Saturday, March 21, 2009

Jiwa penyayang


BABAK menarik dalam filem Race To Witch Mountain.

DILIHAT pada bentuk fizikalnya, pasti peminat tidak membayangkan betapa Dwayne Johnson sebenarnya seorang lelaki yang penuh dengan kasih sayang. Pada zahirnya, dia memang lelaki bertubuh tegap, sesuai pembabitannya selama sedekad dalam sukan bola sepak Amerika serta dunia gusti profesional kemudiannya.

Usah menilai aktor yang dikenali sebagai The Rock pada era kerjaya gusti di WWE ini pada tegap tubuhnya saja. Melihat kerja kebajikan yang dilakukannya, terutama untuk golongan kanak-kanak, Johnson sebenarnya insan yang mudah tersentuh. Tersembunyi jiwa yang cukup halus di sebalik badan sasa pelakon ini.

Pada 2006, Johnson mengasaskan yayasan diberi nama The Dwayne Johnson Rock Foundation, yang amat dikenali dengan kerja kebajikan membantu kanak-kanak menghidap penyakit berbahaya.

Pada Jun tahun lalu pula Johnson dikurniakan Anugerah Horizon, pengiktirafan daripada Kepimpinan Bersama Kongres Amerika Syarikat dan Anugerah Kongres Jawatankuasa Pengarah. Ia diberikan kepada individu daripada sektor swasta yang membantu rakyat Amerika menerusi sumbangan peribadi, serta individu yang menunjukkan teladan baik untuk golongan muda menerusi kejayaan diperoleh mereka.

Pada pertemuan dengannya ketika pelakon ini singgah di Hong Kong bagi mempromosikan filem terbaru, Race to Witch Mountain, pada 18 dan 19 Februari lalu, sekali lagi Johnson memperkatakan mengenai kanak-kanak yang diakuinya cukup mudah menyentuh jiwa.

Katanya, dia berbangga apabila yayasan yang ditubuhkannya itu banyak membantu golongan kanak-kanak yang berdepan penyakit membawa maut, tidak kira di Amerika mahupun di luar benua itu.

Dwayne Johnson

"Yayasan ini bersedia bekerjasama dengan mana-mana yayasan demi membantu golongan kanak-kanak yang memerlukan. Banyak sekali faedah kita peroleh menerusi kerjasama sebegini,” katanya.

Menyentuh penderitaan kanak-kanak di Semenanjung Gaza sebagaimana disiarkan oleh media seluruh dunia, Johnson mengaku paparan sebegitu cukup sukar untuk ditelan olehnya.

"Sebagai bapa dan orang dewasa, kita sentiasa mengingati tanggungjawab untuk mempertahankan atau melindungi kanak-kanak, tanpa mengira bangsa, warna kulit atau budaya. Bagi saya, paparan yang sering kita lihat itu sememangnya amat menyentuh perasaan. Apatah lagi apabila ia membabitkan kanak-kanak," kata lelaki yang akan genap 37 tahun pada 2 Mei ini.

Katanya, dalam menghadapi kemelut seperti itu, kuasa komunikasi antara pihak yang bertelingkah cukup penting demi keamanan dan kesejahteraan insan.

Pada satu pertanyaan, Johnson berkata, sudah tentu dia ingin menjadi bapa yang cukup baik pada anak perempuannya, Simone Alexander Johnson, 8 tahun.

Mana-mana lelaki sekalipun, jelasnya, ingin menjadi bapa yang baik kepada anak-anak mereka.

Simone dilahirkan hasil perkahwinannya dengan Dany Garcia selama 10 tahun. Pasangan itu berpisah pada 2007. Berkebetulan, pelakon ini muncul dalam filem yang menggandingkannya dengan pelakon cilik sejak dua filem yang lalu.

Sebelum muncul dengan filem Get Smart pada tahun lalu, Johnson mencatat kejayaan bersama The Game Plan. Filem komedi keluarga itu mengisahkan seorang ahli sukan profesional tiba-tiba menjadi bapa kepada kanak-kanak perempuan yang tidak diketahui kewujudannya.

Dalam Race to Witch Mountain yang ditayangkan sejak 12 Mac lalu, Johnson berlakon bersama dua remaja, AnnaSophia Robb dan Alexander Ludwig. Dia beraksi sebagai pemandu teksi yang melindungi dua kanak-kanak makhluk asing yang memiliki kuasa luar biasa dalam pengembaraan mereka ke Witch Mountain. Turut berlakon dalam filem itu ialah Carla Gugino dan Ciaran Hinds.

Pada November ini, dia bakal muncul bersama sebuah lagi filem komedi keluarga membabitkan pelakon kanak-kanak berjudul Tooth Fairy. Katanya, dalam filem terbabit dia mengenakan pakaian seperti pari-pari yang digambarkannya secara berseloroh sebagai ‘ratu yang besar’.

Kesemua filem berkenaan, katanya, berlaku secara tidak sengaja. Dia tidak merancang untuk berlakon dalam filem yang berbentuk komedi keluarga semata-mata, atau karakter yang menggandingkannya dengan kanak-kanak.

"Apabila sesuatu skrip itu menyentuh hati, saya bersedia menjayakannya. Kebetulan, semua filem itu termasuk dalam kategori tadi. Saya percaya, bukan saya seorang saja yang sukakan filem sedemikian, malah penonton juga menggemarinya. Sesiapa saja boleh merasai karakter yang berubah menjadi insan lebih baik dalam sesebuah filem. Begitu juga dengan saya.

"Saya menyukai watak insan yang menggunakan pengalaman lalu sebagai pendorong untuknya menjadi lelaki lebih baik. Saya pernah melalui detik itu, apabila langkah kita dilihat tersandung, tetapi kemudian kita memperbetulkan semula untuk berjalan lebih lurus," tegasnya.

Mengenai genre filem yang dijayakannya pula, aktor itu memberitahu, sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan, dia ingin memastikan dirinya bukan saja dikenali sebagai pelakon lasak. Justeru, dia turut membintangi filem komedi dan judul kekeluargaan. Kerana itu dia bersedia untuk muncul dalam apa saja filem termasuk muzikal dan komedi romantik.

Ditanya siapakah pelakon wanita yang dirasakan sesuai untuk bergandingan dengannya dalam filem bercorak komedi romantik, Johnson berkata, dia teringin bekerja bersama aktres yang dilihat tidak bergantung kepada orang lain serta menonjolkan keyakinan diri yang tinggi.

"Pelakon seperti Halle Berry, Jennifer Lopez dan Jennifer Garner, misalannya antara aktres yang dirasakan menepati ciri-ciri itu," kata lelaki berasal dari Hayward, California ini.

INFO: Dwayne Johnson

  • SEJAK kebelakangan ini, tubuh Johnson dilihat lebih kecil berbanding pada awal pembabitannya dalam lakonan. Tegasnya, dia tidak lagi berasakan dirinya perlu mempunyai tubuh sebesar dulu, sebagaimana ketika dia masih aktif dengan sukan serta dunia gusti profesional.

  • DIA juga gemar mengadakan latihan di luar ataupun di dalam gimnasium. Dia sanggup bangun seawal jam 5 pagi untuk bersenam kerana baginya, latihan sebegitu membolehkan dia melalui hari-harinya dengan lebih baik.

  • JOHNSON mengaku tidak pernah mengalami kejadian luar dugaan apabila bercerita mengenai teksi. Dalam Race to Witch Mountain, dia berlakon sebagai pemandu teksi yang membawa dua kanak-kanak asing dengan kuasa luar biasa ke suatu kawasan pergunungan bagi menyelamatkan mereka.

  • JIKA dia diberikan kuasa luar biasa, Johnson teringin memiliki keupayaan untuk terbang serta penglihatan x-ray.

  • KETIKA ini, dia dan pengarah Andy Fickman (yang mengarahkannya dalam filem Race to Witch Mountain dan The Game Plan) sedang membangunkan skrip filem aksi berlatarkan negara India.

  • SEWAKTU penggambaran Race to Witch Mountain, Johnson menghadiahkan Alexander Ludwig gitar miliknya sempena ulang tahun hari jadi remaja itu. Katanya, pemberian itu menjadi pengalaman cukup indah apabila Ludwig mengalirkan air mata ketika menerima hadiah itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: