Thursday, March 26, 2009

Ajak belia cinta keamanan


ISMAIL Sabri (berdiri empat dari kiri) bersama barisan artis yang terlibat dalam konsert Menjunjung Damai - Belia Cintakan Keamanan.


MELETAKKAN objektif dalam menerapkan perkembangan sahsiah dan pembangunan modal insan yang positif kepada belia tanah air, konsert Menjunjung Damai - Belia Cintakan Keamanan yang berlangsung di Dataran Remaja, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu sememangnya mencapai apa yang disasarkan.

Bukan sahaja berkonsepkan hiburan semata, ia secara tidak langsung menanam rasa cintakan kedamaian di hati setiap belia di samping menyatakan rasa syukur dilahirkan dan dibesarkan di sebuah negara yang terhindar daripada peperangan.

Tidak cukup dengan itu, ia juga sebagai manifestasi yang cukup bersemangat untuk memupuk rasa kasih sayang golongan muda belia agar mencintai Malaysia kerana negara ini telah menghadiahkan sejuta keamanan kepada mereka.

Harapan untuk mengekalkan keamanan yang dikecapi terletak kepada generasi muda ketika ini yang suatu hari nanti bakal membesar sebagai pemimpin negara.

Harapan itulah yang dibisik dan dilaungkan kepada kira-kira 5,000 belia yang membanjiri Dataran Remaja sepanjang konsert tersebut berlangsung.

Dengan membuat perbandingan antara generasi muda negara dan belia di negara yang diancam peperangan seperti Palestin, seharusnya harapan yang dibisikkan itu dihayati serta diinsafi.

Bak kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meski membawa barisan artis ternama, konsert Menjunjung Damai - Belia Cintakan Keamanan bukanlah sekadar hiburan tetapi punyai matlamat tersendiri.

"Saya berbangga kerana masih ada remaja dan belia di negara ini yang sanggup berhimpun dalam menyatakan sokongan dan cintakan kedamaian.

"Ingatlah, malam ini, kita bukan untuk berhibur tetapi menginsafi keganasan yang berlaku di luar negara terutamanya Palestin.

"Siapa lagi yang akan mengekalkan kedamaian di negara ini kalau tidak belia semua,'' katanya ketika memberi amanat ringkas kepada belia dan tetamu yang hadir pada konsert berkenaan.

Konsert Menjunjung Damai - Belia Cintakan Keamanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan turut mendapat kerjasama stesen radio Suria FM yang tampil selaku radio rasmi.

Acara pada malam itu dimulakan dengan pembacaan puisi oleh pasangan suami isteri Mawi dan Ekin dan diikuti persembahan bertenaga Bunkface yang membawakan lagu berjudul Bunk Anthem serta Revolusi.

Berkongsi menyuarakan semangat kedamaian adalah angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Melaungkan puisi bertajuk Ku Pohon Keamanan Di Celah Gema Kekalutan karya Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid, Faiz sempat berkongsi pengalaman ketika menjalani sesi latihan angkasawan di Rusia lalu.

Jelas Faiz, sewaktu memasuki sebuah bilik di lokasi latihan, dirinya sempat melihat kemusnahan yang berlaku di beberapa buah negara akibat peperangan melalui gambar-gambar yang diambil menerusi satelit.

Mengambil tempat Faiz di pentas kemudiannya adalah pelakon popular Fouziah Gous dengan puisi bertajuk Ajar Siti Hajar.

Konsert Menjunjung Damai - Belia Cintakan Keamanan diteruskan dengan persembahan kumpulan Estranged, Aizat dan diikuti Fazura yang membacakan puisi Percakapan Cinta Kepada Sebuah Kemerdekaan.

Lain-lain artis yang membuat persembahan adalah kumpulan Ipswich dan Dafi.

Deklamasi puisi diteruskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh serta gandingan Asisten Supritendan Rosebaini Kassim, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan Pengarang Hiburan KOSMO!, Tengku Khalidah Tengku Bidin yang membawakan puisi Sumpah Anak Malaysia.

Bagaikan seorang bapa yang memberi nasihat kepada anak-anaknya, tetamu kehormat pada malam tersebut iaitu Menteri Belia dan Sukan sendiri tidak melepaskan peluang untuk berbicara kepada belia melalui puisi Bangkitlah Anak Mudaku.

Konsert pada malam itu diakhiri dengan persembahan kumpulan Meet Uncle Hussain sebelum kesemua artis dan tetamu kehormat berdiri di atas pentas menyanyikan lagu berjudul Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: