Wednesday, March 25, 2009

RM5.5j: Maria dapat peluang lagi


MARIA mendapat sekali lagi peluang mengemukakan samannya terhadap ahli perniagaan untuk menuntut pampasan RM5.5 juta di Mahkamah Tinggi semalam.


PUTRAJAYA – Personaliti TV3, Maria Tunku Sabri semalam diberi satu lagi peluang untuk percubaan mengemukakan semula samannya di Mahkamah Tinggi terhadap seorang ahli perniagaan kerana mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta selepas lelaki itu gagal menunaikan janji untuk menikahinya.

Mahkamah Persekutuan di sini memberi kebenaran kepadanya untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan mengemukakan semula saman sivil terhadap ahli perniagaan Datuk Wan Johani Wan Hussin.

Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria, yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram membuat keputusan sebulat suara itu.

Peguam Maria, Karpal Singh berkata, mahkamah harus membenarkan permohonan itu kerana membabitkan persoalan dan isu penting yang timbul buat pertama kali dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan membawa faedah kepada orang awam.

Maria, 39, hos program Jalan-Jalan Cari Makan itu, memfailkan tindakan undang-undang terhadap Wan Johani, 56, pada 2004 untuk mendapat perintah mahkamah bagi menguat kuasakan penyelesaian perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua mereka.

Pada 5 Ogos, 2008, Maria gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman asal dan memerintahkan Maria tidak boleh menguatkuasakan penyelesaian perjanjian itu kerana ia tidak sah di bawah Akta Kontrak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: