| PENAMPILAN artis ketika menjayakan persembahan sering menarik perhatian ramai. Sama ada majlis ringkas atau undangan menjayakan konsert, kemampuan artis menghiburkan penonton sering diambil kira. |
SS pasti ramai yang suka menyaksikan konsert di tempat terbuka mahupun persembahan secara santai diiringi kumpulan pemuzik di lokasi tertentu. Tidak kira genre muzik apa sekalipun yang penting ia menghiburkan dan enak didengar. Sekali menikmati alunan muzik membuatkan jiwa tenang dan terhibur.
Baru-baru ini, teman SS menghadiri konsert hebat yang cukup gah dengan nama besar dalam dunia seni suara tanah air. Konsert yang julung kali diadakan itu sememangnya berbeza daripada konsert sedia ada kerana mempunyai tema dan konsep tersendiri.
Menurut teman SS inisiatif penganjur mengadakan konsert berkenaan wajar dipuji walaupun kurang mendapat sambutan dari segi penonton. Apatah lagi untuk menyaksikan penganjuran konsert besar membabitkan artis terkenal tempatan agak sukar kebelakangan ini.
Konsert yang boleh disifatkan lengkap dengan kesan khas dan sistem bunyi yang baik sememangnya memberi kepuasan kepada penonton yang menyaksikannya.
Begitupun, apa yang mengecewakan teman SS apabila kemunculan seorang penyanyi rock terkenal tanah air seakan-akan tidak bersedia untuk menjayakan persembahan itu.
Ketika tampil menjayakan persembahan penyanyi berkenaan menyanyi lagu popularnya seperti biasa, tetapi belum sampai babak chorus penyanyi berkenaan sudah mengajak peminat turut serta menyanyi bersamanya. Bukan sekali dua penyanyi berkenaan berbuat demikian malah sepanjang persembahannya sebahagian besar lagu tidak kedengaran disebabkan tindakannya itu.
SS tahu cara penyanyi berkenaan untuk mengajak peminat menyanyi bersama adalah sebahagian daripada persembahan tersendirinya. Begitupun, tindakan itu seolah-olah penonton yang menjayakan persembahan konsert itu. Bukankah persembahan artis berkenaan dibayar untuk menghiburkan penonton.
Tidak cukup dengan itu, penyanyi berkenaan juga tidak dapat menghafal dengan baik lirik lagu yang disampaikan. Sekali gus menunjukkan persembahan berkenaan dilakukan tanpa persediaan yang rapi.
SS harap sebagai orang lama, penyanyi berkenaan perlu menunjukkan contoh yang baik selain dapat mempertingkatkan mutu persembahan apatah lagi membabitkan konsert besar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: