jumlah pencalonan tertinggi, FFM22 juga dijangka mencatatkan jumlah karyawan dan penonton paling ramai apabila buat pertama kalinya diadakan di luar Semenanjung Malaysia.

Penganjuran kali ini membabitkan perbelanjaan kira-kira RM2.8 juta yang turut mendapat kerjasama kerajaan negeri Sabah. Daripada jumlah itu, FFM22 turut menyediakan peruntukan kira-kira RM400,000 sebagai sumbangan untuk pemenang.

Bagi pemenang Anugerah Perdana membabitkan 13 katogeri seperti Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik membolehkan penerimanya membolot wang tunai RM10,000. Anugerah Cipta yang memperuntukan 11 katogeri seperti Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik pula menyediakan wang tunai RM5,000 bagi setiap pemenang.

Pengarah Terbaik pula akan membawa pulang wang tunai RM15,00 sementara Filem Terbaik akan memperoleh wang tunai RM25,000.

Pada tahun ini juga pihak jawatankuasa turut mewujudkan dua anugerah baru iaitu Filem Komedi Terbaik dan Filem Dokumentari Terbaik.

Sepanjang acara berkenaan diadakan bermula Rabu ini, pihak penganjur mengadakan pelbagai aktiviti seperti bengkel perfileman, tayangan filem secara percuma serta apresiasi perfileman bagi membincangkan filem Keluarga Si Comat yang diterbitkan oleh anak kelahiran Sabah, Deddy M.Borhan.

FFM22 dianjurkan oleh Finas dengan kerjasama Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malasyia (Gafim). Ia bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia. Acara yang akan disiarkan selama dua jam di RTM1 bermula 8.30 malam dijangka turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: