BETAPA hebat dugaan cinta Ekin. Gara-gara mencintai insan bernama Asmawi Ani, dia dicemuh. Namun itu kisah lama, kini dia bahagia bergelar isteri kepada penyanyi popular itu. |
Walaupun impian menimang zuriat dalam waktu terdekat berkecai apabila mengalami keguguran selepas pulang daripada berbulan madu di Korea, ia tidak sedikitpun mencalar keharmonian pasangan romantik ini.
Bahkan demi menjaga kerukunan rumah tangga, si cantik ini sanggup melakukan apa saja pengorbanan, termasuk berundur daripada industri hiburan tanah air andai itu yang diminta Mawi.
“Tidak dinafikan banyak tawaran berlakon menyusul, tetapi saya tolak secara baik. Sebagai isteri, Mawi menjadi keutamaan saya sekarang.
“Walaupun dia mengizinkan saya terus membabitkan diri dalam bidang seni, banyak perkara perlu saya pertimbangkan, terutama komitmen.
“Kami tidak menggunakan khidmat pembantu rumah. Semua kerja memasak, mengemas dan membasuh saya lakukan sendiri. Jika sibuk di lokasi, siapa pula yang akan menyediakan makan minum untuk Mawi? Saya tidak sampai hati.
“Buat masa ini lebih baik saya menghindari dunia glamor, biarlah Mawi seorang yang menonjol. Saya lebih senang membantunya di belakang tabir,” kata Ekin.
Ditanya tidakkah rugi menolak rezeki depan mata, pelakon siri Kawan ini dengan tenang berkata, keputusan itu adalah yang terbaik buat dirinya dan Mawi.
“Kami menjadikan pengalaman orang lain, khususnya teman dalam industri, sebagai panduan dalam melayari rumah tangga. Nasihat mereka ada benarnya, malah saya rasa tenang bila dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.
“Pun begitu, kata Mawi, andai ada tawaran berlakon bersama, dia galakkan saya terima. Lebih mudah katanya, dapatlah kami pergi dan pulang kerja bersama-sama,” kata Ekin yang tidak akan sesekali membelakangkan Mawi.
|
Bagi mengisi masa lapang, Ekin memilih mengusahakan perniagaan tudung dan pakaian muslimah. Baginya, bidang diceburi itu lebih menjamin masa depan dan banyak manfaatnya.
|
“Memang dari dulu saya suka berniaga. Sebelum ini saya pernah mengusahakan butik Nuit D Noces bersama ibu saudara di Johor, tetapi berkubur begitu saja bila sewa kedai meningkat.
“Sebagai permulaan, saya menjual tudung. Selain menggunakan khidmat pereka fesyen dari seberang, saya mencipta beberapa rekaan tudung.
“Alhamdulillah, dengan bantuan adik saya, Norshahirah, sambutan terhadap tudung rekaan saya memberangsangkan. Dia yang sibuk ke sana sini mempromosi produk ini.
“Insya-Allah, butik pertama saya akan dibuka di Johor Bahru tahun ini. Selain tudung, butik ini menjual persalinan muslimah, pakaian lelaki dan kanak-kanak.
“Semua produk ini di bawah label Mawi World Sdn Bhd (MWSB). Saya tidak boleh gunakan nama sendiri kerana terikat sebagai duta tudung Ariani,” katanya.
Berkongsi sisi peribadinya, Ekin gembira dikurniakan suami yang penyayang dan gemar menghabiskan masa di rumah andai tidak terikat dengan jadual seni. Bahkan pasangan muda ini banyak menghabiskan masa bersama dan sering berkongsi hobi.
“Walaupun sibuk, Mawi tidak pernah lupa menghubungi saya. Habis kerja, dia terus pulang ke rumah. Sesekali ada juga saya menemaninya ke tempat kerja.
“April ini Mawi akan sibuk dengan penggambaran Langkah Mawi musim kedua. Ini adalah projek usaha sama MWSB dan Astro. Destinasi pilihan kali ini mungkin Sepanyol.
“Insya-Allah saya akan menemani Mawi. Dapat juga melihat perkembangan fesyen di sana dan dari situ boleh dapat banyak idea untuk perniagaan yang saya usahakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: