KALAU dilihat pada karakter kebanyakan watak yang ditawarkan kepadanya, tentu saja ramai yang pantas membuat pelbagai telahan negatif terhadapnya.
Apa tidaknya, kalau bukan watak penggoda Zizie Ezzete lebih cenderung melakonkan watak-watak antagonis.
Namun, itu hanyalah sekadar melewati penghayatan watak dalam lakonan semata kerana realitinya, sikap sebenar dramatis berkulit putih gebu ini tidaklah seperti yang disangkakan.
Mengenali pemilik nama sebenarnya Zizie Izette A. Samad ini, ternyata dia seorang yang begitu mudah mesra dengan sesiapa sahaja malah, tidak lokek melemparkan senyuman.
Dilambakkan dengan pelbagai tawaran watak yang hampir sama karakternya, kadangkala membuatkan Zizie tercari-cari kemampuan dirinya yang sebenar.
Bukan merungut ataupun mengeluh, tetapi kalau boleh gadis berusia 31 tahun itu mahu mencuba sisi lain karakter dalam lakonannya bagi mencabar kemampuan sebenarnya sebagai seorang pelakon.
"Sekarang ini memang susah nak dapat peluang berlakon karakter lain selain watak penggoda dan jahat. Malah, sejak berlakon dalam Spa Q, watak-watak yang saya terima lebih kurang sama sahaja sebagai perempuan gedik.
"Dilabel sebagai pelakon gedik mungkin sebab bagi ramai penerbit dan pengarah melihat bahawa saya berkemampuan menghayati watak sebegitu. Cuma mungkin tak ramai yang sedar bahawa saya juga boleh melakonkan watak baik," kata Zizie ketika ditemui baru-baru ini.
Sedikit kecewa dengan tawaran lakonan yang wataknya hampir sama sahaja, akui Zizie, kadangkala dia ketandusan idea untuk memberi aksi yang pelbagai.
"Saya tidak salahkan mana-mana pihak sebab mungkin mereka yakin dengan corak lakonan saya untuk watak-watak seperti itu. Apabila orang sudah beri kepercayaan kenalah buat sebaiknya.
"Cuma yang saya kecewa sedikit sebagai manusia sudah tentu kita mahu buat benda-benda lain, dan kalau asyik sama sahaja sudah tentu kita rasa bosan," kata Zizie sambil melempar senyuman.
Sejak memulakan kerjaya lakonan 17 tahun lalu, Zizie sememangnya tidak dapat lari daripada imej seksi.
Mungkin kerana susuk tubuhnya yang montok dan berkulit putih gebu ditambah pula dengan paras wajah yang jelita membuatkan ramai mata yang tertumpu ke arahnya.
Biarpun sering tampil dengan imej seksi namun Zizie kalau boleh tidak mahu penampilannya disalah erti oleh sebilangan pihak yang hanya mahu mengambil kesempatan terhadapnya.
Akui Zizie, sejak memulakan kerjaya lakonan, ramai di kalangan lelaki kaya yang mahu mendekatinya.
Lebih teruk lagi, kata Zizie ada yang sanggup meletakkan harga semata-mata untuk bermalam dengannya.
"Ketika mula-mula menerima panggilan daripada seseorang yang cuba meletakkan harga untuk diri saya, memang saya betul-betul terkejut. Bukan sekali tetapi ada sampai tiga ke empat kali bertanya.
"Mula-mula saya tidak faham apa maksud lelaki tersebut tetapi setelah saya bertanya beberapa kali barulah saya faham bahawa lelaki tersebut mahu mengambil kesempatan terhadap saya.
"Terus-terang saya cakap memang ramai lelaki kaya yang cuba mendekati saya tetapi saya tidak berminat langsung.
"Biarlah orang nampak saya macam ini tetapi saya bukan orang yang hipokrit. Sumpah demi Allah, biarlah saya tiada apa tetapi tidak sama sekali mencari jalan pintas meminta duit daripada orang," kata Zizie lagi.
Melewati usia awal 31 tahun, Zizie sepatutnya sudah pun berkeluarga.
Bagaimanapun, sebaik diaju persoalan mengenai perkahwinan, ujar Zizie ketika ini bukanlah waktu yang sesuai untuknya berumah tangga.
Mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun, sejak tujuh tahun lalu, namun bagi Zizie pintu hatinya untuk melangkah ke gerbang perkahwinan masih belum terbuka.
Baginya biarlah masa yang menentukan segala-galanya kerana dia tidak mahu terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan yang bakal mempengaruhi perjalanan kehidupannya kelak.
"Sekarang ini memang saya dan dia masih bersama. Malah, kekasih saya sudah banyak kali melamar cuma pintu hati saya belum terbuka untuk berkahwin.
"Biasalah dalam perhubungan ada pasang dan surutnya, kejap gaduh kejap baik tetapi itu semua perkara biasa bagi orang bercinta.
"Satu yang saya kagum dengan dia ialah tidak pernah kenal erti putus asa, macam mana susahnya saya dia tetap ada untuk membantu," kata penyandang Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2004 menerusi drama Aduhai Esah itu lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: