|
|
SUDAH tiba masanya gergasi penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melakukan pelbagai perubahan dalam usaha mengorak langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan kepelbagaian salurannya seiring perkembangan pesat dunia penyiaran negara.
Menyedari betapa besarnya pengaruh hiburan dalam kehidupan masyarakat umum dewasa ini, langkah demi langkah diambil oleh RTM dalam memastikan hasil penambahbaikan serta cadangan pendigitalan saluran-saluran RTM yang dijadualkan siap selewat-lewatnya pada 2012 dapat dinikmati sebaik mungkin oleh penonton setia rangkaian itu.
Salah satu saluran baru yang dirangka bagi projek pendigitalan RTM ialah Muzik Aktif yang kini bersiaran dan dipancarkan menerusi saluran Astro 180.
Saluran yang berkonsepkan muzik sepenuhnya itu telah mula diperkenalkan pada 1 September 2006 sewaktu peringkat percubaan Projek Pendigitalan Penyiaran RTM ketika itu.
Saluran yang sarat dengan variasi muzik tempatan itu diyakini mampu memenuhi kehendak dan tuntutan citarasa penonton daripada segenap lapisan usia.
Memegang tagline Segalanya Muzik, saluran tersebut yang beroperasi selama 24 jam itu merangkumi sembilan segmen sehari.
Antaranya, segmen Aktif@Pagi yang bersiaran selama dua jam bermula pukul 7 hingga 9 pagi menghidangkan hiburan pagi merangkumi lagu-lagu pop dan balada tempatan.
Pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari pula segmen Hits Aktif menyusul menghidangkan rangkaian lagu-lagu pop, balada, rock dan urban popular semasa.
Pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang, penonton dihiburkan menerusi segmen Muzikal Aktif sementara segmen Ritma yang merangkumi lagu-lagu etnik kreatif, tradisional serta dangdut menyusul pada pukul 3 petang hingga 7 malam.
Antara lain ialah segmen Gema Nurani (7 malam hingga 8 malam) dengan rantaian lagu-lagu nasyid serta lalu-lagu berunsur ketuhanan, Prima Aktif (8 malam hingga 11 malam) menyajikan rancangan-rancangan khas meliputi konsert dan rancangan muzikal.
Tidak ketinggalan ialah Irama Santai yang bersiaran pada pukul 2 pagi hingga 5 pagi, Gema Mentari (5 pagi hingga 7 pagi), serta segmen Hidayah yang bakal bersiaran pada setiap Jumaat bermula pukul 1 tengah hari hingga 2 petang.
Pelancaran saluran Muzik Aktif disempurnakan oleh Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam satu program khas yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri baru-baru ini.
Bercakap kepada Hits, Ketua Saluran Muzik Aktif, Mohd. Rafael Ramlan memberitahu, selain menggalakkan pembangunan semula muzik tempatan Muzik Aktif juga merupakan platform untuk menarik minat para artis dan penggiat seni tempatan untuk terus berkarya.
"Kita ingin memangkin semula industri muzik tempatan sebab itu saluran Muzik Aktif ini kandungannya 100 peratus menyiarkan lagu-lagu nyanyian penyanyi serta ciptaan komposer-komposer tempatan.
"Kesemua segmen yang diperkenalkan memuatkan lagu-lagu bervideo klip kecuali untuk segmen Muzikal Aktif dan Prima Aktif kita siarkan rancangan-rancangan yang meliputi konsert dan juga muzikal tempatan.
"Pada 1 September 2006, kita telah berikan sebuah decoder kepada 1,000 isi rumah untuk menilai dan menikmati saluran Muzik Aktif secara percuma untuk tempoh enam bulan ketika itu.
"Daripada maklum balas yang kami terima, hampir kesemua penonton memberikan komen positif dan mahukan RTM meneruskan penyiaran saluran tersebut," katanya.
Sejak itu, kata Mohd. Rafael, RTM telah merangka untuk meneruskan siaran penuh saluran itu ke seluruh negara dan secara rasminya mula bersiaran di saluran 180, Astro pada 16 Mac lalu.
Antara barisan artis yang hadir memeriahkan majlis pelancaran tersebut ialah Akhil Hayy, Jeffrydin, Ali XPDC, Dia Fadila, Datuk David Arumugam, Datuk Dj Dave, Eja Shada, Aizat, Azharina Azhar, Waheeda, Bienda, Daniel Lee, Sasi The Don, Ning Baizura dan Meet Uncle Hussain.
Tidak ketinggalan ialah persembahan instrumental Nawab Samba memukau daripada Datuk Ahmad Nawab, Man Kidal dan Kamarul.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: