BAK cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah senario yang SS lihat apabila ramai penyanyi baru lahir daripada program realiti TV. SS bukan tidak setuju dengan kemunculan banyak program sebegini, tetapi SS berpandangan matlamatnya perlu diperhalusi supaya bakat baru yang dilahirkan memang berbakat dan mampu memajukan hiburan tempatan. |
Ketika menonton program realiti TV yang diadakan pada setiap minggu, SS tertarik untuk mendengar apa komen juri terhadap peserta. SS sebenarnya lebih suka jika ada juri yang berani beri kritikan pedas kepada peserta supaya ada perkembangan dan perubahan pada persembahan akan datang.
Program realiti One In A Million antara program yang hangat diperkatakan apabila ada peserta yang dinilai pada mata penonton berbakat, tetapi tersingkir jua akibat SMS penonton.
SS bukan mahu salahkan penonton yang sokong tanpa mengundi, tetapi SS ingin kongsi pandangan dengan penyanyi Amylea yang turut bertanding dalam program itu.
Sejak minggu pertama hingga kelima, SS lihat Amylea sebenarnya mempunyai bakat menyanyi dengan cara sendiri. Walaupun dia pernah ditegur pengkritik program itu kerana keliru antara konsep persembahan yang ingin ditonjolkan setiap minggu, dia tetap mempunyai kesungguhan untuk memberikan persembahan terbaik.
Namun, SS kasihan pula apabila nasib Amylea sering dikritik juri yang mencari kelemahannya. Minggu lalu, persembahan Amylea dengan lagu Jason Mraz, I'm Yours dikatakan seorang juri tidak mempunyai kelainan pada persembahan.
SS tertanya juga apa kelainan yang dimaksudkan juri itu kerana berbanding peserta lain, ada juga yang tidak beri kelainan, tetapi dapat pujian juri pula. SS bukan peminat fanatik Amylea tetapi SS cuba beri pandangan sepatutnya juri lebih tulus dalam beri kritikan.
Ada rakan SS berpandangan, juri ini seperti tidak suka dengan persembahan peserta yang nyanyi lagu Melayu walaupun berusaha menyampaikannya sebaik mungkin.
SS tidak tahu sama ada benar atau tidak kata rakan SS itu tetapi SS percaya juri mempunyai alasan sendiri dalam menentukan setiap keputusannya. SS harap juri lebih profesional dalam menilai bakat peserta dan peserta jangan putus asa beri persembahan terbaik yang mempunyai kelainan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: