Monday, March 2, 2009

AHKB buru AS$1 juta


ABSTRAK Hingga Ke Bulan dianggotai (dari kanan) Zairul Addry Helmy, Norfaizah Ismawi, Mohammad Sofie Abdul Manap dan Mohd. Ikhram Izzazuddin Zainuddin.


SEBAGAI kumpulan pemuzik baru, Abstrak Hingga Ke Bulan (AHKB) boleh berbangga dengan bakat dan kredibiliti yang telah mereka tunjukkan dalam persada muzik tanah air.

Ini kerana, biarpun baru tampil dengan album pertama berjudul Abstrak Hingga Ke Bulan, tetapi mereka telah diberi kepercayaan untuk menggalas nama negara menerusi pertandingan Sutasi.com.

Pertandingan muzik berkumpulan peringkat antarabangsa itu telah mengangkat AHKB bagi mewakili negara yang diadakan di Singapura, baru-baru ini.

Menurut ketua AHKB, Zairul Addry Helmy, 34, jika kumpulannya terpilih mewakili Asia Tenggara, mereka berpeluang bertanding pada peringkat akhir yang akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) sebelum hujung tahun ini.

“Keputusannya akan diketahui pada Julai ini. Kalau kami berjaya menewaskan para peserta dari negara-negara Asia Tenggara, kami akan mewakili kawasan ini pada pertandingan akhir itu di AS.

“Juara pertandingan yang menampilkan banyak kumpulan dari seluruh dunia itu akan mendapat hadiah wang tunai AS$1 juta (RM3.6 juta).

“Ini adalah pertandingan muzik peringkat antarabangsa yang pertama pernah kami sertai,” katanya ketika ditemui sebelum sesi fotografi baru-baru ini.

Pada pertandingan yang disertai oleh AHKB itu, mereka telah menyampaikan sebuah lagu Inggeris berjudul When You’re Not There. Lagu itu dipetik daripada album sulung mereka yang berjudul Abstrak Hingga Ke Bulan.

Album terbitan Playerz Sdn. Bhd. yang mengandungi sembilan lagu Melayu dan sebuah lagu Inggeris itu akhirnya berjaya juga berada di pasaran bulan lalu selepas tertangguh selama hampir dua tahun.

Zarul yang juga gitaris AHKB tidak menafikan kelewatan album itu antara lain berpunca daripada masalah dua vokalis wanita kumpulannya yang pernah menarik diri sebelum album tersebut berjaya disiapkan.

“Norfaizah merupakan vokalis wanita ketiga yang menyertai AHKB selepas Yani dan Ezza yang menarik diri kerana sebab-sebab tertentu.

“Saya sejak dari dulu memang menetapkan bahawa kumpulan ini hanya akan disertai oleh penyanyi wanita. Mujurlah tidak lama selepas itu, kami berjaya mendapatkan khidmat Norfaizah sebagai vokalis baru kami,” ujarnya.

Sementara itu, Norfaizah Ismawi, 23, yang ditemui berkata, dia berasa bertuah kerana selepas dua vokalis silih berganti, AHKB memilihnya sebagai vokalis kumpulan tersebut.

Silih berganti

Namun, beliau tidak berani untuk berjanji selama mana dia mampu untuk bersama dengan AHKB memandangkan sebelum ini vokalis wanita yang pernah menyertai kumpulan itu silih berganti.

“Saya serahkan ‘jodoh’ saya dengan AHKB di tangan Tuhan. Bagi saya, apa yang penting mental saya kenalah kuat untuk bermain dalam kumpulan muzik seperti ini.

“Sebelum ini pun, vokalis lama AHKB iaitu Ezza pernah berkata kepada saya ‘good luck’ sejurus selepas dia keluar daripada kumpulan ini,” ujarnya yang meminati suara Gwen Steffani (No Doubt) dan Amy (Search).

Selain Zarul dan Norfaizah, AHKB turut dianggotai oleh Mohd. Ikhram Izzazuddin Zainuddin selaku pemain bass dan Mohammad Sofie Abdul Manap (dram).

Lagu-lagu yang dimuatkan menerusi album pertama mereka itu berjudul Awan Dan Bintang, Menanti, Cinta Ini Milik Kita, Jadi Superstar, When You’re Not There, Cash On Delivery, Ekspresi Batinku, Malam, Misteri Hatiku dan Aku Hanya Transit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: