Friday, April 24, 2009

Banteras cetak rompak


PENINGKATAN kadar muat turun digital sedikit sebanyak menjejaskan seluruh komuniti muzik bermula daripada pemuzik, penulis lirik, penerbit, jurutera rakaman serta profesion lain yang punca pendapatannya berasaskan muzik.

Paling ketara, penyertaan Anugerah Industri Muzik (AIM) setiap tahun sejak kebelakangan ini menurun hingga ada kategori tertentu menerima penyertaan terhad.

Sempena AIM16 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) dengan kerjasama penyiar rasmi AIM16, ntv7 dan penaja utama, Celcom, menjalankan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk membanteras kegiatan cetak rompak di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 11 April lalu.

Kempen Stop Piracy, Download Digitally itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai dengan mendidik pengguna bagaimana untuk kekal menikmati muzik berkualiti tinggi.

Naib Presiden Komunikasi Korporat, Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata sehingga kini, kegiatan muat turun digital tidak sah di Internet dilihat berleluasa hingga mendorong pihaknya memainkan peranan utama untuk menghentikan kegiatan cetak rompak dengan melancarkan kempen ini.

"Sebagai pendukung kuat kepada industri muzik, kami mahu memastikan artis tanah air terus diberi penghormatan. Melalui kempen ini, mereka akan berupaya menikmati punca pencarian yang berterusan dan lebih baik apabila pengguna memilih untuk muat turun muzik tulen melalui saluran yang betul," katanya.

Diadakan sempena siri kedua promosi jelajah AIM16, aktiviti tanggungjawab sosial korporat itu turut dihangatkan lagi dengan barisan persembahan artis ternama termasukMisha Omar, Reshmonu, Dina, All One, Wildan, Shila OIAM, Alyah, Karen Nunis Blackstone dan Nrocinu.

Program diacarakan penyampai Hot FM, Fara Fauzana dan Fly FM, Prem dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan permainan yang turut disertai peminat. Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dan mengambil autograf artis yang hadir.

Selepas beberapa jelajah promosi AIM16 di sekitar Kuantan dan Sungai Petani, siri road tour AIM diteruskan di Queensbay Mall, Pulau Pinang jam 3 petang Sabtu ini, sekali gus destinasi terakhir sebelum acara kemuncak Sabtu depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: