KUALA LUMPUR 31 Julai - Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang mencari model dana pencen swasta paling sesuai yang diuruskan di negara-negara lain sebagai panduan dalam mewujudkan dana yang serupa di Malaysia.
Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, SC akan mengkaji bagaimana rangka kerja kawal atur diwujudkan dan disusun.
"Sedikit masa diperlukan bagi mengkaji model-model itu agar kita boleh menghasilkan rangka kerja yang paling sesuai," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Anugerah Tanggungjawab Korporat 2009 Star Biz di sini hari ini.
Beliau berkata, SC sedang mengkaji model-model di Chile, United Kingdom dan Australia.
"Yang paling penting ialah ini merupakan skim sukarela. Tiada siapapun akan dipaksa mencarum.
"Mereka akan mencarum jika mereka mahu berbuat demikian dan kerana mereka mahu mempunyai wang tambahan bagi persaraan mereka," tegasnya.
Zarinah berkata, mereka yang tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, misalnya mereka yang bekerja sendiri, mungkin mahu menabung bagi persaraan mereka.
"Jadi jika mereka mahu, mereka boleh berbuat demikian melalui skim pencen swasta ini," katanya.
Pada 23 Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, dana pencen swasta akan ditubuhkan menjelang pertengahan 2010.
Ia akan memberikan tumpuan kepada mereka yang masih tidak termasuk dalam mana-mana sistem pencen rasmi.
Nor Mohamed berkata, SC akan mengemukakan laporan kepada kerajaan mengenai dana pencen swasta dalam enam bulan akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: