Saturday, August 1, 2009

Jamal sudah bersedia


Jamal Abdillah giat mengadakan latihan bersama penari-penari untuk memastikan konsert bercirikan persembahan Broadway berjaya dan bermutu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 31 Julai - Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah sudah bersiap sedia untuk menghiburkan peminatnya sempena konsert Jamal... Kembara Seniman di Istana Budaya (IB) di sini minggu depan.

Menurut Jamal, sehingga kini, persiapan untuk menjayakan konsert yang bermula 5 hingga 9 Ogos ini berjalan lancar.

''Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kalau diikutkan, persiapan sudah 80 peratus menepati perancangan saya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jamal yang juga juara Bintang RTM 1979 akan mengadakan persembahan selama lima malam berturut-turut di IB bermula Rabu depan.

Konsert Jamal... Kembara Seniman turut menggabungkan teater muzikal yang bakal menceritakan kisah hidup seniman berusia 50 tahun itu.

Bermula hari ini, Jamal bersama pasukan produksi serta pemuzik-pemuzik yang bakal mengiringi persembahannya sudah memasuki Panggung Sari, IB untuk mengadakan latihan.

''Sebetulnya saya sendiri sudah tidak sabar untuk beraksi kerana pendekatan persembahan kali ini jauh berbeza dengan persembahan yang pernah saya adakan sebelum ini.

''Saya sangat gembira dengan pencapaian jualan tiket melebihi 50 peratus dan saya menjangkakan penjualan tiket akan terus meningkat menjelang hari-hari terakhir persembahan,'' ujar Jamal yang turut bertindak selaku penulis skrip dan pengarah persembahan solonya itu.

Konsert Jamal... Kembara Seniman diterbitkan oleh syarikat produksi beliau sendiri, Bintang Channel dengan kerjasama IB serta Kumpulan Utusan sebagai rakan media.

Pementasan yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 penglibatan beliau sebagai anak seni turut menampilkan pemuzik veteran, S. Atan sebagai pengarah muzik dan Zainal Abiddin Bujang sebagai pengarah bersama persembahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: