|
SEPANJANG enam bulan pertama tahun ini, Norliana Samsudin, 25, atau Yana sibuk dengan aktiviti seninya dengan berlakon, mengarah dan menceburi bidang baru, penulisan skrip. |
Sejak berpisah kasih dengan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre hampir empat tahun lalu, tiada pengganti di hati Yana apatah lagi sekarang dia sibuk bekerja.
"Kalau ada kekasih pun mesti tak tahan dengan saya kerana asyik bekerja. Bagaimanapun, naluri seorang wanita tetap ingin berkahwin dan ada anak. Mungkin dua atau tiga tahun lagi saya akan mengakhiri zaman solo, tetapi belum ada calon.
"Sekarang saya cuba menulis skrip untuk program terbitan RTM (Radio Televisyen Malaysia), Gen-X. Kemudian akan mengarah telefilem dan filem kedua dengan MIG Production sekitar April dan Mei ini. Tak ada masa hendak bersosial. Orang dah beri kepercayaan, saya mesti buktikan saya boleh buat," katanya.
Yana baru menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, November lalu. Oleh itu tumpuannya kini pada kerjaya seni yang semakin memberangsangkan. Meskipun sudah bergelar pengarah filem, Yana masih berlakon dan pada waktu lain dia menolong pengarah filem lain di set penggambaran.
"Saya masih belajar untuk menjadi pelakon dan pengarah yang baik. Sekarang saya berlakon dalam drama 3 Janda yang siap lebih 50 peratus.
"Peranan saya sebagai adik dan janda paling bongsu bersama Rozita Che Wan (Kartika) dan Lisa Surihani (Intan). Sebelum itu saya muncul dalam drama Bionic Man yang diterajui Kamal Adli.
"Sambil berlakon, saya belajar kerana Bionic Man banyak menggunakan CGI. Kalau saya hendak mengikuti kursus CGI secara formal, ia menelan belanja besar dan mengambil masa.
"Saya juga menjadi penolong pengarah ketiga filem Rempit V3 arahan Farid Kamil. Walaupun saya sendiri bergelar pengarah melalui filem pertama, Selamat Pagi Cinta, saya tidak kisah membantu pengarah lain," katanya.
Yana mengakui pengalamannya belum sehebat mana, jadi dia sedar perlu berusaha menambah ilmu ditambah pula cita rasa peminat sentiasa berubah jadi sebagai pengarah perlukan suntikan idea baru dan segar.
"Proses pembelajaran berlangsung selagi kita hidup dan saya tidak malu menimba ilmu dengan sesiapa saja. Apabila berlakon dengan orang lama, saya tanya pandangan mereka mengenai perkembangan dunia lakonan dulu dan kini," katanya.
Pada pertengahan April ini, tambah Yana dia akan mengarahkan telefilem dan selesai saja penggambaran, dia akan menyambung projek filem keduanya, Cinta Alam Maya yang berbentuk 'thriller' cinta.
"Sekarang panel skrip MIG dan saya dalam proses terakhir menilai skrip. Seorang daripada pelakonnya Lisa Surihani kerana dia ada ciri yang diperlukan untuk filem itu. Berbanding mengarah Selamat Pagi Cinta, untuk filem kedua ini saya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.
"Jika ramai mempertikaikan kemampuan saya mengarahkan Selamat Pagi Cinta, saya harap untuk filem kedua ini tiada gangguan emosi. Saya menceburi bidang perfileman pun tak ada niat lain melainkan untuk berkarya," katanya.
Yana berkecimpung dalam bidang seni bermula dengan nyanyian. Bakatnya dikesan penerbit MIG, David Teo. Maka hasil kerjasama itu lahirlah album pertama Yana berjudul Ceria.
"Saya bersama MIG sejak tingkatan lima. Pejabat MIG di Subang Mewah, menjadi rumah kedua saya. David dan isterinya, Jane sudah seperti keluarga angkat saya. Selepas kelahiran album Ceria, saya senyap sekejap sebab sambung belajar di UiTM.
"Bagaimanapun, tujuh daripada 10 lagu yang disisipkan dalam album itu digunakan sebagai lagu tema untuk kebanyakan telefilem dan filem terbitan MIG. Antaranya filem Mami Jarum, Mami Jarum Junior dan Tangkai Jering," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: