Friday, April 24, 2009

Semangat Mahsuri...Vanidah Imran


Vanidah Imran

Vanidah Imran teruja dapat tawaran Istana Budaya untuk jayakan teater Mahsuri mulai malam ini hingga 30 April

WALAUPUN pernah merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2007 dan terbabit dalam banyak filem dan drama tempatan, Vanidah Imran (Vee) tidak pernah merasa dirinya hebat untuk beraksi di pentas teater pula.

Pengalaman yang dilalui di layar perak tidak sama dengan pentas teater. Cabarannya sudah pasti berbeza, namun itulah yang diharapkan Vee untuk memperkembangkan bakatnya dalam lakonan.

Menurut Vee, sekali lagi tawaran yang diberikan Istana Budaya dalam menjayakan teater Mahsuri yang berlangsung di Pentas Bertaraf Dunia itu mulai malam ini sehingga 30 April akan disahut dengan semangat yang kental.

“Terbabit dalam bidang teater ini sebenarnya bagi saya adalah satu perjuangan yang sebenar bagi orang seni kerana untuk berlakon di pentas teater bukan mudah seperti yang kita lihat.

“Situasinya sama sekali berbeza daripada berlakon di set penggambaran, namun inilah yang akan saya tempuhi dalam menjayakan teater arahan pengarah yang sangat saya sanjung semangatnya dalam memperjuangkan bidang teater iaitu Fauziah Nawi,” katanya.

DARI (kiri); Azharudin Ramli, Vanidah dan Azman Md. Hasan

Setiap filem, drama dan teater yang diterajuinya sudah pasti harus melalui pelbagai cabaran. Baginya, tanpa cabaran apalah ertinya kepuasan yang akan diterima dalam bidang lakonan.

“Apabila mendengar Istana Budaya akan mementaskan teater Mahsuri, saya mengambil keputusan untuk meluangkan sedikit masa bagi menghadiri sesi uji bakat yang diadakan.

“Sebaik berjaya terpilih sebagai watak utama iaitu tokoh wanita yang mempunyai segala sifat mulia, peluang keemasan ini tidak harus saya lepaskan dan inilah kemuncak kerjaya lakonan saya di pentas teater.

“Sebaik meneliti skrip, saya dapati watak ini akan menguji saya dengan beberapa situasi yang tidak pernah saya lakukan sepanjang berada dalam bidang lakonan. Antaranya ialah menyanyi dan bersilat.

“Memandangkan Mahsuri juga adalah serikandi yang hebat, jadi saya sedaya upaya akan berlatih dengan jurulatih silat yang profesional untuk meningkatkan ilmu persilatan saya.

“Namun apa yang membuatkan bakat saya akan teruji selepas ini adalah bakat suara saya dalam bidang nyanyian pula, jadi kalau nak dengar saya menyanyi dalam teater Mahsuri ini jangan lupa menonton teater ini,” katanya yang akan digandingkan dengan pelakon baru Arja sebagai suami Mahsuri iaitu Wan Darus.

Berdebar jadi suami Mahsuri

ARJA atau nama sebenarnya Azharudin Ramli memikul tanggungjawab sebagai Wan Darus iaitu suami kepada Mahsuri cukup bermakna buatnya. Bukan saja peranan yang diberikan itu dianggap besar tetapi gembira apabila dapat digandingkan dengan pelakon Wanita Terbaik dalam FFM2007.

“Uji bakat yang saya hadiri lalu bukanlah meletakkan harapan yang tinggi untuk terbabit sama dalam teater ini tetapi sekadar mahu mencuba. Saya juga tidak kisah apakah peranan yang akan diberikan sekiranya saya berjaya dalam uji bakat itu. Dapat peranan kecil pun sudah memadai kerana niat saya hanyalah ingin mengasah bakat dan menimba lebih banyak ilmu dalam dunia seni ini.

“Mungkin inilah dikatakan rezeki apabila saya diumumkan akan memegang watak sebagai Wan Darus iaitu suami kepada Mahsuri dan saya tahu peranan itu sememangnya berat.

“Lebih lagi saya akan bergandingan dengan pelakon wanita yang hebat seperti Vanidah Imran. Memang saya berdebar kerana saya masih baru dalam bidang lakonan ini jika hendak dibandingkan dengan pasangan saya.

“Namun itu semuanya akan saya harungi untuk meletakkan bakat saya setinggi pelakon yang sudah jauh berpengalaman,” katanya.

Sebagai suami kepada Mahsuri, Arja turut akui akan ada aksi-aksi romantik yang harus menampakkan kemesraan pasangan itu apabila berada di atas pentas.

“Selepas meneliti skrip dan perbincangan bersama pengarah memang akan ada beberapa aksi kemesraan saya dengan Vee, namun ia bukanlah keterlaluan.

“Semuanya saya dan Vee sudah bincangkan dan ia bukanlah satu masalah yang menyekat kreativiti lakonan kami. Lebih-lebih lagi Vee pun sudah meminta kebenaran suaminya untuk bergandingan dengan saya dalam teater ini,” katanya.

IB hargai semangat, komitmen Fauziah Nawi

KETUA Pengarah Istana Budaya (IB), Mohamed Juhari Shaarani, berkata pihaknya sentiasa memberi peluang kepada penggiat teater tempatan yang komited dalam bidangnya dengan tujuan mengangkat bidang teater ke satu tahap antarabangsa untuk beraksi di IB.

“Pemilihan Fauziah Nawi untuk mengarahkan teater Mahsuri ini selepas melihat kesungguhan beliau memperjuangkan seni teater selama ini.

“Beliau adalah antara penggiat teater yang tidak pernah kenal erti putus asa selepas menerima pelbagai diskriminasi dalam memartabatkan bidang yang dicintai itu..

“Walaupun selama ini dia hanya berpeluang mementaskan teater di pentas yang kecil, namun karyanya setiap tahun tetap dipentaskan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan terutama masalah kewangan.

“Penggiat seperti inilah yang seharusnya diberi peluang untuk menunjukkan kesungguhan dan membuktikan siapakah yang sememangnya berhak untuk diberi peluang,” katanya

Pementasan Mahsuri yang mengisahkan seorang wanita yang terpaksa menelan pahit dan jerih kehidupan golongan itu turut menjadi sebab utama pemilihan Fauziah sebagai pengarah.

“Hanya wanita yang memahami perasaan dan kehidupan sesama mereka. Justeru, wanita jugalah yang selayaknya mengarahkan pementasan ini. Sebab itulah kami memilih beliau untuk mengarahkan kisah yang julung kali dipentaskan ini," kata Juhari.

Fauziah pula yang menghargai kepercayaan IB mengakui tanggungjawab yang diberikan adalah tugas yang cukup berat untuk digalas.

“Saya sangat berterima kasih dan menyanjung tinggi kepercayaan yang diberikan Juhari kerana memberi peluang terbesar dalam hidup saya sepanjang menjadi anak seni untuk mementaskan teater Mahsuri.

“Saya percaya, semua pengarah ada memasang impian untuk mengarah di IB termasuklah saya yang sudah lama mengidam peluang ini. Walaupun sedar produksi Mahsuri adalah antara produksi terbesar IB tahun ini, peluang ini tidak akan disia-siakan.

“Selama ini pun, kebanyakan teater yang diarah atau diterbitkan cuma bersifat kecil-kecilan saja, malah jumlah khalayaknya pun tidak sebesar di IB,” katanya.

INFO: Teater Mahsuri

  • Selain Vee dan Arja, turut membintangi teater ini ialah Azman Md Hasan (Deramang) dan Azizah Mahzan (Wan Endah). Senarai pelakon bagi watak lain seperti Wan Mahura, ibu mentua

    Mahsuri masih lagi diteliti oleh tenaga produksi teater ini.

  • Selain Fauziah sebagai pengarah, tenaga produksi lain bagi pementasan ini ialah Rahimidin Zahari (penulis Skrip), Irwan Ismadi (pengarah Artistik), Mohd Yazid Zakaria (pengarah muzik) dan Iryanda Mulia Irwadi (komposer).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: