SELEPAS mencipta nama sebagai hos, Daphne Iking melebarkan bakatnya sebagai pelakon. Meskipun hanya memegang watak tambahan, bakat ibu jelita ini nyata menyerlah. |
Terbaru, dia berpeluang melangkah lebih jauh apabila dilamar membintangi filem Belukar arahan pelakon dan pengarah, Jason Chong. Bagi Daphne, peluang ini satu anjakan besar dalam hidupnya, apatah lagi buat julung kalinya dia diperkenalkan sebagai pelakon utama.
"Ia bagaikan sejarah besar dalam hidup saya. Sebelum ini, karier saya tertumpu kepada bidang pengacaraan, di mana saya ada program sendiri. Begitupun, pada waktu lapang saya turut berlakon, itupun sekadar watak tambahan.
"Terus terang saya katakan, tidak pernah terlintas di fikiran mahu bergelar pelakon filem. Lebih-lebih lagi memegang watak utama. Sebelum ini, tujuan saya menceburi bidang lakonan hanya untuk mencari pengalaman.
"Bagaimanapun, jiwa dan cinta saya masih lagi terhadap dunia pengacaraan dan kewartawanan," katanya.
Tambah Daphne, pada mulanya dia terkejut apabila Jason yang menulis skrip untuk filem berkenaan mencipta watak itu khas untuk dirinya.
"Jason memberitahu saya, ketika dia menulis skrip untuk Belukar, saya sentiasa bermain dalam fikirannya. Dengan loghat Sabah, ditambah pula latar belakang dari suku kaum Kadazan, saya pelakon paling layak memegang watak Eva.
"Terkejut juga mendengar kata-katanya. Padahal, ramai pelakon popular lain yang mungkin sesuai dengan watak itu. Namun, saya anggap ia rezeki untuk saya dan keluarga," kata Daphne.
Bercerita soal pengalaman, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini tidak menyangka dunia lakonan lebih sukar daripada apa yang dialaminya sebelum ini.
"Sebelum ini, cabaran dalam memegang watak tambahan tidak terasa. Ketika itu saya lebih banyak berehat di set penggambaran dan menunggu giliran apabila dipanggil pengarah.
|
"Namun apabila membintangi filem ini, segala-galanya baru buat saya, lebih-lebih lagi saya tidak berpengalaman menerajui mana-mana drama atau filem.
|
"Meskipun baru, tunjuk ajar pelakon, Bront Palarae dan Jason sungguh berguna buat saya. Malah pada waktu sukar, mereka memberi kata-kata semangat kepada saya," katanya.
Bercerita lanjut mengenai produksi Belukar, siapa sangka ia diterajui pelakon kacak yang dulunya pernah menganggotai kumpulan X-Factor, Danny.
Ulas anak jati Kelantan ini, 10 tahun mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon, macam-macam dilaluinya. Pahit getir itu mengajarnya banyak perkara.
Meskipun rezekinya tidak semeriah pelakon popular lain, dia percaya Allah itu Maha Adil dan pasti ada sinar untuknya.
Kesabarannya terbukti berbaloi apabila dia atau nama sebenarnya Mohd Khardanie Anwa kini memiliki sebuah syarikat produksi. Justeru, pasti ramai tertanya-tanya dari mana pelakon ini mendapat modal untuk membuka rumah produksi.
Menyelongkar cerita sebenar, Danny menjelaskan, perkenalan dengan seorang usahawan dari Labuan, Sabah ketika dalam penerbangan dari Kelantan ke Kuala Lumpur membuka peluang besar dalam hidupnya.
"Pada mulanya, saya ditegur seseorang dalam penerbangan terbabit. Dia yang duduk di sebelah saya memperkenalkan diri sebagai Zailani Mansor. Dia banyak bertanya mengenai apa saya lakukan sekarang. Dia turut bertanya adakah saya berminat membuka rumah produksi.
"Jawab saya ringkas saja. Siapa yang tidak berminat. Begitupun, bukan mudah mahu membuka rumah produksi jika tiada modal. Selepas itu, Zailani mengambil nombor telefon saya dan katanya akan menghubungi saya.
"Mulanya, saya ingatkan semua itu cakap-cakap kosong. Tidak lama kemudian dia menelefon dan mengatur satu perjumpaan. Waktu itu saya betul-betul terkejut. Lagipun, saya tidak mengenali siapa dia sebenarnya. Mungkin juga dia mahu mengambil kesempatan terhadap saya.
"Namun selepas berjumpa, baru saya tahu dia pemilik syarikat membaik pulih kapal di Sabah. Tidak lama kemudian tertubuhlah Preston Zaidan Production Sdn bhd," katanya.
Tambah Danny, dia tidak percaya dengan apa dimilikinya sekarang. Semuanya bagaikan mimpi. Begitupun, Danny mengakui masih banyak perlu dipelajari berkaitan kerja belakang tabir.
"Sebagai pelakon, sudah tentu saya tidak berpengalaman dalam bidang ini. Malah, sebelum ini pun tidak pernah terlintas di fikiran mahu bergelar produser. Zailani yang masak dengan dunia perniagaan sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada saya," kata Danny.
Pada mulanya, Danny dan Jason yang turut bertindak sebagai rakan kongsi syarikat produksi ini merancang mahu merakam sebuah cerita dalam bentuk DVD.
Namun apabila melihat kos yang diberikan, mereka sepakat menggelarnya produksi filem indie.
"Meskipun sebelum ini Bront tidak ada dalam kelompok 'hero popular' manakala Daphne tidak pernah berlakon dalam produksi filem, ini menjadi peluang kami untuk mengetengahkan mereka.
"Saya dan Jason percaya Bront punya bakat besar jika diberi peluang, manakala Daphne mampu menjadi pelakon yang baik.
"Melihatkan lakonan mereka ketika sesi penggambaran filem ini, saya terkejut dengan apa ditampilkan Daphne. Walaupun baru, Daphne menjiwai watak yang diberi dengan baik. Lakonannya bersama Bront juga serasi," katanya
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: