Saturday, August 1, 2009

Final Bintang Klasik Nasional di Kuantan - Pertarungan 12 penjuru


BARISAN 12 finalis Bintang Klasik Nasional yang bakal masuk gelanggang 2 Ogos ini.


BUKAN menoleh ke belakang tetapi pendekatan yang diambil lebih menjurus ke arah meletakkan lagu klasik di persada tanah air sebaris dengan lagu-lagu kontemporari.

Demikian tegas Pengawal Klasik Nasional, Chuari Selamat mengenai penganjuran final Bintang Klasik Nasional 2009 yang masuk tahun ketiga, 2 Ogos nanti.

Bukan di ibu negara namun kata Chuari, malam kemuncak Pertandingan Akhir Bintang Klasik Nasional kali ini sengaja memilih Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Ahmad, Kuantan, Pahang kerana mahu menyemarakkan seni dan lagu-lagu klasik bersama semua pencinta dan peminat lagu klasik di seluruh negara.

"Idea memilih Kuantan sebagai lokasi kemuncak pertandingan ini untuk memberi peluang kepada peminat di sana menikmati suasana pertandingan secara langsung, lagipun ketika peringkat saringan pertandingan ini diadakan sana, kami dapati jumlah peminat yang datang melimpah-ruah," kata Chuari pada sidang media memperkenalkan finalis Bintang Klasik Nasional 2009 di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Khamis lalu.

Seramai 12 orang finalis terpilih untuk bersaing menjelang malam kemuncak pertandingan bagi merebut gelaran juara bagi kategori lelaki dan perempuan. Mereka merupakan juara pertandingan peringkat zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Sarawak, Zon Sabah dan Zon Tengah.

Dilihat dari segi vokal dan kemantapan menguasai dan mendendangkan lagu-lagu klasik era 60-an hingga 90-an, kesemua peserta menunjukkan tahap yang membanggakan. Namun, dari satu sudut, rata-rata peserta akhir merupakan bekas-bekas peserta akhir yang pernah banyak pertandingan anjuran RTM sebelum ini.

Ada di kalangan peserta, Muhaimin Azzahan dari Zon Utara misalnya merupakan pemenang tempat ketiga Bintang Asli Remaja 2006 serta naib juara Idola Patriotik 2007. Azizul Haqqim Md. Anuwar yang mewakili Zon Selatan pula merupakan Johan Pertandingan Bintang Asli 2006 dan 2008 Peringkat Negeri Johor.

Kemunculan semula wajah-wajah yang sering tampil menghiasi banyak pertandingan nyanyian di RTM itu seolah-olah menunjukkan tiada penyertaan muka-muka baru dalam pertandingan nyanyian seumpama Bintang Klasik atau Bintang Asli.

"Bukan tidak ramai muka baru yang datang uji bakat, namun kemampuan mereka agak terbatas, apabila sampai ke saringan terakhir, pihak juri memilih peserta yang jauh lebih baik atas dasar vokal dan kemampuan yang dimiliki.

"Sepanjang uji bakat yang diadakan di seluruh negara, kami menerima lebih 1,000 peserta uji bakat. Ini menunjukkan pertandingan ini semakin mendapat tempat di hati peminat, khususnya generasi baru," tegas Chuari lagi.

Peserta yang terpilih peringkat akhir termasuklah Zainol Roslan, Norzarina Mohd Nordin, Abd Manaf Seron, Noor Azilah Kassim, Norhamimah Borhan dan Mohd Najib Hamzah.

Tidak ketinggalan Mohd Najib Hamzah, Rosmawati Mat Dali, Farridatul Akma Zulkaple, Azizul Haqqim Md Anwar dan Siti Maslina Abd Rasyid.

Dibahagikan kepada dua kategori, lelaki dan wanita, johan pertandingan itu bakal membawa pulang RM10,000, naib johan RM5,000 dan ketiga RM3,000. Enam hadiah saguhati bernilai RM1,000, trofi dan sijil turut disediakan.

Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2009 yang bertemakan 1Malaysia menggandingkan konsep lama dan baru itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pukul 8.30 malam, Radio Malaysia Klasik Nasional, Muzik Aktif dan Radio Malaysia, PahangFM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: