Bermain silap mata antara kemahiran Bubu. |
Keinginan belajar, mencuba berdasarkan pemerhatian, perkongsian pengalaman dengan rakan bawa Hassan kekal pelawak sarkas
WATAK sebagai pelawak, penghibur bukannya sesuatu yang mudah bahkan sebenarnya cukup sukar memuaskan hati penonton atau tetamu. Apatah lagi, ia membabitkan hiburan secara langsung di depan tetamu, jika tersilap langkah, malu dibuatnya.
Senario sama juga berlaku kepada penghibur kanak-kanak dalam watak badut, cuma ia berselindung di sebalik pakaian warna warni, muka bersolek tebal dan gelagat yang mencuit hati.
Di dalam dunia badut tempatan, pasti nama ‘Bubu’ cukup dikenali kerana kerap menjadi tetamu undangan majlis perasmian, parti, sambutan hari jadi atau aktiviti sekolah sekitar Lembah Klang, tetapi kadang kala langkahnya juga menjangkaui sempadan hingga ke Pahang.
Tidak ramai yang sanggup menjadikan kerjaya sebagai badut sebagai pekerjaan tetap sepenuh masa, tetapi badut Bubu atau nama sebenarnya Hassan Mamat, 34, tetap bersyukur kerana melalui cara itu beliau dapat menampung keluarga dan membesarkan anak-anak.
Bukannya tidak mahu mencuba pekerjaan lain, tetapi Bubu percaya itulah rezekinya kerana beliau sememangnya cukup berpengalaman dalam pahit maung mencari rezeki. Pekerjaan terakhirnya sebagai penjual belon di pasar malam menjadi titik tolak kepada kerjaya sebagai seorang badut.
Pakaian khas badut. |
Keinginan untuk belajar, mencuba berdasarkan pemerhatian, perkongsian pengalaman dengan rakan membawanya kepada tindakan nekad untuk terus kekal dalam dunianya tersendiri sebagai badut kerana ia cukup membawa makna besar dalam hidupnya.
“Memang itu punca rezeki saya tetapi paling penting ialah mencapai kepuasan dalam setiap program yang saya hadiri. Ia cukup mudah, jika kanak-kanak terhibur, mengambil bahagian dalam aktiviti yang saya buat, ia sudah memadai.
“Itu bermakna saya berjaya...lebih tersentuh apabila penganjur atau tuan rumah mengucapkan syabas kerana ia sebenarnya satu penghargaan, pengiktirafan terhadap kemahiran diri. Sebab itu saya sentiasa berusaha belajar benda baru, tambah ilmu untuk pelbagaikan persembahan,” katanya.
Kerjayanya bermula daripada pendapatan tidak menentu ditambah mula masalah penjagaan anak-anak yang memerlukan beliau dan isteri, Siti Fatimah Awang Noor, 34, membahagikan masa siapa yang menjaga anak mereka.
Tolak ansur dan saling memahami akhirnya membawa kepada keputusan, Hassan menjaga anak di sebelah pagi ketika isteri mengajar di sekolah manakala di sebelah petang dan malam, beliau akan bekerja secara sambilan.
“Ketika menjual belon di pasar malam sekitar tahun 2000, saya kerap melihat beberapa individu menghiburkan pengunjung semata-mata untuk menarik perhatian, melariskan jualan. Daripada situ terfikir kenapa saya tidak melakukan benda yang sama.
“Saya mencuba pelbagai skil, menggubah belon kepada pelbagai jenis mainan kanak-kanak, akhirnya terus mencuba sebagai badut. Pada persembahan pertama, ia memang menakutkan kerana bimbang tidak menjadi atau tertanya-tanya apa maklum balas penonton.
“Saya akan memakai cermin mata ketika persembahan untuk elakkan malu kerana perasaan itu sebenarnya boleh dilihat pada mata, jika ada cermin mata, kuranglah sikit perasaan berkenaan,” katanya.
Kini, beliau berbangga dengan kerjanya sebagai badut sepenuh masa sejak 2003 kerana sudah mempunyai ramai pelanggan tetap dan sering menerima undangan di majlis perasmian, aktiviti di pusat beli belah, pesta atau majlis sambutan hari jadi yang dihadiri ramai kanak-kanak dan majlis perkahwinan.
Selain kemahiran menggubah belon, beliau turut berusaha mempelbagaikan persembahan termasuk pertunjukan silap mata membabitkan penyertaan kanak-kanak dan menjalankan aktiviti parti.
Berkongsi pengalaman sebagai badut, beliau pernah melayan 400 kanak-kanak sepanjang masa dua jam tanpa henti hingga tangannya terasa kebas menyiapkan pelbagai permintaan kanak-kanak sempena hari keluarga Angkatan Tentera Malaysia di Wetland, Shah Alam, Selangor.
“Memang penat, tetapi cukup puas hati kerana mereka cukup tertarik dengan kehadiran saya. Itu sebenarnya satu kepuasan. Saya tak kenakan bayaran tambahan walaupun kanak-kanak terlalu ramai, yang penting mereka puas hati,” katanya.
Gelaran ‘Bubu’ itu sebenarnya diambil sebagai tanda penghargaan kepada ATM yang cukup sinonim dalam dirinya manakala di kalangan orang awam, beliau juga dikenali sebagai ‘Badut Cici’.
Ketika Berita Minggu meninjau di rumahnya, sebahagian besar daripada ruang tamu dipenuhi kotak berisi pelbagai peralatan persembahan. Bahkan, anak lelaki keduanya, Ahmad Harith, 8, juga berbakat dalam menggubah asas belon.
Mengenai pakaian, peralatan yang digunakan, beliau banyak menggunakan barangan import termasuk kasut, pam angin dan topi, manakala pakaian seperti seluar dan baju dijahit hasil rekaan sendiri untuk disesuaikan dengan majlis.
PROFIL: Hassan Mamat
- Umur: 34 tahun.
- Isteri: Siti Fatimah Awang Noor, 34.
- Anak: Hamimah, 10; Ahmad Harith, 8; Ahmad Faris, 14 bulan.
- Tempat tinggal: Taman Kosas, Ampang, Selangor.
- Asal: Melor, Pasir Putih, Kelantan.
- Laman web: www.bubuclown.com.
INFO: Gubahan belon yang digemari kanak-kanak.
- Bunga
- Senapang
- Hati
- Siput
- Pedang
- Motosikal
- Anjing
Persembahan silap mata:
- Permainan daun terup
- Keluarkan barang tersembunyi, contoh kanak-kanak berkokok keluarkan telur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: