| PENGALAMAN menjadi guru dan tenaga pengajar di Kolej Methodist, Unit Pengajian Awam dan Pusat Zakat Selangor memberi kelebihan kepada Shadiya Abbas mengendalikan kanak-kanak dalam Haiwan Teladan. |
Rancangan disiarkan setiap Jumaat, jam 7 malam di TV3 itu turut menampilkan penyanyi nasyid, Amar yang mendendangkan lagu khas dicipta mengenai topik haiwan diketengahkan.
Walaupun masih baru dalam bidang pengacaraan, namun Shadiya, pemegang ijazah dalam bidang Usuluddin Universiti Malaya (UM) ini bagaikan sudah biasa berhadapan dengan kamera.
Ketika ditemui pada sesi fotografi khas bersama Rap, jelas Shadiya, selain berpengalaman dalam bidang pendidikan, statusnya sebagai ibu kepada Ahmad Al-Fateh, lima tahun memberi kelebihan.
"Kanak-kanak seperti yang kita tahu telus dan jujur, mereka ini tidak sabar dan cepat bosan. Selalunya, saya mengendalikan rancangan itu tanpa menghafal skrip.
"Sebagai wartawan penyiaran, tugas saya banyak membuat penyelidikan. Memang saya gemar melakukannya kerana menerusinya, banyak perkara baru yang dapat saya pelajari.
"Rancangan Haiwan Teladan ini membabitkan kisah binatang yang ada disentuh dalam al-Quran dan Hadis. Saya harus mengupasnya dan mempersembahkan dengan cara paling sesuai agar mudah dihayati anak kecil.
"Apabila membuat penyelidikan sendiri, ia menjadi mudah kerana semua ada dalam kepala. Kanak-kanak ini reaksinya spontan, jadi apabila mereka memberikan reaksi secara tiba-tiba, saya boleh mengawalnya.
"Bayangkan kalau saya mengendalikan rancangan ini mengikut skrip dan ada kanak-kanak ini memberi reaksi spontan, pasti penyampaian saya akan terganggu," katanya.
Selain itu, katanya, sepanjang bertugas hampir setahun bersama TV3 sebagai wartawan penyiaran menyebabkan Shadiya tidak canggung beraksi di hadapan kamera.
| |
"Menyertai pertandingan Muhasabah Diri dianjurkan rancangan Al-Hidayah, Februari tahun lalu, turut memberikan sedikit pengalaman kepada saya.
| |
"Waktu sama, sebelum menyertai TV3, saya sebelum ini pernah bertugas sebagai penyampai radio di stesen Institut Kemajuan Islam Malaysia (Ikim) selama tiga tahun.
"Saya seronok sepanjang bekerja secara sambilan di stesen radio itu. Ia mengajar saya bagaimana hendak berinteraksi dengan orang ramai.
"Ikutkan memang saya suka meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio tetapi mengenangkan kerjaya di bidang penyiaran ini impaknya lebih besar, membuatkan saya mengambil keputusan untuk beralih bidang dan menjadi wartawan penyiaran dan pengacara," katanya.
Melalui peringkat akhir Teman Muhasabah Al-Hidayah, Shadiya mendapat tempat ketiga dengan Nazrah Noor Rahmat menjuarai pertandingan itu, sementara Salmah Sheikh Hassan tempat kedua.
Di sebaliknya, Shadiya menafikan pembabitannya dalam bidang pengacaraan untuk mencari populariti, sebaliknya berasakan ia saluran terbaik dalam berkongsi ilmu diperoleh.
"Walaupun bertugas di TV3, tetapi saya tetap perlu menghadiri uji bakat bagi mengendalikan rancangan Haiwan Teladan. Ketua Jabatan saya iaitu Rozmi Kamarudin sarankan agar saya mencuba, memandangkan saya lebih faham konsep rancangan dan penyelidikan mengenainya, saya lakukan sepenuhnya," katanya.
>Profil
Nama Penuh: Shadiya Abbas (Diya)
Asal: Klang, Selangor
Tarikh Lahir: 24.10.1980
Akademik: Sarjana Muda Usuluddin Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Hobi: Melakukan penyelidikan membabitkan bidang pemikiran
Kerjaya: Wartawan penyiaran dan pengacara
Pencapaian: Pemenang tempat ketiga Pertandingan Muhasabah Diri Al-Hidayah
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: