Sunday, August 2, 2009

Diana terima kritikan


Diana


GEMBIRA tak terkata nada gadis ini ketika saya menghubungi untuk memberi peluang kepada dia menjadi penghias muka depan Pancaindera. Manakan tidak selama beberapa tahun bergelar artis, Diana Rusdi tidak pernah mendapat peluang sedemikian daripada kami.

Ungkapan pertama yang keluar daripada mulutnya ialah terima kasih kerana tidak melupakan bakat baru sepertinya.

“Terima kasih bang kerana mahu memberi peluang kepada saya muncul di Pancaindera,” katanya. Fotografi diatur pada saat-saat akhir. Ia dilakukan dalam keadaan yang agak kelam kabut kerana Diana terpaksa berkejar untuk urusan lain.

Yalah, sebagai artis baru, dia harus bekerja keras untuk merebut segala peluang yang ada. Seingat saya kali pertama kisah mengenai Diana disiarkan menerusi Pancaindera pada tahun lalu.

Itupun menerusi ruangan pojok saya yang mengkritik Diana kononnya menyombong di lokasi penggambaran. Tetapi jujurnya kata gadis ini gara-gara kritikan itu dia sebenarnya menjadi gadis yang kuat mental dan fizikal.

Malah kritikan itu juga mengajarnya untuk berhadapan dengan cabaran bagaimana melibatkan dalam dunia seni yang penuh dengan pancaroba ini.

“Saya mengaku bukan senang sebenarnya jadi artis. Tak seperti yang saya fikirkan sebelum ini,” katanya.

Benar, menjadi artis hanya glamor pada nama tetapi untuk mengusung populariti itu bukan satu perkara mudah jika tidak ada kekuatan dan semangat yang kental.

Diana yang merupakan anak pegawai kerajaan yang dilahirkan di Belanda memberitahu, perkara pertama yang paling dia takut ialah gosip walaupun ia adalah sesuatu perkara yang harus diterima apabila seseorang itu memilih untuk menjadi artis.

Bayangkanlah kali pertama dikritik dalam akhbar Diana sudah cuak kerana bimbang kritikan itu membuatkan keluarganya terluka dan sekali gus membataskan usahanya untuk bergiat aktif dalam bidang seni.

“Saya masih ingat pertama kali kritikan mengatakan saya berlagak itu disiarkan menerusi Pancaindera tak lama dulu, mama saya ketuk pintu bilik dan suruh saya baca.

“Saya terkejut tetapi syukurlah mama saya faham dan memberi nasihat untuk saya menjadi kuat.

“Dan gara-gara kisah itu juga saya semakin berhati-hati,” ujarnya.

*Tidak percaya

rakan artis

Suka berkawan dan bergaul adalah hobi Diana sejak kecil lagi. Tapi sayang sekali apabila dia memilih untuk bergelar seorang selebriti rupa-rupanya Diana perlu membataskan dirinya dengan pelakon-pelakon lain.

Ya, mungkin sebab itu dia dikatakan sombong sebelum ini. Tapi gadis berusia 21 tahun ini mempunyai alasan dia dinasihati oleh rakan-rakan artis juga supaya tidak terlalu rapat dan mudah mempercayai sesama pelakon.

Awalnya dia tertanya-tanya kenapa? Yalah, apa masalahnya kalau kita saling berbaik-baik di antara satu sama lain?

Rupa-rupanya kata Diana dalam dunia seni bukan mudah untuk mencari kawan yang baik. Semuanya perlu berhati-hati kerana tidak semua orang mempunyai perasaan hormat di antara satu sama lain.

“Saya dinasihati oleh pelakon senior lain kalau nak berkawan itu perlulah memilih. Jangan mudah percaya mereka di lokasi penggambaran kerana takut nanti akan ada yang berusaha untuk sebarkan cerita tak betul bagi menjatuhkan kita,” katanya.

Mempercayai nasihat itu, Diana akhirnya terpaksa akur dia perlu membataskan pergaulannya sesama artis walaupun hati nuraninya selama ini gemar untuk memperbanyakkan lagi kenalan.

Diana mengaku dia terkejut membaca kisah pelakon Almy Nadia yang mendakwa “dibomohkan” oleh seseorang kerana dengki dengan pencapaian pelakon itu.

Dek kerana berita-berita seperti itulah Diana mengaku dia mula mempercayai nasihat yang diberikan kepadanya iaitu jangan terlalu berbaik-baik sesama artis.

Apabila mengambil keputusan untuk bergelar artis, Diana mengakui dia perlu menjaga banyak benda. Antaranya pergaulan dan juga perwatakan diri ketika berada di khalayak agar tidak menjadi cemuhan masyarakat.

“Saya kena belajar macam mana hendak “tebalkan” muka dan menerima kutukan orang. Yalah, apa yang dibuat artis tidak kiralah dia pakai beg apa sekalipun tetap akan menjadi perhatian dan cakap-cakap orang. Semua itu kita kena ambil kira agar boleh berhadapan dengannya,” kata Diana.

*Suka jadi pengacara

Jika diberi peluang sama ada untuk bergelar pelakon atau pengacara, Diana menjawab hatinya lebih terdorong untuk memilih menjadi seorang pengacara.

Ujar anak bongsu daripada empat beradik ini, menjadi pengacara membolehkan dia menjadi diri sendiri berbanding berlakon yang terpaksa membawa watak lain.

Tetapi jika diberi pilihan sebagai pengacara, Diana lebih gemar untuk mengendalikan program kanak-kanak kerana ia menghiburkan. Lagipun dia lebih suka dengan golongan berkenaan.

“Saya suka dengan kanak-kanak sebab itulah saya menerima tawaran menjadi pengacara rancangan Whoa! terbitan NTV7 tidak lama dulu,” katanya. Biarpun masih setahun jagung dalam bidang seni tetapi Diana sudah mempunyai perancangan terhadap masa depannya.

Bukan mengatakan dunia artis ini tidak boleh berjaya tetapi persaingannya juga agak kuat. Ia ibarat memandu kenderaan. Siapa cekap dan cepat tentulah orang itu akan tiba dahulu. Dek kerana itulah Diana memasang cita-cita untuk mempunyai agensi perhubungan awamnya suatu ketika nanti.

Buat permulaan biarlah dia aktif dalam bidang lakonan terlebih dahulu kerana ia dapat dijadikan sebagai batu loncatan sebelum menceburkan diri dalam dunia tersebut.

Bercinta? Dengan siapa?

Apabila ditanya soal cinta, Diana tersenyum manja. Katanya sebagai seorang wanita, memanglah seseorang itu memerlukan lelaki sebagai pasangannya. Hari ini Diana mengakui dia belum lagi terlibat secara serius dalam dunia itu sebaliknya mengakui mempunyai kawan lelaki.

Bukan tidak mahu mengaku tetapi Diana lebih selesa menjelaskan yang dia sebenarnya suka berkawan.

“Ya, saya ada kawan lelaki tetapi jangan kata saya bercinta pula. Belum masanya untuk bercinta buat masa ini,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan remaja masa kini yang terdorong ke arah perlakuan negatif seperti seks bebas, Diana mengakui dia agak bimbang dengan perkembangan itu. Malah Diana sendiri tidak tergamak untuk membaca kisah-kisah berkenaan di dalam akhbar.

“Sebenarnya berita-berita seperti itu membuatkan keluarga Diana memberikan banyak nasihat supaya anak dia ini tidak terjadi seperti itu.

“Kadang-kadang tak semua benda yang Diana nak buat dipersetujui oleh keluarga kerana mereka bimbang perkara tak elok berlaku ke atas Diana,” katanya.

Tetapi dia percaya atas didikan yang diberikan keluarga selama ini, Diana mempunyai prinsip untuk tidak memalukan ahli keluarganya. Dan menjadi tugas Diana untuk meyakinkan keluarga terhadap apa yang dilakukan agar mereka boleh menaruh kepercayaan terhadapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: