“SAYA minat lelaki berwajah ala Cina,” kata penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana apabila diajak berbicara mengenai ciri-ciri lelaki pilihannya. Tidak sukar untuk pengacara Melodi itu menjawab soalan berkenaan, apatah lagi dia rimas mendengar gosip liar mengaitkan dirinya sebagai lesbian. |
Bagi Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd Fadzil, tohmahan seumpama itu mungkin timbul kerana dia jarang digosipkan dengan mana-mana lelaki biarpun usianya 29 tahun — masa yang cukup sesuai untuk berumah tangga.
“Rasanya semua wanita berhasrat menamatkan zaman bujang sebelum berusia 30 tahun, tidak terkecuali saya. Namun saya tidak akan tergesa-gesa, khuatir tersalah pilih.
“Saya anggap kalau ditakdirkan jodoh sampai, saya akan berkahwin juga. Biarpun ada cita rasa sendiri terhadap lelaki, saya tidak terlalu memilih kerana yang penting ialah keserasian.
“Kalau saya berkenalan dengan lelaki dengan fizikal idaman tetapi perangai tak elok, tak guna juga,” katanya ketika ditemui mengikuti rombongan AirAsia bersama media melawat beberapa tempat menarik di sekitar London, baru-baru ini.
Yang penting bagi anak kedua daripada tiga beradik itu, bakal suaminya kelak mampu memahami kesibukan tugasnya sebagai penyampai radio, pengacara, pelakon dan duta produk.
“Buat masa ini saya belum ada yang ‘steady’. Namun, seboleh-bolehnya saya tidak mahu teman istimewa yang juga berkecimpung dalam dunia hiburan. Saya tidak kisah kalau ditakdirkan bakal suami saya orang media, tapi biarlah aliran berbeza,” kata selebriti berwajah manis itu.
Pelakon siri Fara, Gadis Cuci dan filem Jin Notti ini tidak menolak kemungkinan jodohnya belum sampai berikutan kesibukannya sebagai duta produk Nescafe, Jacobs dan TM selain bertindak sebagai penyampai radio dan pengacara.
Justeru, selayaknya dia digelar wanita ‘bionik’ yang mampu melakukan pelbagai tugasan dalam tempoh singkat. Namun, semua itu tidak semudah disangka dan memerlukan pengorbanan.
“Pernah saya hanya tidur dua jam kerana tugas. Ikutkan hati, saya nak tidur lapan jam sehari seperti kebanyakan individu lain, tetapi tak dapat sejak bergelar selebriti,” kata pemenang Anugerah Pengacara dan Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: