Saturday, March 21, 2009

Clive melancong sambil berlakon




CLIVE OWEN mengakui bahawa filem lakonannya, The International bukannya sebuah projek mega. Namun, ia adalah sebuah karya thriller yang berlandaskan isu semasa iaitu kegawatan ekonomi dunia. Semasa sistem kewangan dunia cuba untuk pulih daripada kemerosotan yang tidak dijangka, urus niaga dalam pasaran mata wang dunia telah dikawal lebih ketat dan rapi.

Berlatar belakangkan dunia perbankan antarabangsa, The International memberi fokus kepada urus niaga gelap sebuah bank di Eropah yang cuba mendapatkan sebanyak mungkin keuntungan bagi menutup segala kerugian. Menyaksikan filem itu mungkin akan membuat penonton tertanya-tanya di mana duit mereka di dalam bank dan apa yang dilakukan oleh pihak bank dengan duit mereka itu.

Itu salah satu sebab yang menyebabkan Clive tertarik dengan filem ini selain daripada keinginan untuk bekerjasama dengan pengarah yang dikagumi, Tom Tykwer. Menyukai hasil kerja Tom termasuk Run, Lola, Run, Heaven, dan Perfume, Clive terus bersetuju tanpa membaca skripnya terdahulu.

"Dulu saya lebih mementingkan skrip tetapi sekarang lebih menjurus kepada pengarahnya. Saya amat bertuah untuk bekerjasama dengan pengarah-pengarah yang saya kagumi. Saya tidak kisah filem itu diterbitkan oleh syarikat kecil atau studio besar. Saya akan terus bersetuju asalkan dengan pengarah bagus," cerita Clive.




Clive memainkan peranan sebagai Loius Salinger, bekas detektif di Scotland yang kini bekerja dengan Interpol yang perlu mengesan satu urus niaga haram sebuah bank Eropah yang melibatkan penjualan senjata serta kegiatan menerapkan pengaruh dalam negara-negara Dunia Ketiga yang tidak stabil.

"Watak saya adalah seorang lelaki yang tahu sesuatu yang teruk sedang berlaku. Namun, Loius juga sedar bahawa dia bukannya sedang berdepan dengan sebuah bank yang berpengaruh tetapi juga semua hubungan politikal yang terlibat.

"Kuasa mereka besar dan luas dan semakin mendalam Loius mencari jawapan, dia kemudian mula sedar betapa berpengaruhnya mereka yang terlibat dalam dunia politik," kata Clive mengenai wataknya yang memerlukan kekuatan dari segi fizikal dan mental.


PENUH aksi. Clive Owen bergandingan dengan aktres Naomi Watts dalam filem, The International.


Menikmati 'percutian' semasa penggambaran The International, Clive berada di pelbagai lokasi berlainan termasuk Jerman, Itali, Amerika Syarikat (AS) dan Turki. "Rasanya Tom telah menggunakan lokasi dengan sebaiknya dan telah menjadi sebahagian daripada jalan cerita.

"Anda akan merasakan diri anda sedang melancong semasa menonton filem ini. Namun, fokus utama filem ini adalah Berlin sebelum kami melawat New York dan Istanbul," jelas Clive yang mempunyai lima adik-beradik.

Sebelum memulakan penggambaran The International, Clive telah menerima pelbagai material mengenai latar belakang cerita oleh pengarahnya. Katanya, Tom telah melakukan banyak penyelidikan dan menghantar informasi mengenai operasi bank, teori konspirasi dan sebagainya.

"Memang saya ada membaca semuanya tetapi secara jujur, saya tidak suka melakukan penyelidikan untuk watak yang dipegang saya. Asalkan saya tahu apa yang sedang saya lakukan, yakin dan mempercayai skripnya. Saya tidak perlu pergi bekerja dengan Interpol selama enam bulan untuk menyakinkan watak saya sebagai Loius," ujar Clive mengenai filem yang turut dibintangi Naomi Watts itu.


PERNAH melakonkan watak gay yang mencari cinta, Owen melihat lakonannya sebagai tidak pernah memberikan impak kepada penonton.


Di set penggambaran, Clive kagum dengan skil Tom yang mampu mengawal produksi sebesar ini dan mengembara ke seluruh dunia. "Pengarahan adalah mengenai cita rasa. Ada orang akan menunjukkan props kepada anda dan anda perlu memberitahu sama anda menyukainya. Begitu juga dengan kostum dan benda-benda lain.

"Tom mempunyai cita rasa tinggi dalam semua aspek pembikinan filem. Ditambah dengan barisan krew produksi yang berkaliber, tiada apa yang perlu dirisaukan oleh saya. Dia adalah antara pengarah terhebat yang pernah saya pernah bekerjasama," tambah Clive, 44.

Pernah terlibat dalam filem seperti The Insider, Children of Men, Closer dan Sin City, Clive yang lahir dan dibesarkan di Coventry, England mula berlakon di zaman persekolahan. Selepas menghabiskan pelajar di Royal Academy of Dramatic Art, Clive dengan pantas telah mengukuhkan dirinya sebagai salah seorang aktor berbakat di Britain.

Menerima tawaran berlakon dengan Young Vic Theatre Company dan siri di televisyen dalam drama Chancer (1990) sebagai watak utama, Clive mula dilihat layar perak menerusi filem Vroom (1988) bersama David Thewlis.

Filem seterusnya adalah bersama pengarah Stephen Poliakoff, Close My Eyes (1991). Percubaan seterusnya menyaksikan Clive memegang watak Max, seorang lelaki gay yang mencari cinta dengan cara ekstrem dalam Bent (1997).

"Sebenarnya saya tidak pernah melakonkan apa-apa yang memberi impak kepada penonton AS. Saya seronok terlibat dalam filem skala kecil dan teater tetapi penglibatan dalam filem Croupier (1997) telah mengubah nasib saya.

"Itu adalah permulaan yang menyeronokkan bagi saya di AS. Anda tidak boleh membina karier lakonan dalam filem jika hanya berkisar di England kerana industri perfileman di sana amat terhad. Anda perlu memberi kesan di AS dan saya bernasib baik dapat lakukannya dengan filem Croupier," jelasnya.

Impak karya Croupier telah membuka peluang kepada Clive untuk terlibat dalam filem seperti King Arthur, Beyond Borders, Sin City serta pengalaman berlakon dengan Angelina Jolie. Dia juga menyertai Julia Roberts, Jude Law dan Natalie Portman dalam filem Closer (2004).

"Mendapat watak dalam Closer adalah seperti mendapat hadiah daripada seseorang. Bukan senang untuk mendapat gabungan skrip, pelakon serta pengarah yang hebat dalam sebuah filem," jelasnya yang sekali lagi bergandingan dengan Julia Roberts menerusi Duplicity.

Clive, bersama isteri, Sarah-Jane Fenton serta dua orang anak perempuannya, Hannah dan Eve kini sedang menetap di London. Aktor ini memberitahu dia menetap di sana sejak menghadiri sekolah drama dan kedua orang anaknya gembira dengan kehidupan di London.


AURA antarabangsa. Di sebalik kesibukan karier lakonannya, Owen tidak lupa tanggungjawab hakikinya sebagai seorang suami dan bapa.


Namun, mengembara ke lokasi penggambaran bermaksud dia akan berjauhan dengan keluarganya. Clive bagaimanapun bijak membahagikan masa dengan lakonan dan menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kepada keluarganya.

"Anda perlu membahagikan masa untuk memastikan hidup anda seimbang. Saya mengambil kerjaya saya sebagai sesuatu yang serius tetapi itu hanya semasa bekerja. Apa yang utama adalah kebahagiaan yang diberikan oleh keluarga saya," ujarnya yang membesar dalam keluarga berpecah-belah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: