Sunday, March 22, 2009

Sabung nyawa demi sesuap nasi


Pelbagai teknik mengikat tali digunakan pekerja.

Salime pakar tebang pokok besar di kawasan kediaman berpotensi tumbang

HIDUPNYA umpama 'Tarzan' moden, memanjat pokok, bergayut dari dahan ke dahan, menebang dan menyabung nyawa demi sesuap nasi menyara keluarga.

Sekalipun usianya sudah mencecah hampir 40 tahun, penebang pokok berpengalaman, Salime Kamisan, 39, tetap optimis kerana itulah punca rezekinya berikutan ketika ini tidak ramai yang sanggup dan berani menjalankan tugas itu.

Kerjanya memang sukar, jika setakat menebang pokok besar di pangkal umpama penebang balak di hutan, itu dianggap kerja lebih mudah kerana cuma perlu membiarkan pokok itu tumbang begitu saja dan memotongnya mengikut saiz ditetapkan.

Kerja yang dilakukannya jauh lebih sukar, bukan saja memerlukan penebang menumbangkan pokok besar yang sama saiznya dengan pokok balak, tetapi perlu memastikan ia tidak tumbang menimpa bangunan, rumah, kabel elektrik atau apa saja yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Kerjaya mereka sebenarnya lebih kepada aktiviti menebang pokok yang dianggap berbahaya di kawasan kediaman atau kemudahan awam kerana ia berpotensi untuk tumbang atau patah dan menimpa rumah penduduk, jalan raya atau kemudahan lain.

Teknik menebang pokok besar.

Sebab itulah mereka yang bekerja seperti Salime terpaksa memotong pokok besar itu sedikit demi sedikit. Bermula daripada mencantas dahan kecil diikuti dahan lebih besar, mereka akan mula memotong batang pokok secara berperingkat mulai di bahagian atas sehingga ke tahap ketinggian yang dipastikan selamat.

Pada mulanya pokok setinggi 20 meter perlu dicantas dan ditebang sehingga tinggal batang utama setinggi kira-kira 10 meter. Selepas itu, barulah batang itu ditebang di bahagian pangkalnya. Ini bertujuan memastikan batang itu tumbang ke arah yang dikehendaki dan selamat.

Ketika Berita Minggu meninjau kerja dijalankan Salime bersama kontraktor, Norliza Md Dewa, 37, di tepi hutan simpan Ayer Hitam, Puchong, rasa kecut perut melihat lelaki itu bekerja.

Dari jauh kelihatan seorang lelaki sedang berada di pertengahan batang pokok yang sudah dipotong semua dahannya, cuma tinggal batang utama yang belum diusik.

Terpaksa menyabung nyawa mencari rezeki.

Dengan tali terikat di badan, Salime bergayut pada pokok setinggi 20 meter. Hanya bergantung kepada tali, di situlah dia menebang dahan pokok satu demi satu menggunakan mesin gergaji bermotor bersaiz kecil, seberat 3.5 kilogram.

Kerja mereka memerlukan penelitian rapi, bukan setakat datang ke lokasi dan terus menebang.

"Kena datang tinjau dulu. Kadang kala sampai beberapa kali datang baru buat keputusan. Kena ambil kira arah mana nak tumbangkan pokok, berapa banyak nak ditebang, berapa jarak pokok dengan rumah atau kabel dan macam-macam lagi. Pokok itu bukannya kecil seperti yang ditanam di tepi jalan raya.

"Sebab itu kami katakan ia perlu teliti. Jika setakat nak tebang terus memang agak senang. Itu cuma boleh dibuat jika di kawasan lapang atau hutan, tetapi bukan sembarangan, kena tahu juga teknik supaya tidak merosakkan pokok kecil lain," katanya yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Dalam tempoh itu, beliau pernah memanjat dan menebang pokok setinggi 60 meter di Pahang pada 2005 serta sebatang pokok durian sebesar tiga pemeluk orang dewasa .

Baginya, itulah punca rezeki menyara hidup dan beliau bersyukur kerana mewarisi keberanian, kemahiran daripada arwah ayahnya, Kamisan Kosot, juga seorang penebang pokok besar.

"Dalam kerja ini, risikonya sangat besar. Kena berani, mahir memanjat pokok dan tahu teknik menebang ketika berada di atas pokok.

"Setakat ini, saya belum dapat pengganti kerana ramai yang tidak berminat. Ada yang mencuba tetapi bermasalah kerana tidak mahir memanjat," katanya yang sentiasa memakai seluar jeans ketika memanjat pokok.

Menjelang usianya 45 tahun, beliau akan berhenti daripada bekerja sebagai penebang pokok kerana kerjayanya itu memerlukan tenaga yang kuat. Kini beliau berusaha mencari pengganti dan sanggup berkongsi ilmu dan pengalaman mendidik mereka.

Prinsip yakin pada diri sendiri dan sentiasa utamakan keselamatan serta semangat kerja berpasukan sentiasa dipegang Salime kerana baginya, jika tidak mendapat sokongan daripada bawah, kerja akan menjadi sukar, misalnya untuk menaik dan menurunkan mesin gergaji.

Selain itu, rakan di bawah juga perlu tahu isyarat badan penebang yang berada di atas pokok dan tahu arah mana pokok itu patut ditarik kerana ia akan menentukan hala tuju pokok tumbang.

Profil: Salime Kamisan, 39

Tarikh lahir: 1970

Asal: Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.

Ayah: Allahyarham Kamisan Kosot.

Teknik:

  • Memanjat pokok dan memasang tali.
  • Membawa naik mesin penebang bersaiz kecil atau sederhana menggunakan tali
  • Memotong dahan bermula dari bawah ke atas
  • Mengikat tali pada batang pokok untuk proses penebangan batang secara berperingkat.
  • Memotong batang pokok bermula di bahagian paling atas sepanjang 10 kaki.
  • Proses itu akan diteruskan sehingga ketinggian batang utama disahkan selamat untuk ditebang di pangkal.
  • Menurunkan mesin pemotong gunakan tali
  • Menebang pangkal pokok ke arah selamat.
  • Meletakkan kapas pada lubang telinga mengelakkan serangga seperti semut atau kerengga.


Petua:
  • Bertenang dan tidak tergesa-gesa (prinsip biar lambat asal selamat)
  • Meninjau sendiri kawasan untuk dapatkan maklumat tepat.
  • Mesti tahu arah condong pokok.
  • Pastikan batang pokok dalam keadaan kering.
  • Membawa kelengkapan penuh seperti tali dan mesin penebang sesuai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: