| BAGI mereka yang menyaksikan persembahan Britney Spears sepanjang konsert jelajah Circus, tentu dapat melihat dalam satu klip video lagu popular Eurythmics, Sweet Dreams menggambarkan Britney menggoda Marilyn Manson. |
Bagi sesetengah peminat, gandingan mereka berdua nampak janggal tetapi sebaliknya bagi buah hati Manson, Evan Rachel Wood menyukai gandingan itu dan menganggap ia satu idea yang bagus.
Malah Rachel turut mencadangkan kerjasama itu dipanjangkan lagi kepada persembahan duet. Katanya, dia teringin sangat untuk melihat kedua-duanya berkongsi pentas menyanyi bersama.
"Ia pastinya menjadi satu persembahan hebat. Siapa yang tidak ingin melihat Marilyn Manson dan Britney Spears menyanyi bersama di pentas?" katanya.
Mengenai gandingan mereka dilihat janggal, kata Rachel, sesuatu yang dilihat pelik itu nampak unik sebagaimana gandingannya dengan Larry David dalam filem terbaru Woody Allen, Whatever Works.
"Dalam filem itu, saya berkahwin dengan Larry David. Ia memang pelik. Tapi apabila saya beritahu kepadanya mengenai idea untuk menggandingkan dia dengan Britney, Manson sangat menyukainya.
"Katanya, antara mereka berdua mempunyai persamaan kerana suka bergurau," katanya.
Mengenai lagu sesuai untuk mereka berduet apakah lagu Britney atau Manson, kata Rachel, mungkin mereka boleh gandingkan kedua-duanya atau sesuatu yang lain.
Calon Oscar untuk Aktres Pembantu Terbaik melalui filem The Wrestler ini tidak keberatan berkongsi rahsia mengenai gandingan mereka berdua.
Katanya, walaupun mereka berbeza usia tetapi tiada seorang pun ahli keluarganya terkejut apabila mengetahui dia jatuh cinta dengan Manson.
| |
"Mereka lebih terkejut apabila melihat lakonan saya dengan Larry David. Tiada sesiapa bertanya saya mengapa tetapi mereka bertanya bagaimana saya jatuh cinta dengannya," katanya.
| |
Rachel, 21, dan Manson, 39, mula intim pada Disember 2006 tetapi pasangan ini beberapa kali berpisah kemudian kembali bersama. Kali terakhir, mereka berpisah November tahun lalu dan baru-baru ini menyambung semula hubungan mereka.
Bagaimanapun, Rachel tidak menyifatkan mereka berpisah, sebaliknya berjauhan buat sementara waktu untuk memberi lebih tumpuan kepada kerjaya.
Katanya, buat masa ini, tiada sesiapa dalam hidupnya kerana belum bersedia menjalin hubungan dengan sesiapa. Bagaimanapun, Rachel mengakui mempunyai teman istimewa iaitu kucing jantan yang diberi nama Nicodemus, sempena nama raja tikus dalam filem The Secret Of NIMH.
Rachel juga menafikan gosip mengatakan dirinya menjalin hubungan cinta dengan aktor Mickey Rourke yang juga pasangannya dalam The Wrestler. Katanya, dia mahu seluruh dunia tahu antara dirinya dengan Rourke hanyalah kawan baik.
"Ramai mengatakan kami bercinta tetapi sebenarnya tidak. Antara saya dengannya hanya kawan. Kami saling mengenali ketika sama-sama menjalani penggambaran The Wrestler hingga jadi kawan baik tetapi tidak lebih daripada itu.
"Saya rasa disebabkan perpisahan saya dengan Manson, baru-baru ini menyebabkan gosip ini tersebar. Sebenarnya saya sering dikaitkan dengan ramai orang tetapi buat masa ini, saya tidak berminat menjalin hubungan dengan sesiapa. Saya harap peminat tidak memandang serius gosip ini.
"Kami berbangga dengan hasil filem yang dijayakan bersama," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: