MUDA, berbakat dan berkeyakinan adalah antara faktor utama kedua-dua penyanyi ini terpilih untuk menjayakan kempen "Camni-lah!", Coca-cola yang berlangsung selama sebulan bermula 1 Mac hingga 30 April ini.
Baik Shila mahupun Dafi sendiri, peluang yang diberikan oleh Coca-Cola (Coke) umpama 'publisiti' yang diakui bukan kecil impaknya kepada kerjaya mereka.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut yang diadakan di Hard Rock Cafe, Jalan Sultan Ismail baru-baru ini, kedua-duanya melahirkan perasaan gembira dapat bekerjasama dengan syarikat minuman jenama antarabangsa itu.
"Kami adalah talent yang diberi peluang untuk menjayakan kempen "Camni-lah!" yang bermula pada 1 Mac lalu.
"Bagi saya ini adalah pengalaman yang baik untuk saya kerana dalam masa yang sama dapat bekerjasama dengan Dafi.
"Kempen ini pada dasarnya adalah tentang muzik dan secara tidak langsung, kami boleh dekatkan diri dengan peminat juga," kata Shila.
Sebelum ini, Shila juga mengikat kontrak sebagai duta kepada produk aiskrim terkenal, Cornetto dan Clean And Clear.
Tidak ketinggalan, Shila turut diberi peluang untuk bekerjasama dengan saluran Disney Malaysia dalam projek istimewa siri Hanna Montana versi Melayu.
Menurut Dafi, Coca-Cola merupakan produk keempat yang membawa dirinya sebagai Duta. Sebelum ini, dia bertindak sebagai duta kepada produk kesihatan Brands, Cornetto dan Silky For Men.
Bekerjasama dengan Coca-Cola bagi Dafi adalah perkara yang tidak terfikir olehnya sebelum ini malah, katanya: "Siapa yang tidak suka minum Coke, saya percaya semua orang suka. Ini merupakan peluang yang bukan senang nak dapat. Alhamdulillah, ini adalah rezeki untuk saya dan juga Shila.
"Memang teruja dapat jadi duta pelbagai produk apatah lagi, ini merupakan jenama antarabangsa. Ia juga memberi publisiti kepada kami kerana secara tidak langsung kami berpeluang menyanyikan lagu dan merakamkan klip video untuk kempen ini," kata Dafi.
Lagu yang dimaksudkan ialah Rentak Optimis, ciptaan Adelaine Hoh manakala liriknya oleh Tun Khalidah bakal diadaptasikan sebagai iklan di stesen-stesen televisyen tempatan bermula 1 Mac ini.
Menurut Shila, proses penyiapan klip video Rentak Optimis yang dijalankan sekitar Jaya One, Kuala Lumpur hanya mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan.
"Kalau tengok hasilnya memang nampak lain, lokasinya seperti bukan di Jaya One.
"Memang seronok sepanjang proses penyiapan, tiada masalah langsung bekerjasama walaupun terpaksa berpanas sepanjang dua hari penggambaran," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Memori Tercipta itu lagi.
Sementara itu, Pengurus Jenama Coca-Cola Malaysia, Lin Jo-Yi pada majlis tersebut memberitahu, sepanjang berlangsungnya kempen tersebut, penggemar minuman itu berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk telefon bimbit Nokia 5800 XpressMusic, iPod Nano dan iPod Shuffle.
Malah, hadiah utama yang turut ditawarkan ialah peluang memilih destinasi konsert terkemuka dunia untuk dua pemenang bertuah.
"Hadiah-hadiah yang ditawarkan adalah cara Coke untuk mendekati peminat muzik dan mendorong rakyat Malaysia. Kami cuba terbabit dalam acara tempatan dan global yang mempunyai kesan kepada hidup mereka.
"Kepada mereka yang menjumpai tin Coca-Cola menyanyi sebaik membukanya penutupnya, dengar dengan teliti bagaimana untuk menebus hadiah yang ditawarkan," katanya.
Untuk maklumat dan butiran lanjut, sila layari www.coke.com.my atau menerusi siaran iklan di kaca televisyen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: