PUTRAJAYA – Pembeli rumah kini tidak perlu lagi hadir ke Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) atau kaunter bank untuk membuat bayaran balik pinjaman, sebaliknya semua urusan tersebut boleh diselesaikan secara dalam talian pada bila-bila masa melalui e-bayaran.
Malah, perkhidmatan e-bayaran tersebut turut membantu menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM400,000 setahun yang sebelum ini kos berkenaan digunakan untuk mencetak, menghantar penyata dan pembungkusan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, buat masa ini, hanya pembeli yang membuat pinjaman melalui CIMB Berhad (cimbclicks) dan Maybank (maybank2u) sahaja yang mampu menikmati kemudahan itu.
“Melalui kaedah konvensional sebelum ini, BPP berjaya kutip semula bayaran pinjaman berjumlah RM3 bilion pada 2008 sedangkan jumlah pinjaman yang dikeluarkan bagi tahun berkenaan adalah sebanyak RM7 bilion.
“Jadi, dengan sistem e-bayaran, dijangka kutipan bayaran balik pinjaman akan meningkat sehingga 20 peratus kerana jumlah pinjaman perumahan pada 2009 sahaja dijangka berjumlah RM8 bilion,’’ katanya dalam ucapan semasa melancarkan e-bayaran BPP di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: