Friday, March 27, 2009

ntv7 hos penyiar rasmi Kejohanan Dunia F1


FARID (depan kiri), Razlan (depan kanan) bersama kakitangan ntv7 dan SIC bergambar kenangan di atas kereta lumba F1.

MEDIA Prima Berhad sekali lagi mencatat kejayaan apabila stesen ntv7 yang cukup sinonim dengan tagline Saluran Ceria Anda dilantik sebagai hos penyiar rasmi Kejohanan Dunia Formula Satu 2009 bermula Jumaat ini di Melbourne, Australia. Stesen ini mengikuti jejak TV3 dan 8TV yang pernah diberi mandat yang sama.

Hal ini diumumkan dalam satu sidang media baru-baru ini, malahan kerjasama yang terjalin antara ntv7 dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta Formula Satu (F1) Petronas Grand Prix Malaysia ini satu usaha murni yang cukup membanggakan. Paling menarik, tahun ini juga ntv7 menyambut ulang tahunnya yang ke-11 dan secara ironinya juga F1 Petronas Grand Prix turut genap 11 tahun bulan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Sri Ahmad Farid Ridzuan melihat kerjaya ini sebagai kesinambungan berterusan antara Media Prima dan pihak terbabit. Malah, kata Farid yang juga bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Antarabangsa Media Prima turut mengalu-alukan kedatangan perlumbaan berprestij ini.

“Tak dinafikan ramai yang meminati sukan ini, bahkan permintaan terhadap tontonan bidang ini turut ada. Pemilihan ntv7 juga lihat sebagai tepat kerana beberapa bulan lepas, stesen ini berjaya melonjak ke tempat kedua di kalangan penonton urban dan terus kukuh mendominasi pasaran TV Cina secara keseluruhannya.

“Sebelum ini pun, stesen ini mendapat liputan meluas untuk Piala Dunia Ragbi IRB 2007 dan Euro 2008 hingga meraih rating yang tinggi di Timur dan Barat Malaysia. Usaha berterusan ini juga sebagai tanda bagaimana stesen ini menghargai sokongan yang diterima terhadap acara sukan besar di dunia,” katanya sewaktu memberikan ucapan.

Lalu, rakyat Malaysia kini berpeluang merasai bahang kehangatan F1 tanpa perlu berganjak dari rumah masing-masing kerana ntv7 akan menyiarkan siaran secara langsung lima perlumbaan terpilih di Australia, Malaysia, China, Jepun dan Brazil. Ia turut meliputi 12 siaran tertunda membabitkan beberapa buah negara seperti Sepanyol, Turki, Jerman, Itali dan Singapura.

Selain itu, turut dipaparkan komentar eksklusif dari saluran terkemuka BBC yang mengiringi setiap perlumbaan. Paling penting program Grandstand terbitan ntv7 untuk Grand Prix Malaysia bermula 3 hingga 5 April ini di Litar Sepang dengan hos Daphne Iking dan Joanne Rozario.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Razlan Razali turut menyambut baik kerjasama yang terjalin ini. Biar apa juga permasalahan dan ‘kontroversi’ yang melanda hingga hampir membantutkan usaha memartabatkan sukan ini di Malaysia, ia masih tetap akan berlangsung awal bulan depan di Sepang. Katanya, jualan tiket laris menjadi perhatian penggemar F1.

Menariknya kepada pembeli tiket berharga dari RM100 turut berpeluang menonton persembahan konsert penyanyi antarabangsa, Jamiroquai. Konsert ini akan diadakan pada 5 April jam 8 malam selepas tamat perlumbaan akhir.

“Menggabungkan muzik dan sukan permotoran dalam satu arah dilihat sebagai kombinasi yang baik. Pemilihan Jamiroquai antara yang paling tepat mewakili penyanyi yang tidak terlalu komersial. Selain penyanyi ini, turut melakukan persembahan pembukaan ialah Maliq & D’essentials termasuk selebriti lain seperti Joey G dan pihak kami sedang cuba mendapatkan kumpulan Naturally 7,” kata Razlan.

INFO: Kejohanan Dunia F1

  • Grandstand akan disiarkan bermula 30 minit sebelum dan selepas perlumbaan bersiaran secara langsung dari Sepang.

  • Penonton turut disajikan dengan telatah Jonathan Legard, Martin Brundle, David Coulthard, Jake Humphrey dan Lee McKenzie berkongsi kepakaran, pengetahuan dan tips mereka mengenai sukan ini.

  • Layari laman web www.ntv7.com.my atau www.sepangcircuit.com
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: