Saturday, August 1, 2009

Cinta Banderas, Zeta-Jones


FILEM Dali bakal menyaksikan Catherine Zeta-Jones dan Antonio Banderas bergandingan untuk kali ketiga.


KALI pertama Catherine Zeta-Jones dan Antonio Banderas dipertemukan adalah menerusi filem The Mask of Zorro pada tahun 1998.

Ketika itu, ramai yang berpendapat gandingan mereka berdua cukup menjadi dan berjaya menghangatkan filem berkenaan sehingga mencecah kutipan box-office pada tahun itu.

Biarpun Zeta-Jones merupakan anak kelahiran Wales, United Kingdom namun wajah jelita yang dimilikinya seperti wanita Sepanyol itu membuatkan audiens dan pengkritik merasakan dia sesuai membawakan watak wanita dari negara itu.

Tujuh tahun kemudian, mereka bergandingan sekali lagi dalam filem susulan Zorro yang diberi nama The Legend of Zorro.

Namun filem berkenaan dilihat gagal mengembalikan zaman kegemilangan gandingan mereka berdua seperti mana filem pertama dulu apabila mencatatkan kutipan yang mendukacitakan.

Empat tahun sudah berlalu dan merasakan aura dan kuasa yang dimiliki oleh mereka berdua masih utuh menyakinkan pihak penerbit untuk menggandingkan mereka sekali lagi.

Kali ini, ia bukanlah sebuah filem fantasi atau aksi tetapi sebuah filem biografi yang diangkat daripada kisah seorang pelukis Sepanyol terkenal, Salvador Dali.

Banderas akan memegang watak pelukis yang cukup terkenal dengan lukisan yang mengangkat subjek pelik dan luar biasa seiring dengan dirinya yang berfahaman surealisme.

Filem yang menggunakan judul Dali itu juga bakal memperlihatkan kehebatan Zeta-Jones yang akan memegang watak Gala Eduard Dalì iaitu isteri kepada Dali.

Buat masa ini, tiada sebarang tarikh rasmi dan lokasi penggambaran filem berkenaan.

Tetapi pihak penerbit seboleh-bolehnya mahukan filem Dali ditayangkan pada 11 Mei 2010 bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-106.

Salvador Dali meninggal dunia pada 23 Januari 1989 pada usia 86 tahun di negara kelahirannya, Sepanyol.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: