Saturday, August 1, 2009

Giliran Ahdan disingkir


SHAHDAN SALLEH


TIADA apa lagi yang mampu dilakukan olej bekas anggota kumpulan Flava, Shahdan Salleh atau nama komersialnya, Ahdan, 25, selain daripada akur dengan penyingkirannya dalam Pentas Pilih Kasih minggu lepas.

Ahdan yang sudah kali keempat berada di kelompok tiga terbawah melalui peratusan undian terpaksa menerima keputusan Rosyam Nor yang menghantarnya pulang dan memberi laluan kepada 12 peserta lain.

Kesemua peserta lain yang masih bernasib baik termasuklah peserta yang direhatkan seminggu, Zulin Aziz yang kehilangan ayahnya minggu lalu.

Ahdan menerima 2.4 peratus undian bersama dua lagi peserta yang turut mendapat undian terendah iaitu Iqbal Mazlan (2.6 peratus) dan Wanina Zaki (3.6 peratus).

"Saya reda dengan keputusan ini malah bersyukur kerana sudah kali keempat saya berada di tangga terbawah namun sering diselamatkan oleh abang Rosyam.

"Lalu, bila nama saya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan," kata Ahdan mengulas penyingkirannya.

Pada masa yang sama, Ahdan berkata, dia sangat gembira kerana terpilih menyertai Pilih Kasih kerana matlamatnya untuk menimba seberapa banyak ilmu lakonan tercapai.

"Erma Fatima, Amy Maziah, Along Kamaluddin, Rohani Yusof, Rosmina Tahir dan abang Rosyam sendiri telah banyak memberi pendedahan berguna serta ilmu dalam bidang lakonan.

"Ini satu peluang yang cukup berharga dan pastinya saya akan rindukan setiap detik berada di Pilih Kasih," katanya.

Pengarah teater muzikal, Erma Fatima yang menitiskan air mata sebaik Ahdan diumumkan tersingkir memuji lakonan anak muda itu terutamanya menerusi segmen monolog.

Malah kata Erma, peningkatan dari aspek penghayatan watak dapat dilihat pada diri Ahdan pada setiap minggu.

Bagaimanapun, pada minggu-minggu sebelum ini, lakonan Ahdan dikatakan agak klise serta tiada perbezaan dan kelainan.

Barangkali kerana personaliti dan karakternya yang lucu serta gemar berjenaka menjadikan lakonannya juga menerima tempias.

"Saya tak nafikan dan saya juga tidak bersetuju dengan dakwaan seumpama itu namun saya yakin saya sering menampilkan sesuatu yang berbeza pada setiap minggu.

"Mungkin watak dan karakter yang diberi kepada saya lebih menjurus kepada unsur lawak menyebabkan orang luar melihat saya sebagai stereotaip," kata Ahdan mempertahankan dirinya.

Filem Azura yang suatu ketika dahulu pernah menjadi fenomena lakonan Fauziah Ahmad Daud dan Jamal Abdilah sekitar 1980-an, diangkat sebagai tema teater muzikal Pentas Pilih Kasih yang disiarkan secara langsung di TV2.

Bagaimanapun, cereka asalnya telah digarap semula oleh Erma bagi menyesuaikan dengan konsep pementasan teater serta mengimbangi keseluruhan watak kepada 12 peserta Pilih Kasih yang masih bersaing di gelanggang seni lakon itu.

Sementara itu, Rosyam yang sudah empat kali menyelamatkan Ahdan tidak dapat mengulas panjang mengenai keputusan itu.

Sebaliknya, apa yang diharapkan oleh aktor itu ialah setiap anak didiknya lebih bersikap positif dan tenang dengan sebarang keputusan.

Pada masa yang sama, pelakon terkenal, Nasir Bilal Khan yang dijemput selaku pengkritik undangan di samping pengkritik tetap, Dr. Abu Hassan berkata, persembahan kesemua peserta Pilih Kasih mampu dibanggakan.

Bahkan, katanya, masih banyak peluang yang ada untuk mereka mengembangkan bakat.

Aktor senior itu berkata, dia secara peribadi begitu teruja dengan pementasan teater Azura oleh peserta-peserta Pilih Kasih minggu lepas.

"Saya lebih suka menonton persembahan mereka menerusi segmen teater muzikal berbanding filem itu sendiri kerana kesan dan impaknya lebih terasa dan dekat kepada saya selaku penonton," ulas Nasir.

Ini kerana menurut Nasir, tanggungjawab pada peserta untuk mengadakan pementasan teater dengan persiapan dan latihan dalam tempoh lima hari bukan satu kerja yang mudah untuk dilaksanakan.

Namun, kesemua peserta itu katanya, berjaya menampilkan sebuah persembahan yang sederhana tetapi meninggalkan impak.

"Saya sendiri amat tertarik dengan lakonan berkesan daripada Wanina Zaki kerana beliau cukup mendalami watak serta karakternya sehingga saya sebagai penonton dapat rasakan apa yang ingin disampaikan baik menerusi monolog dan teater muzikal.

"Kalau kita lihat Fauziah Ahmad Daud sendiri, orangnya kecil tetapi bakat lakonannya sangat besar dan luas," kata Nasir lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: