Friday, April 24, 2009

Penjelajahan Anak Wayang


UNTUK memeriahkan lagi dunia seni tanah air, Astro meneruskan kegemilangannya menerbitkan program realiti terbaru, Anak Wayang, bagi mencari bakat baru dalam bidang lakonan. Anak Wayang sudah memulakan penjelajahan untuk mencari pelakon berpotensi yang layak bergelar anak wayang dengan mengadakan uji bakat di Johor Bharu, Pulau Pinang dan Shah Alam.

Memetik kata Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, sejak Astro memperkenalkan program realiti popular Akademi Fantasia, Astro berjaya melahirkan penyanyi seperti Vince, Zahid, Mawi, Mila, Stacy dan pelawak versatil melalui program realiti Raja Lawak Astro seperti Nabil, Johan, Zizan dan terbaru kumpulan Sepah.

"Kini tiba masanya Astro melahirkan sebutir lagi bintang yang akan menyinari dunia drama tempatan pula. Projek yang dilancarkan ini juga dilihat mendukung hasrat syarikat yang ingin menjadikan Astro sebagai destinasi utama bagi drama terbaik tempatan melalui payung penjenamaan, Astro Megadrama.

Projek Anak Wayang bakal dijana dua saluran yang akan berganding bahu, Astro Ria dan Astro Prima yang masing-masing akan menayangkan program realiti bagi mencari bakat lakonan dan drama bersiri yang akan berlangsung serentak. Projek ini akan melihat peserta bertanding untuk memegang watak jururawat, mekanik, pengelola majlis, gangster dan setiausaha untuk drama bersiri 50 episod yang akan disiarkan di Astro Prima berjudul Kecuali Cintamu. Drama itu akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 malam.

Setiap minggu peserta akan menerima didikan dalam dunia lakonan di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang lakonan. Panel juri yang ditetapkan pula akan menilai prestasi mereka dan memilih hanya dua peserta untuk mara ke depan. Nasib dua peserta ini akan ditentukan oleh undian SMS. Bagi mengetahui keputusan undian SMS, penonton perlu menyaksikan drama itu setiap minggu.

Uniknya projek Anak Wayang apabila Astro mencari calon bagi pemegang lima watak utama dalam drama bersiri itu pada setiap minggu. Lima watak itu kemudian perlu mengekalkan mutu lakonan mereka dalam drama bersiri di Astro Prima kerana tiga watak akan dimatikan dan memberi pilihan kepada penonton untuk memilih hanya seorang yang layak bergelar Anak Wayang melalui undian SMS.

Menerusi uji bakat yang dijalankan di tiga negeri, pihak Astro menerima sambutan luar biasa. Di Shah Alam saja, selama dua hari uji bakat diadakan hampir 2,000 datang. Lakonan mereka diuji Marlia Musa, Roslan Hussein dan Faizal Hussein. Jelas Marlia, mereka menemui peserta yang hebat di Johor Bharu.

"Oleh itu kami meletakkan penanda aras yang tinggi untuk peserta di Pulau Pinang dan Shah Alam. Faktor utama peserta yang kami pilih mestilah mempunyai karektor berwarna-warni dan bakat yang baik. Di Pulau Pinang ada sedikit penurunan tetapi di Shah Alam cabaran untuk memilih peserta yang layak lagi besar.

"Ramai bakat baru yang terdiri daripada mereka berpendidikan tinggi dan ada yang tidak pengalaman langsung," katanya.

Baru-baru ini, Astro memperkenalkan tenaga pengajar Anak Wayang, Marlia Musa selaku guru lakonan, Mohd Kamaruzaman Taib (Che Kem - guru skrip dan analisa), Fauziah Nawi (guru lakonan dan vokal) dan pensyarah dari Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif serta juri tetap Sehati Berdansa 2, Hamzah Tahir (guru olah tubuh).



Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, Astro percaya tenaga pengajar yang dipilih ini mempunyai kekuatan tersendiri di samping pengalaman yang meluas dalam bidang seni lakon layar dan persembahan pentas untuk dikongsi bersama calon Anak Wayang dan penonton.

"Tugas dan pengkhususan sudah diberikan kepada barisan tenaga pengajar bertujuan untuk memberikan penekanan bagi setiap aspek sudut lakonan," katanya.

Pada majlis sama, projek mega Anak Wayang turut mengumumkan barisan pelakon yang akan menerajui drama Kecuali Cintamu, Liza Abdullah, Roslan Salleh, Tasha Aziz, Sabrina Hassan, Pushpa Narayan, Ezani Zariff, Zain Ruffedge, Ainul Aishah, Haleeda, Nanu Baharudin, Aman Shah, Mustapha Kamal dan Shah Hassan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, drama itu akan menjadi lebih hebat dengan kemasukan watak sampingan yang terdiri daripada calon Anak Wayang yang memenangi undian SMS tertinggi setiap minggu bagi merebut lima watak tambahan yang ditetapkan," katanya.

Bagi memantapkan persembahah Anak Wayang, Rusdi Ramli akan mengacarakan Pentas Anak Wayang dan Norfazura akan mengacarakan Dialog Anak Wayang dan Sesi Anak Wayang. Projek ini akan mula bersiaran di Astro Ria pada 22 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: