TIRAI panggung sudah dilabuhkan dan bermula detik itu, watak yang sudah sebati dalam diri wanita ini kini semakin hari semakin jauh akan ditinggalkan.
Selama hampir tujuh tahun mengabdikan dan membawa dirinya menyelami watak bernama Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumillah ternyata memberikan impak yang cukup besar dalam hidup Datin Seri Tiara Jacquelina.
Bermula dengan filem Puteri Gunung Ledang (PGL) dan kemudiannya legasi itu dibina di atas pentas dengan mempertaruhkan naskhah dalam bentuk teater muzikal (PGLM), sememangnya hidup Tiara hanyalah bertemankan Gusti Putri.
Sudah pasti, apabila mendamba diri kepada watak yang telah memberikan satu kenangan terindah dan termanis dalam diri Tiara, memang agak sukar untuk mengucapkan selamat tinggal.
Malam Ahad lalu, pentas Lambang Sari yang terletak di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya menjadi saksi betapa sukarnya Tiara untuk meneruskan watak Gusti Putri.
Apatah lagi, malam itu merupakan malam terakhir pementasan teater muzikal yang disifatkan paling gah yang pernah diterbitkan dalam sejarah teater muzikal di negara ini.
Penonton yang hadir ternyata terkesan dengan emosi yang dilahirkan dari hati tulus Tiara dan sepanjang pementasan pada malam terakhir itu, emosi Tiara benar-benar terusik.
Suaranya ada kalanya kedengaran tersekat-sekat dan kesedihan yang ditanggungnya amat dirasai terutama ketika adegan percintaannya bersama Hang Tuah yang dilakonkan oleh Stephen Rahman-Hughes.
Begitu berat untuk dia melepaskan Gusti Putri dan apa yang pasti, air matanya sudah tidak dapat dibendung lagi daripada terus mengalir.
seribu kepuasan
"Sepanjang tiga musim PGLM berlangsung, inilah harinya yang paling menyentuh perasaan saya. Melihatkan wajah-wajah mereka yang setia bersama saya sejak musim pertama, menjadikan saya begitu berat untuk melangkah pergi.
"Bukan untuk musim ini sahaja, sama seperti dua musim terdahulu, hari terakhir memang merupakan hari yang memperlihatkan air mata masing-masing gugur ke bumi.
"Saya tahu bagaimana perasaan mereka meninggalkan produksi ini kerana kami sudah bagaikan satu keluarga yang besar. Walaupun sedih, tetapi saya puas, kerana musim ini mencatatkan kejayaannya yang tersendiri," kata Tiara dalam nada terharu.
Memang benar. Meskipun ramai yang memperkatakan tentang PGLM musim ketiga ini tetapi, apa yang pasti, musim ini sudah terlakar sejarahnya yang tersendiri.
Selain daripada kemunculan terakhir Tiara sebagai Gusti Putri, PGLM musim ini juga mencatatkan penjualan tiketnya yang laris sebelum tirai hari pertama dibuka kepada penonton.
Bukan itu sahaja, elemen magis dan ilusi yang julung kali ditonjolkan juga berjaya membuka mata ramai pihak serta membuktikan anak tempatan juga mampu menghasilkan sesuatu yang sudah diamalkan dalam pementasan teater muzikal di Barat.
Satu yang pasti kata Tiara, dia mahu melihat cerita cinta agung ini akan terus mekar kerana keindahan hikayat cinta ini begitu indah jikalau tidak dipelihara dengan sebaik-baiknya.
"Saya mengimpikan kisah cinta ini akan mula dibawa ke tadika, sekolah dan seterusnya ke peringkat institusi pengajian tinggi agar mereka kenal khususnya generasi muda hari ini tentang kisah yang telah termaktub dalam sejarah," jelasnya.
Jelas isteri kepada bekas menteri kabinet, Datuk Seri Effendi Norwawi ini lagi, dia berasa puas kerana berjaya memberikan yang terbaik menerusi lakonannya sekali gus meletakkan satu tanda aras baru dalam pementasan teater muzikal di negara ini.
Setidak-tidaknya, Tiara tidak ralat untuk mengucapkan selamat tinggal selama-selamanya kepada Gusti Putri kerana menerusi PGLM, sudah banyak penghargaan yang diraihnya termasuklah mementaskannya di luar negara, sesuatu yang bukan mudah untuk dilakukan.
Tiara sempat diusik penulis adakah kemungkinan besar anak daranya, Hani Karmila bakal menggantikan tempatnya sebagai Gusti Putri,dan jawapan yang diberikan Tiara disulami dengan tawa besarnya.
Maklumlah, ibu dan arwah bapanya, Hani Mohsin merupakan anak seni. Jadi, tidak mustahil bakat seni itu sudah mengalir dalam diri Hani Karmila.
"Entahlah. Tak terfikir pula saya dan tidak pernah pula saya bertanyakan kepadanya. Tapi, rasanya tidak mungkin. Dia pun tidak pernah menunjukkan kecenderungannya ke arah itu," ujar Tiara tersenyum.
PGLM sudah tiga musim dipentaskan dan adakah ini, P. Ramlee the Musical (PRM) juga akan dipentaskan sekali lagi.
"Tengok dulu macam mana. Kena fikirkan tentang keadaan ekonomi semasa juga," katanya ketawa kecil.
Ketika artikel ini ditulis, Tiara masih berada di Mekah selama seminggu bagi menunaikan umrah bersama suami dan keluarga tercinta dan dijangka pulang esok (Selasa).
"Saya mahu menenangkan fikiran dan bercuti sebelum saya meneruskan projek saya yang seterusnya. Belum ada perancangan khusus lagi tetapi beberapa idea sudah ada. Apa yang boleh saya katakan, projek terbaru saya nanti merupakan penantian yang cukup bernilai," katanya memandang penulis penuh makna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: