| PERANAN Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam mengangkat bidang seni seperti muzik, teater, tarian, penulisan kreatif, filem dan video bermula sejak pusat pengajian tinggi ini ditubuhkan pada 1994. Turut dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) sebelum ditukar nama kepada Aswara pada 1 Ogos 2006, kewujudan Aswara nyata memberi peluang kepada mereka yang berminat mendalami bidang seni agar memperoleh kelulusan akademik. |
Sungguhpun Aswara masih menggunakan nama Akademi tetapi graduan mereka mampu berbangga apabila kerajaan turut menaik taraf kepada universiti sejak tiga tahun lalu. Selepas hampir 15 tahun beroperasi, Aswara masih kukuh sebagai platform dalam mendidik pelajar agar lebih bersedia menjadi penggiat seni yang berbakat dan mampu memberi sumbangan besar pada perkembangan hiburan tempatan.
Dalam melahirkan graduan berpotensi setiap tahun, Aswara turut memainkan peranan penting apabila menganjurkan Kem Muzik Jazz, Pop & Rock yang berlangsung selama empat hari bermula 16 April lalu. Menariknya, acara ini diadakan julung kali dan bukan hanya membabitkan pelajar di Aswara tetapi turut terbuka pada orang ramai yang berminat untuk turut serta.
Dekan Fakulti Muzik, Ayob Ibrahim, berkata sambutan yang diterima daripada peserta yang ingin mengikuti kursus jangka pendek ini begitu menggalakkan hingga penganjur terpaksa memilih hanya mereka yang layak diserap sebagai peserta.
"Acara ini terbuka pada mereka yang berusia 16 tahun ke atas dan tiada had maksimum dikenakan. Bagaimanapun, pada mulanya kami tidak sangka apabila ramai yang mahu turut serta dalam acara ini termasuk ada pelajar berusia 12 tahun menyatakan minat tetapi dia tetap tidak layak kerana faktor usia.
"Kami menjangkakan hanya 100 peserta terbabit untuk acara kali ini tetapi jumlahnya meningkat melebihi 200 peserta. Walaupun ia terbuka, sebaliknya kami memberi peluang pada pelajar kami sendiri untuk terbabit sama. Tujuan kami mahu pelajar Aswara mendapat pendedahan dan pada masa sama berinteraksi dengan orang luar.
"Matlamat asal acara ini adalah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang ramai yang berminat tetapi tidak berpeluang untuk belajar sebelum ini. Pastinya, acara ini memberi banyak manfaat pada peserta dan ia mampu menggalakkan remaja dengan aktiviti berfaedah.
"Buat masa ini, kami mempunyai 23 tenaga pengajar yang turut terbabit dalam memberi tunjuk ajar kepada peserta acara ini. Di samping latihan berbentuk tutorial, acara ini juga menyediakan pameran dan gerai menjual instrumen muzik yang mempunyai diskaun. Atas sambutan ini, kami menjangkakan acara ini dapat dijadikan acara tahunan pada masa akan datang," katanya.
Mengenai perkembangan kursus pengajian muzik, Ayob berkata, Aswara pernah menerima permohonan mencapai 500 pelajar tetapi hanya 60 pelajar diambil untuk setiap semester memandangkan kapasiti ruang pembelajaran masih belum mencukupi.
Katanya, Fakulti Muzik mempunyai 24 tenaga pengajar sepenuh masa manakala 50 separuh masa. Hingga kini, lebih 200 pelajar mengikuti kursus peringkat ijazah sarjana muda (diperkenalkan sejak 2007) dan diploma (diperkenal sejak 1994).
| |
"Kami berhasrat untuk menawarkan kurus peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) pada masa akan datang. Untuk pengambilan Julai nanti, kami mula menerima permohonan pelajar dari luar negara seperti Indonesia dan Brunei. Kami berharap mereka yang berminat dapat menyertai Aswara," katanya.
| |
Pada acara penutup kem muzik kali ini, beberapa peserta tampil membuat persembahan antaranya kumpulan Butterfly, juara Rentak Juara Rhythm Of Champions (RJROC) tahun lalu, Aisunam, Soul Brother, OAL dan Erik Li Jazz Latino.
Sebelum persembahan bermula, satu majlis penyampaian sijil penyertaan kepada peserta disempurnakan Rektor Aswara, Datuk Omar Awang.
Penyanyi merangkap pensyarah di Aswara, Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila berkata, kebanyakan peserta yang hadir mempunyai bakat tersendiri sama ada menyanyi atau bermain muzik.
Berdasarkan respons peserta, acara ini disokong agar diteruskan pada masa akan datang. Untuk kem ini, Dia bertanggungjawab mengajar vokal untuk genre pop dan rock.
"Sebagai pengajar, cabaran tetap ada kerana peserta yang mempunyai latar belakang muzik, mereka cepat faham berbanding peserta yang baru mula belajar aspek muzik. Saya tetap gembira walaupun peserta tidak dapat 100 peratus apa yang diajar tetapi peserta tahu perkara asas seperti cara pernafasan, sebutan dan gerak badan yang betul.
"Sepatutnya kem ini diadakan dalam tempoh yang lebih panjang mungkin dua minggu dan peserta diberi peluang untuk 'berkampung' di sini agar lebih banyak mereka belajar. Apapun, saya terharu dengan respons peserta yang mengambil bahagian termasuk menarik perhatian bangsa bukan Melayu seperti Cina dan India," katanya.
Bagi peserta muda, Farah Hanna Roslam, 18, dia gembira kerana berpeluang mengikuti kem berkenaan meskipun selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu. Katanya, dia tertarik untuk turut serta kerana minat mendalam pada muzik khususnya nyanyian.
"Saya minat menyanyi sejak berusia 11 tahun dan selepas menyertai acara ini, baru saya tahu bagaimana cara menyanyi dengan betul sama ada dari aspek pernafasan atau lontaran vokal. Pada saya, acara ini sangat bagus diadakan kerana memberi peluang pada orang luar seperti saya untuk belajar," katanya.
Peserta, Khairul Nizam Nazri, 25, pula berkata pengalaman yang ditimba berbeza biarpun dia masih menduduki tahun akhir pengajian Diploma Muzik. Katanya, dia melihat acara ini sebagai platform berkongsi pandangan dengan ramai pengajar yang berpengalaman dalam muzik termasuk komposer.
"Menerusi acara ini, peserta juga berpeluang menambah kenalan dengan ramai penggiat seni yang turut hadir pada acara penutup ini. Acara ini suatu yang menarik perhatian khalayak dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: