Saturday, March 21, 2009

Mesti Tonton: Cerita ringan tapi menghiburkan


DANSA antara elemen pelengkap kepada filem ini.

Sayang You Can Dance dipenuhi pelbagai bahasa dan loghat

GANDINGAN Sharifah Amani dan pelakon dari Indonesia, Samuel Rizal mungkin antara tarikan untuk menonton filem arahan Bjarne Wong ini. Mereka dilihat serasi, cuma garapan yang dilakukan membuatkan skrip tulisan Bjarne dan Meor Shariman ini longgar.

Terdapat juga beberapa karakter yang sebenarnya tidak diperlukan langsung dalam filem ini. Malah, tidak keterlaluan sebenarnya tanpa mereka, ia memberi kesan pun terhadap keseluruhan ceritanya.

Ini boleh dilihat pada adegan cinta membabitkan watak pelakon pembantu dirasakan hanya membuang masa selain menghilangkan fokus utama penonton terhadap cinta terhalang antara Mia (lakonan Amani) dan Remie (Samuel Rizal).

Malahan, Ebi sebagai Robby juga bagaikan tidak berjiwa kerana lontaran vokal dan gerak emosi begitu kaku. Namun begitu, percubaan Dafi menangani watak Danial untuk filem sulung lakonan penuhnya sebagai Danial, sepupu kepada Mia boleh dianggap memuaskan.

Filem ini juga dapat menyaksikan Amani tampil dengan watak gadis ayu dan ‘control’ cun. Ia memang sangat berbeza dengan kebiasaan yang pernah dilihat dalam filem lakonannya sebelum ini.

Mungkin ini filem yang ringkas dan perlu ditonton. Kata pelakon yang mesra disapa Nani ini, dia tidak perlu berkerut dahi memikirkan maksud tersirat kisah dalam filem ini. Sayang You Can Dance (SUCD) hanyalah kisah cinta biasa yang diiringi dengan aksi tarian lincah.

Pendekatan yang diambil Bjarne menerapkan elemen tarian dan drama dalam satu masa, mungkin sama saja seperti filem luar negara seperti Honey dan Step Up. Namun begitu, memang agak sayang sekali tarikan bintang, karakter dan inti pati cerita sudah ada, cuma tidak dimanfaatkan Bjarne yang pernah mengarahkan filemThe Legend Of The Red Curse dan Possesed sebaik mungkin.

Bagaimanapun, filem ini bukanlah buruk sangat. Malahan hasil buah tangan bekas pembantu peribadi Datuk Michelle Yeoh ini masih boleh ditonton. Keserasian Samuel dan Amani, jelas terpancar namun dek kelemahan pelakon lain termasuk bapa Mia yang merencatkan sedikit susur galur cerita yang diterbitkan syarikat Bjarne sendiri iaitu Hock Star Entertainment Industry.

Terdapat juga beberapa aspek yang tidak dititikberatkan Bjarne atau mungkin pengarah berusia 38 tahun ini terlepas pandang hingga wujud babak atau situasi tidak masuk akal. Sebagai contoh, bagaimana seorang anak (Remie) yang dibesarkan bapa di Sarawak tiba-tiba boleh berbahasa Indonesia. Ya, memang Samuel orang Indonesia dan daripada mewujudkan peranan bapa yang berasal dari Sarawak kenapa tidak diubah menjadi berasal dari Indonesia.

Meneliti daripada sudut lain, filem ini bersifat majmuk. Bayangkan pelbagai bahasa dan loghat yang menunjukkan kepelbagaian budaya di Malaysia begitu meriah. Selain bahasa Melayu, ada loghat Sabah dan Sarawak. Malahan bahasa Kantonis, Inggeris dan Indonesia pun ada. Bukan saja pelakon Cina yang turut ditampilkan, malah krew filem ini didatangkan khas dari Hong Kong.

Secara tuntas, jika anda ingin menonton filem ringan tanpa perlu berserabut kepala, filem SUCD mungkin boleh dicadangkan sebagai alternatif. Latar muzik yang mengiringi filem ini menggunakan khidmat komposer Ajai sekali pandang filem seperti sebuah filem muzikal.

Unsur komedi yang tak dijangkakan mungkin dapat dilihat pada babak romantik membabitkan Mia dan Remie di sebalik tirai. Cukup mengesankan, namun penampilan istimewa pengarah Yasmin Ahmad hanya melalui paparan gambarnya di dalam bingkai, tak semena-mena mood romantis itu berubah dengan hilai tawa penonton.

Akhir sekali, sekadar memberitahu, jika ingin melihat aksi Dafi menari menggegarkan badan seperti Beyonce Knowles, melihat susuk tubuh Samuel yang seksi dan transformasi Amani bergaya ayu dan sopan, tak salah anda membayar harga tiket tak sampai RM15 untuk menontonnya di pawagam berdekatan.

  • Judul Filem: Sayang You Can Dance
  • Pengarah: Bjarne Wong
  • Pelakon: Sharifah Amani, Samuel Rizal, Dafi, Ebi Kornelis, Carmen Soo, Alam, Smyth Wong, Dominique
  • Genre: Drama & Romantik
  • Tarikh tayangan: 12 Mac 2009

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: