Sunday, March 22, 2009

Muzik GaGa demi fesyen




KAUM hawa dan fesyen pasti tidak dapat dipisahkan langsung biar bagaimana rupa fesyen yang menjadi cita rasa. Namun bagi seorang penyanyi wanita, fesyen digunakan sebagai medium untuk menyalurkan lagu-lagunya.

Lady GaGa - nama glamor untuk Stefani Joanne Angelina Germanotta yang kini mengecap populariti dan membina nama besar dalam bidang nyanyian - terinspirasi oleh fesyen dalam pembikinan muziknya.

"Sewaktu saya menulis muzik, saya akan terfikirkan baju untuk dipakai di atas pentas. Segalanya tentang bagaimana meletakkan serentak seni persembahan, pementasan pop dan fesyen.

"Percampuran kesemua itu membentuk cerita untuk diberikan kepada peminat setia.

"Saya mahu memberi imaginasi yang kuat untuk peminat saya supaya mereka dapat merasainya," panjang lebar hujah wanita yang mendapat darah daging fesyen melalui ibunya yang sentiasa tampak cantik.

Gadis ini meletup dengan single bertajuk Just Dance yang terkandung dalam album The Fame. Ia sebuah album debut yang mendapat tarikan dan pujian ramai.

Para pencinta dan pengkritik menyifatkan album itu sebagai 'album fantastik campuran balada ala Bowie, dramatik, terinspirasi grup Queen dan trek dance yang hebat'.

Namun selain sebuah persembahan hebat untuk album perdana, apa yang menarik perhatian ramai ialah fesyen dan gayanya yang dikatakan mirip Madonna.

Selain sibuk di pentas persembahan, dalam masa yang singkat, Lady GaGa telah berjaya menghasilkan barangan koleksinya yang dipanggil House of GaGa yang mempamerkan pakaian, set pentas dan bunyi-bunyian.

"Dalam industri ini kita ada ramai pereka dan penerbit yang dicampakkan kepada anda.

"Tapi House of GaGa ialah kumpulan kreatif saya yang memperagakan Warhol Factory. Semua ahlinya berusia 26 tahun dan kami melakukan segalanya bersama."

Selain mendekatkan muzik dengan pengaruh fesyen, GaGa juga mempunyai satu teori mengenai penulisan lagunya. Sebelum ini GaGa pernah menulis untuk Pussycat Dolls serta Britney Spears.


LADY GAGA mendakwa gayanya sukar ditiru.


Teorinya mudah, iaitu menulis lagu diibaratkan sebagai 'seks tanpa kondom'.

Baginya, melakukan jelajah konsert Fame Ball adalah seperti memberikan orgasma agung yang kreatif kerana dia sudah bersedia untuk memberikan segala kemampuannya tanpa sebarang had.

Dalam kepayahannya mencipta sesuatu yang diperlihatkan sebagai ciri khas Lady GaGa, dia disamakan dengan penyanyi terkenal Christina Aguilera.

Ironinya, Aguilera tidak mengenal siapa itu GaGa walaupun mereka disamakan melalui fesyen dan warna rambut. Malah Aguilera tidak pasti GaGa ialah wanita atau lelaki.

Tidak terkilan dengan pernyataan ikhlas Aguilera, GaGa memberi komen mudah: "Dia ialah bintang besar dan mungkin saya patut menghantar bunga kepadanya.

"Tapi saya tidak mahu diingati sebagai 'Skandal Christina Aguilera' kerana tiada siapa boleh menyerupai saya dan saya sukar ditiru."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: