|
PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) antara persatuan artis yang aktif memperjuangkan nasib penggiat seni tanah air termasuk memperkenalkan skim pencen kepada 27 artis veteran yang terpilih menerima RM500 sebulan. |
Bagaimanapun, penghujung 2007 berlaku pergolakan sehingga khabarnya ramai ahli jawatankuasa (AJK) persatuan itu mahu mengundur diri dengan meletak jawatan masing-masing.
Kemuncaknya apabila Datuk Aziz Sattar bersama tiga ahli persatuan membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan pucuk pimpinan membabitkan wang RM200,000. Akibatnya pelbagai persoalan dan tanggapan negatif timbul terhadap isu itu.
Bagaimanapun, selepas lebih setahun berlalu dan Karyawan yang beberapa kali disiasat Pendaftar Syarikat (ROC), Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbukti bersih daripada penyelewengan itu.
Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata pihaknya mendapat tahu mengenai keputusan soal siasat berkenaan sejak empat bulan lalu selain dikunjungi wakil BPR (kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang memaklumkan kes itu tiada masalah dan sudah ditutup.
“Dengan keputusan itu, kami berpendapat ada baiknya berkongsi berita ini dengan semua pihak kerana ramai yang bertanya dan ragu-ragu mengenai kredibiliti persatuan selepas tercetusnya isu ini.
“Tidak dinafikan selama ini ada beberapa syarikat korporat yang banyak membantu dalam melancarkan aktiviti persatuan. Apabila timbulnya isu ini, sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pihak tertentu terhadap persatuan.
“Kami juga sangat berterima kasih kepada polis dan pejabat pendaftaran yang menjalankan tugas mereka dengan cukup profesional biarpun kadangkala membabitkan beberapa proses merumitkan serta mengambil tempoh panjang.
“Malah, saya sendiri terpaksa beberapa kali ke balai polis dan BPR untuk disiasat berhubung perkara itu. Dengan keputusan ini, terbukti persatuan sememangnya sebuah badan yang menjalankan aktiviti berkaitan anak seni tanah air secara telus dan mengikut undang-undang,” katanya.
Selain menyediakan laporan akaun, pihaknya turut mengadakan mesyuarat agung setiap tahun untuk berbincang dan mendapat persetujuan semua ahli persatuan berkaitan perjalanan dan aktiviti yang bakal dijalankan.
Malah dengan perjalanan atas landasan yang tulus, Karyawan menjadi satu-satunya persatuan artis yang berjaya mewujudkan skim pencen bulanan sebanyak RM500 kepada artis veteran untuk membantu meringankan beban yang ditanggung golongan itu.
“Segala dokumen dan fail yang dirampas agensi terbabit untuk menjalankan siasatan sudah dikembalikan kepada pejabat persatuan tanpa sebarang tindakan diambil,” katanya.
Menurut Freddie lagi, isu berkenaan timbul disebabkan kesilapan ahli itu sendiri kerana terlalu terpengaruh dengan khabar angin dan unsur hasutan pihak tertentu. Begitupun, dia tidak menyalahkan ahli berkenaan sebaliknya sentiasa membuka peluang kepada mereka untuk kembali bekerjasama dengan persatuan.
“Kami harap perkara ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam persatuan supaya mendapat penjelasan sebenar sebelum membuat apa-apa tindakan. Sekiranya laporan itu didapati tidak benar seperti yang berlaku sekarang, ia bukan saja memalukan ahli berkenaan, tetapi turut menjejaskan nama baik persatuan.
“Hukuman dipecat daripada persatuan sudah memadai buat ahli yang terbabit. Kami juga tidak mahu mengambil apa-apa tindakan susulan selepas isu ini selesai.
“Bagaimanapun, mereka yang dipecat boleh membuat permohonan jika mahu kembali bersama persatuan. Kami mungkin memberi sedikit pertimbangan dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi ahli berkenaan.
“Persatuan kini boleh menumpukan usaha untuk memartabatkan dunia seni tanah air. Malah, penjelasan pihak berkuasa membuatkan kami lebih aktif dan bersemangat dalam menjalankan pelbagai aktiviti yang dirancang dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Pada masa yang sama Karyawan turut menyusun strategi menubuhkan beberapa cawangan persatuan di seluruh Malaysia seperti di Pahang, Perak, Pulau Pinang termasuk Sarawak bagi persediaan untuk program Akreditasi yang turut mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).
Mereka yang berminat mengetahui maklum lanjut mengenai aktiviti persatuan boleh melayari laman web www.karyawan.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: