Wednesday, March 25, 2009

Rosyam Nor mula berdakwah



Rosyam bersama abdul latiff (kanan) dan ahmad ikram (kiri) menunjukkan panduan menghantar sumbangan wakaf al-Quran melalui sms.

Bantu Yayasan Restu kempen agar setiap rumah memiliki al-Quran

JANGAN terkejut melihat penampilan Rosyam Nor yang berbeza. Bergaya dengan songkok dan berbaju Melayu putih persis pengacara rancangan agama bukan bermakna pelakon ini sudah beralih angin.

Dia berpenampilan sedemikian kerana usaha murninya membantu mempromosikan Yayasan Restu yang terletak di Seksyen 10, Shah Alam, tempat al-Quran dalam bahasa Melayu dicetak.

Rosyam ketika ditemui pada pagi Jumaat yang penuh rahmat tanpa segan silu memberitahu, dia yang melantik dirinya sendiri sebagai duta tanpa dipinta sesiapa kerana baginya ini saja jalan dakwah untuk insan yang bakal meniti usia setengah abad dalam tempoh lapan tahun lagi sepertinya.

Sejak mengenali yayasan itu lima bulan lalu, hati pelakon yang mula dikenali selepas lakonan mantapnya dalam filem Suami, Isteri dan .... itu langsung terpaut pada yayasan berkenaan yang diperkenalkan oleh seorang rakannya.

Sebagai umat Islam yang dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur dan Selangor, pada mulanya rasa terkilan menerjah kalbu kerana tidak pernah mengetahui kewujudan yayasan yang sudah lima tahun bertapak di situ. Atas kesedaran itu dan mengetahui peranan besarnya sebagai seorang selebriti, Rosyam sendiri mengambil langkah memanggil wartawan hiburan kerana peranan penulisan hiburan ke atas pembaca.



“Saya percaya ramai umat Islam di Malaysia yang tidak tahu mengenai kewujudan tempat ini. Atas kesedaran itu, saya sendiri memanggil wartawan untuk mempromosikan tempat ini. Saya sengaja memanggil wartawan hiburan kerana impak berita hiburan kepada pembaca.

“Perkara itu amat ketara terutama pada hujung minggu. Jika kita lihat kebanyakan orang berebut-rebut untuk mendapatkan sisipan hiburan berbanding bahagian lain surat khabar. Jadi saya amat berharap dengan tersiarnya berita mengenai Yayasan Restu di ruangan hiburan, lebih ramai pembaca yang menyedari mengenai kewujudan yayasan ini dan saya berharap setiap rumah umat Islam di Malaysia memiliki al-Quran cetakan tempatan dengan terjemahan bahasa Malaysia.

“Saya tidak kisah mengatakan bahawa saya sendiri yang melantik diri saya sebagai duta kerana impak artis kepada peminat cukup besar. Mungkin dakwah ini hanya sebesar kuman, tetapi saya tidak mengharapkan sebarang balasan atau bayaran. Hanya yang saya harapkan adalah balasan Allah, sebagai insan yang kerdil kita sering kali tamak dan mahukan pahala yang banyak daripada-Nya,” kata Rosyam yang akan memberikan komitmen kepada yayasan berkenaan andai ada waktu terluang.

Malah dia berminat untuk menyertai aktiviti yang dilakukan Yayasan Restu seperti menghantar al-Quran cetakan Malaysia ke negara luar contohnya seperti ke Nigeria tetapi ia bergantung juga kepada jadual kerjanya yang sentiasa padat.

Turut hadir pada majlis ringkas itu ialah Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Ikram Hussain Abdul Mutalib.

Pada majlis berkenaan, media turut dibawa meninjau tempat percetakan al-Quran serta ruang pameran yang menempatkan pelbagai jenis al-Quran serta seni khat tempatan dan dari Jepun.

Selain mengalu-alukan umat Islam tempatan memiliki al-Quran Mushaf Malaysia, Rosyam juga berkata, peminat boleh mewakafkan wang mereka ke jalan halal dengan menyumbang kepada Wakaf al-Quran iaitu sumbangan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

“Saya berharap lebih ramai yang akan mengunjungi Yayasan Restu berbanding sebelum ini. Hanya inilah saja dakwah dan peranan yang dapat saya lakukan sebagai seorang artis,” kata pelakon yang dicalonkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: