"Saya tidak suka mengambil tahu tentang kehidupan peribadi artis lain terutama semasa menjalankan penggambaran" – DANIEL WU
DALAM tempoh hanya 10 tahun, Daniel Wu yang dilahirkan di Berkeley, California sudah berjaya mengusai pasaran filem Asia. Dilabelkan sebagai Andy Lau versi muda, Daniel terkenal sebagai pelakon yang versatil dan sudah pun terlibat dalam lebih 40 buah filem.
Mempunyai minat terhadap seni mempertahankan diri sejak berusia enam tahun selepas menyaksikan Jet Li dalam filem Shaolin Temple, dia kemudian mempelajari wushu pada usia 11 tahun. Menjadikan Jackie Chan sebagai idola, kini dia bagaikan aktor popular tersebut malah dianggap sebagai 'anaknya'.
Walaupun mempelajari bidang seni bina semasa muda, aktor berusia 34 tahun itu tahu dirinya lebih meminati lakonan. Namun, Daniel yang melawat Hong Kong pada tahun 1997 ini tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon. Hanya atas dorongan kakaknya, dia menceburi dunia peragaan sebelum ditawarkan berlakon oleh pengarah Yonfan.
Tidak boleh berkomunikasi dalam Kantonis mahupun membaca tulisan Cina, Daniel berlakon dalam filem pertamanya, Bishonen (1998). Menerusi filem yang turut menampilkan lakonan Stephen Fung dan Shu Qi itu, Daniel melakonkan watak seorang polis homoseksual.
Keberaniannya melakonkan watak itu berbaloi apabila sebaik sahaja filem itu tamat penggambaran, Daniel terus ditawarkan watak untuk filem Mabel Cheung's City of Glass. Daniel bagaimanapun lebih dikenali di luar Hong Kong menerusi filem Gen-X Cops, Purple Storm, Love Undercover dan One Nite in Mongkok.
Pada majlis anugerah Golden Horse ke-41, Daniel memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk wataknya dalam New Police Story. Pernah menubuhkan satu kumpulan muzik dikenali sebagai Alive, Daniel juga merupakan duta untuk pelbagai produk termasuk Seiko dan L'Oreal.
Bercinta dengan model dan aktres seksi, Maggie Q sebelum berpisah pada tahun 2001, Daniel kini merupakan kekasih kepada model dan pengacara, Lisa S. Menerusi filem terbaru lakonannya, Overhead yang ditulis dan diarahkan oleh Alan Mak dan Felix Chong, Daniel menjayakan watak sebagai Lam dan berpeluang bergandingan dengan Lau Ching Wan dan Louis Koo.
Ikuti petikan temu bual Daniel mengenai Overhead yang disediakan oleh RAM Entertainment Sdn. Bhd. untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktor itu dan perkembangan terbarunya.
Persamaan diri anda dengan watak Lam dalam filem itu?
Daniel: Semasa saya berusia 20-an, saya menyimpan cita-cita tinggi dan mahu mencuba semua benda serta berjaya dalam jangkamasa pendek. Namun, selepas usia saya semakin meningkat, saya faham bahawa ada benda yang tidak boleh dipaksa dan perlu dilakukan selangkah demi selangkah.
Sama seperti watak dalam filem itu. Dia seorang lelaki yang ringkas tetapi tidak sabar untuk berjaya supaya dapat naik pangkat dari seorang polis kepada seorang inspektor dalam jangkamasa pendek.
Selepas dia bercinta dengan teman wanitanya yang berasal dari keluarga kaya, dia yang berasa tertekan telah cuba untuk membuktikan bahawa dia mampu mendapat wang secukupnya untuk menyara dirinya serta teman wanita tanpa perlu bergantung kepada sesiapa. Dalam situasi itu, dia telah membuat keputusan yang salah sehingga mengubah hidup dia selama-lamanya.
Mengapa anda menerima watak itu dan cabaran yang ditempuh semasa menjayakan peranan itu?
Sebenarnya saya menerima watak itu sebelum saya membaca skripnya kerana saya ingin bekerjasama dengan Lau Ching Wan (yang saya tidak bekerjasama sebelum itu). Selepas membaca skrip, baru saya sedar bahawa watak itu amat sukar untuk dijayakan.
Walaupun anda boleh kategorikan watak itu sebagai watak antagonis tetapi ia bukan bermaksud dia jahat. Cuma saat dia membuat keputusan itu tanpa berfikir panjang sehingga membawa dia kepada kehidupan lebih gelap kerana dia sebelum ini hidup dalam ambang seimbang - jahat dan baik.
Pengalaman bekerja dengan Lau Ching Wan dan Louis Koo.
Ia satu pengalaman yang bagus kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan mereka. Namun, pada mulanya berasa gementar kerana Ching Wan dan Loius pernah bergandingan di layar perak sebanyak sembilan kali. Maka, untuk melahirkan keserasian antara kami bertiga, saya perlu lebih bekerja keras kerana mereka berdua sudah lama mengenali. Itu cabaran saya dalam filem itu.
Justeru, sebelum memulakan penggambaran, saya ada menganjurkan parti di rumahnya untuk beberapa pelakon utama supaya dia dapat menjalin hubungan lebih erat sebelum penggambaran.
Tapi, selepas kami memulakan penggambaran dan kerap menghabiskan masa bersama, kami mula berkenalan dan hubungan serasi itu mula terbina. Ching Wan mungkin kelihatan serius tetapi dia sebenarnya seorang yang pemalu dan pendiam. Rasanya kami bertiga agak senyap di lokasi penggambaran dan itu yang membuatkan persekitaran bekerja yang selesa.
Apa yang anda pelajari semasa bekerja dengan pelakon veteran seperti Ching Wan?
Saya suka cara dia bekerja. Walaupun dihimpit dengan jadual yang padat, dia masih berlakon dengan relaks serta selesa. Musuh terbesar bagi mana-mana pelakon adalah gementar di set penggambaran kerana ia akan memusnahkan lakonan anda. Itu yang saya pelajari daripada Ching Wan.
Apakah rahsia kejayaan anda untuk bertahan begitu lama dalam industri?
Tidak berputus asa dan bersedia untuk bekerja keras serta tidak bergantung kepada sesiapa atau nasib yang baik. Anda mungkin bergantung kepada nasib tetapi jika anda tidak bekerja keras, anda akan terlepas peluang untuk berjaya. Saya pernah melihat ramai orang yang diberi peluang tetapi telah disia-siakan kerana mereka tidak berusaha.
Adakah anda pernah terfikir untuk mengembangkan karier di Hollywood dan mengapa?
Secara jujurnya, saya pernah memikirkan perkara itu sebelum ini. Namun, kini saya lebih mengambil berat terhadap persepsi Hollywood mengenai pelakon Asia yang pada tanggapan mereka aktor Asia kurang matang dan tidak fasih berbahasa Inggeris.
Pada mereka, pelakon Asia stereotaip dengan gangster, seni mempertahankan diri dan saya tidak mahu terus mempromosikan pandangan stereotaip itu. Tapi jika ada watak yang ditulis khas untuk pelakon Asia atau mengenai hero Asia dan Cina, saya mungkin akan memikirkannya.
Adakah senaman sebahagian aktiviti penting dalam kehidupan seharian anda?
Ya, jika saya tidak mempunyai masa untuk bersenam, saya akan rasa tidak selesa. Saya perlu bergerak dan berpeluh. Kini saya menyukai tinju Thailand dan sebelum ini saya ada mempelajari wushu. Disebabkan wushu mempunyai banyak gerakan fizikal yang kompleks, saya terpaksa berhenti kerana usia yang semakin meningkat.
Tinju Thailand pula membantu saya mengekalkan bentuk badan walaupun sukan itu amat memenatkan. Saya sukakan semangat tinju kerana ia satu cara yang baik untuk melepaskan tekanan. Ia juga satu cara untuk membantu saya mengekalkan tahap tenaga seharian.
Watak yang anda ingin mencuba tetapi belum mempunyai sebarang peluang?
Terdapat dua watak yang belum pernah dicuba dan akan cuba jika diberi peluang. Satu daripadanya adalah filem seni mempertahankan diri di mana saya boleh mempelajari kung fu. Bagus rasanya jika saya boleh membunuh beberapa ekor burung dengan hanya menggunakan seketul batu. Lagipun filem kung fu boleh memberi inspirasi kepada penonton untuk memilih sukan sihat itu.
Satu lagi adalah filem komedi. Sudah banyak saya berlakon dalam filem genre drama serta sentimental untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi saya amat berharap supaya berlakon untuk filem komedi. Saya suka banyak cerita komedi terutama lakonan Stephen Chow. Namun, stail lakonan dia amat sukar untuk diikut kerana dia terlalu hebat. Dia seperti Jim Carrey tetapi hanya dia boleh melakukan komedi versi 'Stephen'.
Perkara yang anda suka dan benci dalam industri hiburan?
Saya sukakan persekitaran yang kreatif yang selalu berubah. Itu sebabnya saya memilih untuk menjadi artis. Ia tidak membosankan kerana semua orang teruja apabila bercerita tentang filem tidak kira ia baik atau buruk. Semua orang bekerja keras untuk menghasilkan filem dan anda boleh merasakan tenaga teruja dan kreatif semasa berada di lokasi.
Apa yang saya tidak suka mengenai dunia hiburan adalah kekurangan ruang peribadi kerana masyarakat umum sukakan gosip dan mereka suka untuk mengetahui apa yang berlaku dalam kehidupan seharian anda. Sebab itu saya tidak suka mengambil tahu tentang kehidupan peribadi artis lain terutama semasa menjalankan penggambaran. Itu supaya ia tidak mempengaruhi lakonan saya.
Adakah anda bangga dengan karier anda dalam dunia hiburan setakat ini?
Rasanya setakat ini saya amat bertuah untuk terlibat dalam filem-filem hebat. Ia masih mengagumkan diri saya apabila memikirkan pertama kali saya datang ke Hong Kong dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Kantonis. Dalam masa 10 tahun sahaja, saya sudah mampu berdiri di sini. Sokongan peminat dan bantuan pengarah serta pelakon lain banyak membantu saya. Ia amat menakjubkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: