Sunday, March 22, 2009

Warna-warni Joanna & Co

Para penonton akan mengingati mereka kerana trademark mikrofon lama dan selendang warna pelangi yang tergantung di tiang mikrofon tersebut


DARI kiri: Farid, Kusha, Ijam dan Joanna berharap band mereka diterima ramai.


Seorang gadis kecil manis ditemani tiga jejaka. Permulaannya tidak dirancang seperti grup-grup lain. Semuanya bergerak dengan cara sendiri.

Joanna Renisa, si penyanyi, mengepos lagu gubahannya ke laman web Myspace.

Rezeki datang tidak diduga apabila lagu tersebut dimainkan di radio XFresh. Kemudian, pencarian ahli grup yang akan bersatu dengan Joanna dilakukan.

Para penonton akan mengingati Joanna kerana trademark mikrofon lama dan selendang warna pelangi yang tergantung di tiang mikrofon tersebut. Menarik.

Bagi sesiapa yang belum pernah menjadikan Aku Pelangi, single pertama grup ini sebagai halwa telinga, Joanna & Co berdiri di bawah genre pop yang bervariasi.

Bukan hanya gelekan Joanna yang menjadi penghias pentas, sebaliknya muzik yang mereka salurkan santai didengar, tersuntik elemen jazz yang menyenangkan hati dan telinga yang mendengar.

Ditubuhkan pada tahun 2006, grup yang digawangi Joanna (vokal), Ijam (gitar), Kusha (bass) dan Farid (drum) ini tidak menolak bahawa mereka masih mencari bunyi sebenar dalam permainan mereka.

Album mini (EP) pertama mereka akan keluar sekitar bulan Jun nanti.

"Mungkin EP ini akan dinamakan Aku Pelangi sempena judul lagu popular kami.

"Di dalamnya terkandung lima buah lagu dan cuma satu yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris," ujar sang bunga dalam grup ini.

Tidak merasakan kehadiran mereka terlambat untuk mewarnai dunia muzik, mereka yakin dengan momentum grup ini baik dari segi karya mahupun persembahan.

"Syukur sejak akhir-akhir ini tawaran untuk membuat persembahan makin rancak.

"Kami berasa terharu dan terperanjat dengan sambutan yang diberikan penonton.

"Mereka turut sama menyanyikan lagu kami. Ini berkat lagu Aku Pelangi dan Lutsinar yang sudah ke udara di radio," ujar Joanna.

Grup ini mengakui persembahan mereka di X-Gig (XFM) di Melaka dan gig di Dewan MCPA adalah yang paling hebat setakat ini.

Mereka juga menyatakan bahawa lagu-lagu mereka yang kebanyakannya mendapat sentuhan Ijam mempunyai unsur catchy yang tersendiri.

Lirik pula banyak ditulis oleh Joanna yang pernah mendapat nasihat daripada seorang komposer.

"Komposer itu pesan kalau mahu tulis, ceritakan tentang sesuatu yang pelik-pelik atau perkara yang orang tidak terfikir.

"Jadi bila mereka dengar lagu-lagu itu, mereka akan berfikir sendiri," ujarnya yang sering merujuk Kamus Dewan sebelum menulis.

Perlahan-lahan Joanna & Co kini menapak dalam langkah yang santai.

Tidak terburu-buru untuk naik tetapi segala hal yang dilakukan oleh ahli grup ini mengambil kira faktor masa dan kewangan.

Daripada pembuatan album mini hinggalah ke klip video, semuanya berbumbung 'DIY' yang mereka rasakan satu faktor yang mendorong untuk mereka memberikan yang terbaik untuk pendengar

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: