Kamil, Fahrin Ahmad, Faizal Ismail, Adam, Aiman, Schab Alyahya, Ayu Damit dan Sariyanti luangkan masa tiga jam di Pos Malaysia Wilayah Persekutuan
JIKA selama ini Pos Malaysia hanya memainkan peranannya di sebalik tabir sepanjang penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), namun edisi ke-22 anugerah berprestij itu menyaksikan syarikat perkhidmatan itu tampil sebagai penaja ABPBH 2008.
Pada 18 Mac lalu, beberapa finalis pelbagai kategori iaitu Farid Kamil, Fahrin Ahmad, Faizal Ismail, Adam, Aiman, Schab Alyahya, Ayu Damit dan Sariyanti berpeluang untuk meninjau proses borang undian ABPBH 2008 yang dihantar pembaca sebelum selamat tiba ke Balai Berita untuk proses pengiraan undi.
Ternyata mereka begitu kagum apabila mendapat peluang melihat sendiri proses penerimaan, pengasingan dan seterusnya penghantaran undian berkenaan dilakukan kakitangan Pos Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sebahagiannya pula kagum dengan kecanggihan teknologi yang digunakan syarikat berkenaan dalam pengendalian mel.
Hampir tiga jam menghabiskan masa di kompleks yang terletak bersebelahan bangunan Daya Bumi, paling tidak selebriti terbabit kini mengerti bagaimana borang undian ABPBH dan surat peminat yang sering sampai ke tangan mereka diselenggara, hasil kerja keras ribuan kakitangan Pos Malaysia.
Kamil, Fahrin Ahmad, Faizal Ismail, Adam, Aiman, Schab Alyahya, Ayu Damit dan Sariyanti bergaya di hadapan Bangunan Pos Malaysia Wilayah Persekutuan. |
Pada petang itu, lapan selebriti itu bukan saja dibawa melawat lantai pemprosesan surat di bangunan berkenaan, malah mereka juga mendapat maklumat tambahan apabila menghadiri taklimat yang diberikan Pengurus Negeri WPKL Pos Malaysia, Wan Mohd Zain Wan Mamat.
Sesekali petang hening itu disulam dengan tawa riang apabila sesi taklimat ini turut mewujudkan komunikasi dua hala antara selebriti dan wakil Pos Malaysia. Aktor kacak, Farid Kamil yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular ini sempat berseloroh ingin membikin filem memberikan penghormatan terhadap Pos Malaysia.
“Peluang ini satu pengalaman berharga bagaimana kita melihat proses penghantaran ini berkembang daripada menggunakan burung sebagai utusan penghantar surat. Kemudian menggunakan alatan luncur ais, menggunakan basikal hingga ke motosikal. Kaedah menggunakan botol dan dilepaskan ke dalam laut turut dipraktikkan zaman dulu.
“Sebelum ini saya tidak nampak dengan jelas bagaimana surat yang dihantar terus diterima sebaliknya melalui inisiatif BH dan Pos Malaysia saya mula nampak gambaran terperinci. Menarik juga melihat petugas Pos Malaysia mengasingkan surat mengikut pengkelasan tempat dan negeri dengan pantas,” kata Farid.
BERGAMBAR kenangan bersama petugas Pos Malaysia yang begitu teruja dengan kehadiran lapan selebriti calon akhir ABPBH 2008. |
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Pos Malaysia, Datin Rohaiza Hashim dan Ketua Operasi Mel WPKL, Mohd Sairin Ibrahim.
Peluang dekati peminat di Pos Malaysia
SELAIN taklimat dan lawatan ke pusat pemprosesan mel, pelakon, penyanyi dan penyampai radio itu tidak ketinggalan mengambil kesempatan itu untuk beramah-mesra dengan kakitangan syarikat terbabit. Nyata, lapan selebriti ini tidak menang tangan untuk melayan pelbagai permintaan mereka termasuk merakamkan gambar.
Namun, menyedari hakikat bukan selalu pekerja syarikat itu dapat bertemu muka dan bertanya khabar bersama artis popular, kesemuanya memberikan komitmen terbaik untuk memuaskan hati semua pihak. Pujian harus diberikan kepada lapan selebriti ini yang nyata menghiburkan hati kakitangan Pos Malaysia.
Antara kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan selebriti ABPBH 2008 ini tentunya pengalaman melihat sendiri bagaimana seorang kakitangan wanita, Noor Rahayu Shahlan, mengasingkan ratusan surat ke dalam peti masing-masing dalam masa yang begitu singkat.
Selebriti itu juga sempat diberi pesanan berharga supaya memastikan peti surat kediaman mereka berada dalam keadaan baik supaya proses penghantaran surat berjalan dengan lancar. Mungkin juga nasihat ini patut diambil perhatian kepada peminat khususnya pembaca Berita Harian.
Bagi pelakon Fahrin yang dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, pengalaman bermakna yang jarang didedahkan ini menjadi manfaat berguna kepada mereka.
Katanya, informasi begini perlu didedahkan kepada umum supaya timbul kesedaran mengenai peri pentingnya tugas Pos Malaysia terhadap masyarakat Malaysia.
“Sebenarnya masih ramai yang tidak tahu bagaimana sistem pengedaran surat berjalan. Hakikatnya kita mempunyai sistem penghantaran surat yang sangat baik dan jelas sekali apa yang dipaparkan sewaktu sesi taklimat tadi cukup bererti. Adakalanya kita sendiri sebagai masyarakat yang menyukarkan Pos Malaysia untuk memastikan surat sampai tepat kepada penerima.
“Lihat saja sewaktu paparan persembahan yang dibentangkan Wan Mohd Zain mengenai pelbagai gambar peti surat yang tidak sepatutnya terjadi. Ada yang hanya menggunakan peti akuarium sebagai peti surat dan ada juga yang menempatkan peti surat di tempat yang menyukarkan posmen melakukan tugas mereka. Ini hakikat dan kesedaran serta kepekaan masyarakat kita terhadap perkara ini selalu diambil mudah,” kata Fahrin.
Menurut Scha yang digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan Fahrin pula mengakui sesi itu sebagai satu ruang pembelajaran yang baik. Kata calon Artis Baru Wanita Popular ini, dia banyak belajar dan memperoleh ilmu berguna dalam sesi itu.
Info penting Pos Malaysia terhadap penganjuran ABPBH 2008
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: