Wednesday, March 25, 2009

Bintang Idola BH (BIBH): Mahu BIBH jadi batu loncatan


PENGARANG Bi-Pop, Akmal Abdullah memberi hadiah kepada Mohd Azfar sambil disaksikan Pengurus Kanan Pemasaran, Wan Rafilin Wan Mohd Nor.

Pelajar Kolej Shahputara, Mohd Zaki Zainal muncul juara di Kuantan Parade

PENYERTAAN secara suka-suka membawa tuah kepada pelajar Kolej Shahputra, Mohd Zaki Zainal, 19, apabila muncul juara pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) sempena jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang Darul Makmur, hujung minggu lalu.

Mohd Zaki yang menewaskan sembilan peserta lain menerima wang tunai RM500, sijil dan barangan kemas tajaan Rafflesia bernilai RM1,000 akan ke pertandingan akhir BIBH di Klang Parade pada 5 April ini.

Berasal dari Segamat, Johor, Mohd Zaki menganggap kemenangannya sebagai batu loncatan untuk melangkah jauh di bidang seni walaupun bercita-cita menjadi wartawan.

"Saya berharap kemenangan ini akan berulang apabila ke pertandingan akhir bulan depan," katanya yang menyampaikan lagu Sampai Syura nyanyian Faizal Tahir pada pertandingan itu.

Paling menarik apabila kemunculan Zaki di pentas BIBH mendapat sorakan rakan yang turut hadir untuk memberi sokongan. Malah setiap kali Zaki ‘menarik’ suara, dia menerima tepukan gemuruh penonton.

WONG Lin Ruh satu-satunya peserta Cina yang berjaya mara ke peringkat akhir di Kuantan.

Lalu, apabila diumumkan sebagai juara, Kuantan Parade menjadi gamat seolah-olah merestui kemenangan Zaki yang membawa lagu Faizal dengan caranya yang tersendiri. Pada sebelah petangnya pula, Zaki sekali lagi diminta untuk mengalunkan lagu sambil disaksikan finalis ABPBH2008 yang hadir.

Lebih 5,000 pengunjung membanjiri ruang legar Kuantan Parade bagi menyaksikan pertandingan akhir BIBH siri keempat jelajah ABPBH2008 yang disertai hampir 20 finalis anugerah berprestij itu.

Naib johan, Mohd Azfar Suhaimi, 18, tidak menyangka lagu Mungkinkah yang disampaikan dengan penuh perasaan berjaya memenangi hati juri walaupun sedikit gementar pada peringkat awal persembahan.

Mohd Azfar menerima wang tunai RM500 beserta sijil penyertaan sebelum ini muncul naib johan pertandingan yang sama diadakan di Mydin Mall, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

HANIZAM memberi kritikan terhadap persembahan peserta sambil disaksikan juri yang lain iaitu Roslen, Julfekar dan Rosli.

"Walaupun hanya di tempat kedua saya tetap berpuas hati dan akan terus menggilap bakat seni yang ada ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Seramai 10 finalis dari 100 peserta awal memberi saingan sengit pada pertandingan akhir BIBH yang diadili oleh empat juri terdiri dari pemain gitar Sweat Charity, Rosli Mohalim, Ketua Editor Murai.com.my, Roslen Fadzil, Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan komposer, Julfekar.

Roslen ketika ditemui berkata, hampir semua finalis berjaya menyerlahkan bakat masing dan mempunyai masa depan yang cerah di bidang nyanyian jika terus digilap.

"Pertandingan kali ini memang sengit dan juri sukar membuat keputusan kerana semua peserta berjaya membuat persembahan dengan baik sekali," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: