Friday, March 27, 2009

Info TV: Saluran Max khas untuk penonton lelaki


ROBERT Lyons dan Pengarah Komunikasi HBO Asia, Karen Lai ketika melancarkan wajah baru Max.

LEBIH 11 tahun bertapak, menerima pelbagai maklum balas serta reaksi penggemar setia salurannya, HBO Asia melakukan perubahan untuk saluran Cinemax dengan kandungan program lebih mantap menerusi jenama barunya, Max.

Menemui penonton mulai 29 Mac jam 10 malam di Astro saluran 412, Max mensasarkan fokus rancangannya kepada penonton lelaki dengan pengisian kandungan program berunsur lasak, berani dan suspen sebagai memenuhi permintaan pelanggannya.

Timbalan Presiden Kanan, Program dan Persembahan HBO Asia, Robert A A Lyons ketika ditemui berkata, sepanjang bersiaran Cinemax diterima baik penonton di negara ini namun memerlukan suntikan wajah baru untuk mendekati pelanggan muda.

“Biarpun sasarannya ditumpukan kepada penonton lelaki namun kami percaya kandungan Max akan memperluaskan spektrum demografik tontonan tanpa terikat batasan usia.

“Keseluruhan kandungan ditentukan berdasarkan kajian mengenai tabiat tontonan penonton, lalu kami merangka himpunan program yang memberi hiburan kepada mereka,” katanya.

Memperjelaskan lagi mengenai Max, Lyons berkata, mereka bersedia untuk berdepan pelbagai risiko apabila mengambil langkah melakukan pembaharuan namun ia tetap mempunyai keunikan serta keistimewaannya tersendiri.

“Stail persembahan Max unik dan tersendiri dengan ciri interaksi ketika selingan program menarik membuatkan penonton sentiasa terhibur.

“Cara penyampaian Max yang jujur juga menjadikan saluran ini sebagai teman setia penonton,” katanya.

Max, satu daripada lima rangkaian bebas iklan komersial di bawah HBO Asia menyajikan rancangan berbentuk aksi, suspen dan sains fiksyen termasuk filem, siri yang pernah memenangi anugerah dan perlawanan tinju menerusi HBO World Boxing.

“Penonton disajikan dengan pelbagai program mengikut genre setiap hari pada waktu puncak iaitu jam 8 malam, 10 malam dan 12 tengah malam,” katanya.

Lyons berkata, penonton juga dibawakan dengan produksi berbentuk sains fiksyen, seram dan fantasi setiap Isnin menerusi tema Max Twilight, manakala Max Fanboy setiap Selasa membawakan filem berunsurkan kultus.

Menerusi Max Icon setiap Rabu, penonton dihidangkan dengan persembahan daripada ikon Hollywood diikuti filem misteri, seram dan cemas setiap Khamis dalam slot Max Thriller.

Hujung minggu pula menawarkan penonton dengan sajian filem aksi dan lasak menerusi Max Action.

“Kehadiran Max bukan untuk mempromosikan keganasan, sebaliknya kami membawakan himpunan rancangan dan filem berbentuk aksi dan mendebarkan untuk menyuntik kesegaran kepada saluran ini,” katanya.

Sempena pelancarannya, Max membawakan tayangan perdana filem arahan JJ Abrams, Cloverfield pada 29 Mac ini, jam 10 malam buat pertama kali untuk penonton rantau Asia.

Kerancakan program yang menambahkan keghairahan tontonan yang memacu adrenalin, Max menyediakan barisan filem aksi hebat termasuk keseluruhan francais Indiana Jones bermula Indiana Jones And The Kingdom of the Crystal Skull pada suku ketiga 2009.

Selain itu, susunan rancangan termasuk perlawanan klasik HBO World Boxing dan siri mini HBO, Generation Kill juga bakal dibawakan kepada penonton.

Tidak ketinggalan siri drama yang memaparkan kecekalan hati dibawakan dalam The Wire, diikuti drama HBO yang memenangi Anugerah Golden Globe, baru-baru ini, True Blood.

“Memberikan tontonan berbeza, Max menampilkan Oli Pettigrew yang mengendalikan segmen ePad on Mac iaitu berita hiburan terkini selama 15 minit dengan pelbagai informasi mengenai pilihan terbaik saluran itu.

“Siaran ini akan ke udara buat pertama kali pada 29 Mac ini, jam 9.45 malam sebelum tayangan perdana Cloverfield disusuli berita berbentuk majalah pada setiap Jumaat,” katanya.

INFO: Antara program menarik Max sepanjang Mac dan April

Mac:

  • Cloverfield yang dibintangi Lizzy Caplan, Miller TJ dan Jessica Lucas pada 29 Mac ini, jam 10 malam

  • Snakes On A Plane lakonan Samuel Jackson, Nathan Phillips dan Julianna Marguiles, pada 29 Mac ini, jam 11.30 malam

    April:
  • True Blood menampilkan lakonan Anna Paquin dan Stephen Moyer setiap Khamis, jam 10 malam bermula 9 April

  • HBO World Boxing setiap Khamis jam 12 tengah malam, bermula 16 April

  • XIII lakonan Stephen Dorff dan Val Kilmer pada 5 April, jam 10 malam

  • Pistol Whipped lakonan Lance Henriksen dan Steven Seagal pada 12 April, jam 10 malam

  • Art Of War II lakonan Wesley Snipes dan Lochlyn Munro pada 19 April, jam 10 malam

  • Justice League lakonan David Boreanaz dan Lucy Lawless pada 26 April, jam 10 malam.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: